Oleh Jamil Hashim
12 Disember 2024, 22:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Masa terus berlalu, zaman kian beredar membawa pelbagai perubahan termasuk juga muzik dan seni suara. Ciptaan pelbagai peralatan muzik dengan penampilan bunyi yang semakin canggih dan sensasi telah berjaya menggantikan alat muzik semasa termasuk gitar, dram, saksafon; apatah lagi yang tradisi seperti gendang, rebana, biola, arkodion marakas, gambus dan seruling dengan kemerduan tiupannya jauh ditinggalkan.

Walaupun set alat muzik asal itu sudah menjadi artifak seni yang semakin ditinggalkan, tetapi irama bunyinya tetap tidak hilang atas kebijaksanaan pencipta teknologinya mengekalkan pelbagai unsur bunyian peralatan sedia ada, hanya melalui gerakan jari menggantikan lima atau 10 orang pemuzik; malahan sebuah orkestra yang dianggotai oleh 30 atau 40 orang pemuzik di atas pentas.

Demikian situasi semasa yang terjadi. Masa silih berganti menukarkan segalanya dan yang pasti teknologi akan terus berubah. Begitu juga dengan rentak dan irama lagu, terus berlaku pelbagai masukan menghasilkan rentak dan irama yang berubah berjaya menarik cita rasa khalayak zaman. Sudah jarang mendengar lagu irama Melayu yang sejati; walaupun usaha menghidupkan dilakukan dengan pelbagai kesungguhan. Watak-watak yang mendukung kelangsungannya seperti pencipta dan penyanyi bukan sahaja kian meningkat usia tetapi seorang demi seorang pergi mengadap penciptanya yang Maha Esa tanpa meninggalkan zuriat berbakat untuk meneruskannya.

Beberapa nama besar yang menghidupkan lagu irama Melayu seawal Kamariah Nor, Hamzah Dolmat, Zaharah Agos, Rohani B, Rosiah Chik, SM Salim, Abdullah Chik, Rahim Jantan, Rafeah Buang, M. Daud Kilau dan Shamsudin Lamin yang sekadar menyebut beberapa nama pejuang lagu berentak irama Melayu telah lama tiada termasuk yang terbaharu Aspalela Abdullah.

Mendengarkan lagu berentak irama Melayu Asli dengan suara wanita mendayu, lemak merdu atau rancak dendangannya melalui radio atau piring hitam mulai era 70-an; pendengar sudah pasti mengenali penyanyi Aspalela Abdullah yang mendendangkannya. Nama Aspalela dan lagu dendangannya mula mendapat perhatian masyarakat, setelah muncul sebagai pemenang Pertandingan Bintang Radio pada tahun 1968. Pertandingan anjuran Radio Malaya ini mula dipertandingankan pada tahun 1959 untuk mencari bakat menyanyikan lagu-lagu yang berentak langgam, asli, keroncong dan seriosa.

Pemilihan Aspalela untuk menjuarai pertandingan itu, membuktikan beliau memiliki kelebihan yang luar biasa termasuk alunan suara yang tersendiri, menghayati lirik dan keupayaan mengekspresikan melalui nyanyian. Sejak itu lagu-lagunya mula dirakamkan dalam piring hitam. Lagu-lagu tersebut dirakamkan secara berperingkat-peringkat sehingga mencapai lima buah album.

Antara lagu dendangannya ialah “Payung Mahkota” dan “Joget Cari Makan” ciptaan dan terbitan Omar Taib yang diedarkan oleh syarikat edaran WEA (kini Warner Music) pada tahun 1991. Begitu juga dengan lagu “Bukan Sekadar Sekalung Doa”, Titian Kasih Ke Syurga”, `Bunga Hati’, `Sri Andalas’  dan `Joget Memujuk’ yang selalu didendangkan di hadapan penonton semasa persembahan pentas, pertunjukan amal dan majlis makan malam. Lagu-lagu nostalgia itu juga didendangkannya sebagai artis veteran undangan dalam konsert khas bersama Orkestra RTM.

Masyarakat yang meminati lagu dan suara penyanyi itu kini masih boleh mendengar kemerduan, lentok dan alunan suaranya melalui stesen Radio Malaysia Klasik Nasional. Peneliti dan penyelidik lagu dan filem Melayu, Muhammad Mohd.Hashim menyifatkannya Aspalela sebagai penyanyi legenda bersuara nyaring yang tiada tandingan dan mempunyai lenggok suara yang tersendiri sesuai untuk menyanyikan lagu berentak asli.

Beliau adalah sekarang vokalis yang mampu menzahirkan gagasan muzikalnya secara tersendiri yang berupaya mematangkan dirinya sebagai seorang penyanyi yang diminati, katanya. Walaupun pernah mendapat sedikit bimbingan rakan seperjuangan Tan Sri SM Salim pada awal 60-an tetapi beliau banyak belajar dan berlatih secara bersendirian serta tidak berguru dengan sesiapa.

Hal ini dilakukannya secara berulang kali dengan memutarkan lagu-lagu penyanyi lain dalam piring hitam untuk mendengar gaya vokal mereka sehingga dirinya betul-betul mahir. Kemahiran itulah yang melayakkan dirinya ke peringkat akhir Bintang Radio 1968.

Namun begitu, suara merdu, lunak dan indah milik Aspalela Abdullah hanya tinggal dalam rakaman dan kenangan kepada peminat berikutan kembalinya beliau ke rahmatullah pada 8 Disember 2024 di Hospital Kuala Lumpur.

Allahyarhamah yang dilahirkan pada 1945 hampir mencapai usianya 80 tahun pada 30 Januari depan dilaporkan jatuh dalam bilik air semasa untuk solat Subuh di kediamannya di Taman Melati dekat ibu negara. Jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Lebuh raya Kuala Lumpur – Karak. Semoga Allah SWT mencucurkaan rahmat ke atas rohnya serta ditempatkan dalam kalangan orang yang mulia dan beriman.

Allahyarhamah Aspalela menikahi bintang filem terkenal, Raja Ismail Raja Saat yang telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu. Mereka meninggalkan tiga orang anak dan tiga orang cucu. Pemergiannya itu merupakan kehilangan kepada dunia seni tanah air sebagai penyanyi lagu irama Melayu asli hebat dengan mempunyai lenggok asli suara tersendiri; tiada tandingan. Di samping lagu-lagunya masih disiarkan di radio, beberapa lagu nyanyiannya turut dinyanyikan oleh peserta program realiti mencari bakat Bintang Asli anjuran RTM dan Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sejak 1996.

Bukan sahaja ahli keluarga amat merasai kehilangannya tetapi juga teman-teman rapat dan kalangan artis sendiri yang menyifatkannya sebagai insan yang tidak lokek ilmu. Ini terutama bagi peserta Kumpulan Marhaban Artis Wanita Malaysia yang dipimpin oleh Datuk Yusni Hamid yang ditubuhkan pada 2014.

Allahyarhamah yang pandai marhaban sering berkongsi ilmu dengan rakan artis lain mengenai kaedah marhaban yang betul dalam mengawal suara untuk mengalunkan qasidah, nasyid dan selawat atas keupayaannya menguasai kemahiran itu. Allahyarhamah juga menyertai kumpulan membaca Yasin di tempatnya dan sempat membimbing beberapa orang artis yang belajar mengaji dengannya. Atas kebolehan dan pencapaiannya itu, Allahyarham juga terpilih penerima `Anugerah Kecapi’ bagi kategori Anugerah Artis Sepanjang zaman (Penyanyi Lagu Melayu Asli) pada tahun 2006 yang diberikan kepadanya pada Malam Jasamu Dikenang anjuran Persatuan Penyanyi Tanah Air (PAPITA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.