Oleh Rasfan Abu Bakar
23 November 2024, 18:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rasfan Abu Bakar memperkatakan tentang dua orang pelukis yang telah meninggal dunia, baru-baru ini.

Dengan rasa dukacita, pada bulan Ogos 2024, dua pengkarya tanah air telah kembali ke rahmatullah. Mereka berdua, iaitu Fuad Abu Bakar dan Dr. Baharuddin Arus telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya dengan semangat yang kental dalam dunia seni lukis. Mereka berdua merupakan pelukis yang luar biasa dengan kreativiti dan dedikasinya serta tidak kenal erti putus asa. Karya mereka sangat menyentuh sanubari serta penuh dengan elemen yang memukau dan mempesona.

Fuad Abu Bakar

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa saudara Fuad merupakan seniman pertama yang tampil dalam ruangan Anjung Visual terbitan Dewan Budaya. Ruangan ini merupakan idea penulis ketika mengadakan perbincangan dengan editor pada waktu itu yakni Encik Armin Azhari. Pada pertemuan tersebut pelbagai nama telah diberikan dan akhirnya nama yang penulis cadangkan, iaitu Anjung Visual telah diterima. Penulis sangat berterima kasih atas kesudian En. Armin untuk membuka satu ruangan baharu bagi mengangkat kisah seniman seni visual tanah air.

Setelah itu penulis mula menemuramah saudara Fuad di studio lukisannya di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur. Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana yang santai dan menghiburkan. Hal ini disebabkan Fuad adalah seorang yang ramah dan sering berjenaka. Fuad menceritakan pelbagai pengalamanya dalam dunia seni lukis termasuklah ketika dia menyambung pelajaran ke Scuola Arte Lorenzo de’ Medici, Florence, Italy.

Disinilah saudara Fuad belajar tentang dunia seni visual seperti rekaan grafik dan seni halus. Menurutnya pengalaman belajar ditempat orang amat berbeza dengan di Malaysia. Misalnya, dia mestilah tahu berbahasa Itali, walaupun sukar tetapi itu bukanlah alasan untuk tidak mempelajarinya. Makanan halal juga sukar untuk didapati, justeru Fuad gemar memasaknya sendiri.

Kata Fuad, “belajar ditempat orang menjadikan kita lebih bersemangat untuk bersaing. Ini kerana hasil kerja mereka jauh lebih hebat. Saya menjadikan rakan-rakan sebagai rujukan atau tempat bertanya ketika menghasilkan tugasan yang diberikan”.

Dalam berkarya, saudara Fuad menjadikan Picasso dan Piet Mondrian sebagai artis rujukannya. Ini kerana gaya serta komposisi lukisan mereka sangat luar biasa dan kreatif. Subject matter pilihan Fuad pula berkisar kepada bangunan lama di Kuala Lumpur, gerai-gerai di tepi jalan serta ragam manusia yang mencari nafkah di ibu negara. Lukisan potret juga antara subjek kegemaran Fuad. Menurut Fuad melukis potret memerlukan kepakaran yang tinggi kerana jika tersilap maka wajah yang dilukis tentunya lain dari rupa sebenar empunya diri.

Dr. Baharuddin Arus

Dr. Baharuddin Arus pula telah tampil menghiasi ruangan Anjung Visual pada bulan Mac 2017. Kisahnya agak berbeza dengan yang lain kerana Dr. Baharuddin merupakan seorang akademia yang sangat berpengalaman kerana pernah mengajar di negara Brunei. Pada mulanya penulis beranggapan bahawa Dr. Baharuddin mungkin agak sukar didekati tetapi andaian tersebut meleset kerana sebenarnya beliau seorang yang ramah. Dr. Baharuddin begitu petah berkata-kata tentang hal berkaitan dunia akademik dan seni lukis tetapi pada masa yang sama tidak memperkecil dan memperlekehkan karyawan yang lain.

Perjalanan seninya bermula pada tahun 1970, ketika itu Dr. Baharuddin melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur. Setelah itu beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dengan mengambil jurusan seni halus dalam seni arca. Seni arca dipilih kerana menurutnya sangat mencabar kreativiti seseorang seniman selain dianggap baharu pada waktu itu.

Ketika di USM, rezeki Baharuddin untuk mendalami seni visual datang tanpa diduga. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau berjaya mendapat biasiswa Kerajaan Persekutuan dan USM di bawah rancangan pensyarah muda. Melalui skim ini, beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana, iaitu Sarjana Seni Halus, di University of Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat. Ketika di negara Uncle Sam ini juga, beliau berjaya melakukan beberapa siri latihan industri yang berkaitan dengan seni arca dan penulisan di Pratt Institute, New York, dan San Antonio, Texas.

Pada tahun 2000, Dr. Baharuddin mengorak langkah dengan mengembangkan kariernya ke Universiti Brunei Darussalam (UBD). Pada masa yang sama, Dr. Baharuddin telah membangunkan program Seni Visual yang ketika itu belum wujud di UBD. Program yang julung kali diperkenalkan itu kemudianya mendapat sambutan luar biasa daripada pelajar Brunei. Program Seni Visual ini merupakan legasi istimewa Baharuddin untuk warga UBD.

Diharapkan kisah hidup mereka menjadi inspirasi buat seseiapa sahaja yang berminat untuk berkarya dalam dunia seni lukis tanah air. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua.

_________________________

Rasfan Abu Bakar merupakan pensyarah kanan seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.