Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada kebiasaannya, pendengar dan peminat seni suara lebih mengenali nama dan wajah seseorang artis atau penghibur sebelum mengingati lagu-lagu nyanyian mereka.
Namun begitu, berlainan pula dengan penyanyi Datuk Hail Amir yang menjadi pencetus fenomena persembahan lagu-lagu pada era 1970-an. Judul dan lirik lagu-lagu dendangan beliau lebih dahulu diingati oleh masyarakat, sebelum nama dirinya.
Hal ini dinilai berdasarkan banyak lagu popular dendangan Datuk Hail Amir yang berjaya menarik perhatian orang ramai, seperti Wajah Kesayangan Hamba, Kau Datang lagi Menggangu Fikiran, Kabus, Hujan, Kukejar Bayangmu, Apa Jawabnya? dan beberapa lagu lagi.
Dengan hanya mendengar lagu-lagu tersebut, pendengar sudah dapat membayangkan wajah Datuk Hail Amir yang sentiasa tersenyum dan bersuara lemak manis ketika menyanyi.
Kekerapan Radio Malaysia Rangkaian Nasional sebagai stesen radio kebangsaan berbahasa Melayu pada era 1970-an memainkan lagu-lagu nyanyian Datuk Hail Amir pada setiap hari turut mengangkat nama beliau sehingga menjadi begitu popular.
Hal ini ditambah lagi dengan amalan juruhebah radio yang memainkan lagu itu turut menyebut nama penyanyi, pencipta lagu dan penulis liriknya. Suara merdu Datuk Hail mendendangkan lagu-lagu turut menyerlahkan nama Tan Sri Dr. Ahmad Nawab sebagai pencipta melodi serta Datuk Chuari Selamat yang menulis liriknya.
Dengan menggunakan dua atau tiga perkataan sebaris yang mengiringi melodi yang indah, peminat yang selalu mendengar lagu beliau sudah dapat mengenali dan menghafal liriknya;
“Inginku milik kasih,
Ayu cantik jelita,
Wajah cantik berseri,
Sinar cahaya.”
“Rambut panjang terurai,
Bagai sutera.
Hias bunga sekuntum
Tambah jelita.”
“Pipi pauh dilayang,
Alis matanya lentik,
Sekali mataku memandang,
Hati tertawan.”
“Kalung dirimu sayang,
Dengan cinta nan mesra,
Wajah kesayangan hamba,
Baru kujumpa.”
Inilah sebahagian lirik lagu yang dihasilkan oleh Datuk Chuari Selamat bagi lagu ciptaan Tan Sri Dr. Ahmad Nawab. Suara Datuk Hail Amir yang mendayu-dayu menjadi senjata utama menjulang nama beliau di persada seni pada ketika itu. Lagu yang bersifat malar segar hingga hari ini masih disiarkan, terutamanya melalui Radio Malaysia Klasik FM, Nasional FM, Muzik FM, dan KL FM.
Begitu juga dengan beberapa lagu dendangan Datuk Hail Amir yang lain, antaranya termasuk Tanda Kasih Bergelora, Kau Datang lagi Mengganggu Fikiran, Kukejar Bayangmu dan Dunia Hanya Pinjaman yang memiliki melodi, susunan seni kata dan gaya suara nyanyian yang unik.
Benarlah anggapan awal Tan Sri Dr. Ahmad Nawab yang banyak mencipta lagu untuk Datuk Hail Amir. Beliau amat yakin suara dan bakat penyanyi yang dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1947 itu memiliki aura tersendiri dan menjadi penyanyi sepanjang zaman.
Selain lagu solo yang menarik, lagu Antara Matamu dan Mataku, Menunggu Nasi Minyak, Tanda Kasih, Sikit Kasi Banyak Minta, Seloka Hari Raya dan lain-lain, turut terkenal melalui gandingan nyanyian suara Datuk Hail Amir dengan Uji Rashid.
Sesekali berkesempatan mendengar lagu-lagu dendangan beliau bersama-sama Uji Rashid yang kini sudah berusia setengah abad, pasti pendengar berasa teruja kerana dapat mengimbau nostalgia diri sendiri. Segala kenangan muncul dalam ingatan kerana ketika lagu itu disiarkan, rata-rata para peminatnya masih dalam pertengahan usia.
Ada yang sanggup mengayuh basikal bersama-sama teman sejauh beberapa kilometer untuk ke bandar atau pekan terdekat semata-mata untuk menyaksikan Datuk Hail dan Uji Rashid mengadakan persembahan di pentas, pesta ria, pertunjukan amal dan sebagainya.
Bermula sebagai penari pada awal penglibatan dalam bidang seni dan kemudiannya menyanyi, Datuk Hail juga turut dikenali sebagai pelakon filem menerusi filem Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib. Beliau berjaya menjiwai watak dan terbukti berjaya memberikan kesan kepada penonton.
Masyarakat umum pasti terkejut dan sedih mendengar berita kematian Datuk Hail Amir ekoran jangkitan kuman pada bahagian paru-paru di Hospital Kuala Lumpur pada 6 Mei 2024 yang lalu. Pemergiannya pada usia 76 tahun itu disifatkan oleh peminat sebagai kehilangan sebutir lagi bintang permata seni negara. Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham serta ditempatkan bersama-sama orang yang mulia.
Rasa simpati dan sedih itu turut dizahirkan sendiri oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, serta Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Abdul Jamil.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave yang pernah berkongsi persembahan pentas bersama-sama Datuk Hail Amir dua tahun yang lalu menyifatkan suara Datuk Hail sejak dahulu hingga menjangkau usia emas masih merdu dan menyifatkan hanya beliau yang mempunyai suara sebegitu unik.
Pemergian Datuk Hail turut dirasai oleh pasangan duetnya, Uji Rashid. Bukan sekadar bergandingan dalam persembahan, malah Uji menganggap Datuk Hail sebagai ahli keluarganya sejak dahulu. Ketika dirawat di hospital, Uji kerap menziarahinya, sehinggalah kunjungan terakhir sebelum meninggal dunia, Datuk Hail masih mengenali dirinya.
Menurut Uji, walaupun keadaan kesihatan diri Datuk Hail sudah merosot beberapa bulan belakangan ini, tetapi Datuk Hail masih tetap bersedia memenuhi jemputan termasuk pada majlis berbuka anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) pada bulan Ramadan yang lalu. Begitulah sifat bapa kepada empat orang anak ini yang mudah mesra dan tetap berusaha menjaga hubungan baik dengan semua orang di sekelilingnya.
“Allahyarham amat menghormati orang dan tidak lupa kepada mereka yang berkarya melahirkan lagu-lagunya. Beliau menghargai dan tidak lupa menyebut nama-nama kami ketika mengadakan persembahan,” cerita Datuk Chuari Selamat, mantan Pengurus Radio Nasional FM dan Klasik FM yang menulis lebih 100 lirik lagu untuk Datuk Hail, serta banyak menyimpan kenangan bersama-sama teman baiknya itu.
Sumbangan besar Datuk Hail menghiburkan peminat serta menyemarakkan industri hiburan tanah air turut dihargai oleh negara melalui pemberian anugerah darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk pada tahun 2022 bersempena ulang tahun Hari Wilayah Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.