Oleh Jamil Hashim
12 Ogos 2024, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

N

ama Jay Jay terkenal sebaris dengan nama-nama penyanyi tersohor tanah air sejak era awal 1980-an hingga kini. Peminat seni tanah air pasti terbiasa dan mudah mengenali lagu-lagu dendangannya yang bersifat malar segar dan masih dimainkan di radio,  khususnya Radio Klasik fm, Nasional fm, Muzik fm, dan stesen radio negeri.

Peminatnya dalam kalangan golongan dewasa serta yang sedang meningkat usia sejak era 1980-an memang sudah tidak asing dengan suara merdunya yang mendendangkan beberapa lagu popular seperti Rindu Bayangan.

Bila kukenang kurenung gambar wajahmu
Kisah yang lalu tak akan berulang lagi
Lupakan saja cerita lama
Usah dirayu pada yang tak sudi.

Serta lirik di tengah-tengah lagu ini:

Berputar-putar membelitkan kata-kata
Hanya linangan air mata yang menitis
Pada bayangan di angin lalu
Membisikkan kata rindu bayangan.

Masih segar dalam ingatan peminat, suara dan gaya Jay Jay menyebut lirik “Berputar-putar membelitkan kata-kata” dengan penuh perasaan yang menjadi kekuatan kepada lagu ciptaan dan terbitan Hj. Omar Taib dengan gubahan Nasir P.Ramlee.

Lagu ini pernah menjuarai selama 13 minggu berturut-turut carta rancangan lagu-lagu popular Pujaan 10 melalui siaran Rangkaian Nasional Radio Malaysia pada era 1980-an.

Penilaian untuk juara bagi sesebuah lagu dalam rancangan itu berdasarkan jumlah kad permintaan yang dihantar oleh peminat serta kekerapan penyiarannya di semua stesen radio pada setiap minggu yang menjadi faktor mengangkat populariti lagu berkenaan.

Lagu ini antara yang terkandung dalam album piring hitam pertama kumpulan Carefree berjudul Kebebasan yang dianggotai Jay Jay pada tahun 1979 sebagai penyanyi utama. Jay Jay turut bermain gitar bass yang dianggap sebagai antara pemuzik terbaik sejak era 80-an dan berkualiti semasa rakaman dan pertunjukan pentas.

Album Jay Jay yang bertajuk emosi.

Bukan sahaja lagu berkenaan, malah beberapa lagu lain dendangan Jay Jay turut mempopularkan namanya dan kumpulan Carefree termasuklah lagu Kini Baru Kau Sedar, Joget Mak Enon, Bayangan Tarimu, Cukuplah Sekali, Kau yang Tersendiri dan beberapa judul lagi.

Pelbagai lagu dendangan Jay Jay yang menyumbang kepada penghasilan khazanah seni muzik negara pasti akan sentiasa dikenang oleh peminatnya walaupun Jay Jay telah kembali menghadap Ilahi pada 4 Ogos 2024 ketika berusia 67 tahun semasa dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Jay Jay menjalani rawatan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Mei lalu setelah mengalami serangan jantung ringan yang disusuli pula dengan serangan angin ahmar.

Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd. Fauzi Darus dilahirkan di Kedah pada 6 Jun 1957 dan kemudiannya dibesarkan di Kelantan.  Mula berjinak-jinak dengan muzik sejak di bangku sekolah apabila mendapat hadiah sebuah gitar yang dibeli oleh bapa yang sebenarnya tidak menggalakkannya menjadi pemuzik tetapi tidak menghalang minat beliau.

Hadiah inilah yang menjadi pendorong bakat seninya sehingga ke alam remaja dan belia yang memberikan kesempatan bersama rakan-rakan membentuk kumpulan muzik dengan Jay-Jay sebagai pemain dram dan gitar.  Mereka turut berpeluang mengadakan persembahan di kelab-kelab hiburan dan hotel di negeri itu.

Perkembangan bakatnya dalam bidang seni terus digilap semasa berhijrah ke Kuala Lumpur pada era 1970-an untuk bermain muzik di beberapa buah kelab malam hingga diberikan peluang menyertai kumpulan Carefree sebagai pemain gitar bass sepenuh masa.  Kumpulan ini berjaya melahirkan album pertama berjudul Kebebasan pada 1979, album Kebebasan II pada tahun yang sama dan Kebebasan III pada tahun 1980.

Jay Jay pernah menjadi pemain gitar bass kumpulan Carefree.

Sebagai penyanyi yang prolifik dalam menghasilkan lagu dan setelah meninggalkan kumpulan Carefree, bakat seninya terus bergemerlapan menerusi beberapa buah album solo bermula dengan Jay Jay (1984), Kau yang Tersendiri (1985), Keasingan dalam Luka (1986), Kurnia (1988), Bersama (1990) dan Jay Jay 97 (1997).

Sementara itu, album Emosi merupakan album terakhirnya pada tahun 2009 yang termuat lapan lagu termasuklah Permaisuri, Layang-layang, Jauh Dirindu, Cukup Sekali, Kekasih dan Dalam Kenangan.

Lagu-lagu dendangannya turut dimuatkan dalam album kompilasi Koleksi Abadi (1992), Koleksi Abadi II (1994), Tiga Dimensi Pop Lelaki Terbaik (2000), Koleksi 20 Lagu Hits Jay Jay dan Dayangku Intan (2007) dan beberapa album lagi.

Jay Jay juga pernah tampil menerusi album Riang Ria Hari Raya (1985), Hitam Putih Kehidupan (1987), Gema Hari Raya (1989), Seikhlas Budi Aidilfitri (1994) dan Kini Saatnya untuk Sukan SEA ke-15 pada tahun 1989 dan album berpadu suara dengan penyanyi-penyanyi lain dari tahun 1984 hingga tahun 2024 bersama-sama Dayangku Intan, Ning Baizura, Datuk Ramli Sarip, Syura dan kumpulan Mirwana.

Perjalanan bakat dan karier seninya ini sering diceritakan semasa menjadi tetamu undangan rancangan radio yang turut memberikan kesempatan untuk beliau menyanyi dan mengadakan persembahan.

Antaranya termasuklah rancangan mingguan, Pentas Varia terbitan Radio Malaysia Rangkaian Nasional serta beberapa rancangan hiburan khas lain pada musim perayaan terutamanya semasa hari raya Aidilfitri dan Hari Kebangsaan.

“Gayanya beraksi sebagai pemain gitar bass dan mendendangkan lagu-lagu popularnya, memang memikat dan berjaya menarik perhatian peminat,” cerita Datin Rosni Mohd. Yusof, mantan Pengawal Radio Muzik fm, RTM yang pernah menjadi  pengacara tetap rancangan Pentas Varia yang dirakamkan di luar bersama masyarakat.

Datin Rosni turut kagum dengan Jay Jay sebagai pemuzik dan penyanyi yang mempunyai disiplin yang tinggi, teliti dan berhati-hati serta komited dengan tanggungjawab setiap kali persembahan dan sesi rakaman. Walaupun serius bekerja namun Jay Jay mudah mesra dengan artis lain,  pemuzik, petugas pentas dan khalayak peminat.

Jay Jay juga berkesempatan mengadakan persembahan melalui beberapa rancangan televisyen seperti Hiburan Mingggu Ini di RTM sebagai hos rancangan atau penyanyi undangan serta rancangan-rancangan khas hiburan yang lain semasa perayaan di semua rangkaian televisyen. Secara tidak langsung hal tersebut menambahkan popularitinya sebagai artis dan karyawan seni muzik.

Hasil karya seni yang berkualiti sama ada sebagai penyanyi, pemuzik dan penggubah lagu telah melayakkan dirinya meraih pelbagai anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (1988), Vokal Terbaik Lelaki dalam Anugerah Industri Muzik (1998) dan juara kategori pop rock dalam Juara Lagu (1998) menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.

Kerja keras dalam membantu menjayakan sesuatu persembahan artis ternama tanah air turut memberikan peluang kepada Jay Jay untuk belajar dan menambah kemahiran.  Beliau pernah menjadi pemuzik bermain gitar bass mengiringi persembahan dan beberapa konsert seniman tersohor negara Datuk Sudirman Hj. Arshad dan artis legenda, Anita Sarawak.

Jay Jay juga berpeluang beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di Kuala Lumpur berkongsi pentas bersama Simfoni Istana Budaya dan menghiburkan peminat diiringi pemuzik orkestra yang turut melengkapkan portfolio kerjaya seninya.

Kegemilangan Jay Jay mewarnai industri muzik negara selama lebih empat dekad, pemergiannya pada saat ini amat dirasai.  Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil menyifatkan pemergiannya sebagai kehilangan besar kepada bidang seni tanah air.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez sendiri yang menggalakkan Jay Jay berhijrah ke Kuala Lumpur dan mempelawanya menyertai Revolvers, kumpulan muziknya menyifatkan Allahyarham sebagai permata berharga dalam industri seni hiburan tanah air yang tidak pernah jemu dan tidak kering idea dalam mengangkat karya muzik.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tempatan, Datuk DJ Dave pula yang mempunyai hubungan rapat sebagai artis seangkatan, teringat bahawa Jay Jay masih mampu tersenyum ketika beliau menziarahinya dalam keadaan stabil semasa dirawat di hospital.

Pemergiannya boleh disifatkan sebagai suatu kehilangan bukan sahaja kepada peminat seni muzik di tanah air malah juga di negara jiran.

Kisah ini adalah berdasarkan cerita yang diungkapkan sendiri oleh arwah Jay Jay bahawa beliau pernah mendapat undangan pada era 1980-an dan 1990-an untuk mengadakan persembahan di Brunei Darussalam dan Indonesia hanya untuk mendendangkan lagu keramatnya, Rindu Bayangan yang membuatkan dirinya benar-benar terharu dan berasa amat dihargai.

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diberkati dan ditempatkan bersama-sama hamba-Nya yang mulia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.