Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPyanhabib, atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, merupakan satu nama yang cukup terkenal sebagai seorang seniman marhaen di negara ini. Bakatnya cukup terserlah dalam bidang penulisan sajak dan puisi di mana karyanya banyak menyentuh tentang kehidupan masyarakat dan isu sosial.
Karya-karyanya sering kali menyentuh hati pembaca dengan gaya penulisannya yang mudah difahami, namun berbekas lagi mendalam. Selain itu, Pyanhabib turut dikenali sebagai seorang pelakon yang berkarisma dan pernah memenangi pelbagai anugerah.
Yang membuatkan dirinya unik serta berbeza daripada seniman lain ialah beliau dianggap sebagai seorang artis yang “memberontak” dalam konteks budaya dan seni. Beliau sering kali menampilkan pandangan yang kritis terhadap isu sosial dan politik melalui karya seninya.
Sebagai seorang yang berani menyuarakan pendapatnya, Pyanhabib tidak terikat kepada norma konvensional atau arus perdana, malah beliau sering menentang kebiasaan yang dianggap sebagai “status quo”.
Siapa yang tidak ingat watak Pyanhabib dalam filem Kembara Seniman Jalanan? Satu filem rebel yang teguh walau dibadai masa. Dalam filem ini, Pyanhabib membawakan watak Osman Tikus dengan begitu hebat dan bersahaja. Osman Tikus digambarkan sebagai seorang individu yang hidup di pinggir masyarakat dengan kehidupan yang penuh cabaran dan kekurangan. Dia hidup dengan menjadi penyeluk saku tetapi mempunyai maruah dan minat pada puisi.
Kawan-kawanya pula adalah pemuzik jalanan, penjual burger serta mereka yang berada di sudut bawah hierarki masyarakat. Di tangan Pyanhabib, watak tersebut seperti satu naratif realiti dan bukan fiksyen, serta sinonim dengan keadaan dirinya terutamanya dari segi imej, pakaian serta tutur kata; lu-gua.
Dalam bidang sastera pula, puisi Bapakku Seorang YB oleh Pyanhabib merupakan sebuah karya yang hingga kini menjadi inspirasi terutamanya buat mereka yang “anti-establish”. Puisi ini menyelami kehidupan seorang anak yang ayahnya merupakan seorang wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB).
Puisi ini menggambarkan sentimen sindiran kritikal terhadap sosok seorang YB yang begitu pintar akalnya dalam politik. Tetapi pintarnya itu lebih kepada kepentingan diri dan keluarganya.
Bapaku seorang YB di negara demokrasi,
Joget dan zapin dia tahu menari,
Hari-hari meeting hari-hari outstation sampai pagi,
Konon menghargai kesetiaan para pengundi
Bait puisi di atas menggambarkan betapa seorang YB itu begitu sibuk dengan aktiviti hariannya. Bukan sahaja bermesyuarat tetapi turut menyulam dengan hiburan tari menari. Semuanya atas nama demokrasi.
Tanggal 4 Jun 2024, Pyanhabib yang berusia 66 tahun menghembuskan nafas terakhir di rumahnya yang terletak di AU4, Keramat, Selangor. Pemergiannya ini merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air. Sumbangannya sangat besar semenjak tahun 1976, iaitu ketika mula bergiat aktif bersama-sama kumpulan Anak Alam.
Beliau mencetuskan satu fenomena dengan aktiviti membaca puisi di bawah tiang lampu di Sentral Market, Kuala Lumpur. Acara baca puisi itu menjadi tumpuan warga kota kerana turut menampilkan ramai nama besar yang lain, seperti kumpulan Kopratasa yang terdiri daripada Sani Sudin, Usop dan Siso, Kamarool Hj Yusuf, Ladin Nuawi, Imudn dan ramai lagi.
Pyanhabib juga pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Tsu Feh Sofiah di Festival Filem Malaysia ke-7, tetapi bertindak memulangkan kembali trofi terbabit kepada pihak penganjur kerana berpandangan bahawa lakonan bukan bidangnya.
Filem-filem lain yang pernah dilakonkan oleh Pyanhabib antaranya termasuklah Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013) Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).
Selain itu, Pyanhabib turut berkesempatan menerbitkan pelbagai buku hasil kerjasama dengan Institut terjemahan Buku Malaysia (ITBM). Antara judul buku tersebut termasuklah Balada Pyanhabib, Dialog Kecil Pyanhabib: Bonus, Teruskan Saja, Bib! dan Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib.
Pyanhabib juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022 oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sempena Hari Puisi Kebangsaan yang dianjurkan pada Julai 2022.
Semoga roh Allahyarham Pyanhabib dicucuri rahmat Allah S.W.T.
Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).