Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGaya mengangkat tangan di hadapan kamera yang menggambarkan ketegasan, emosi marah dan kritikannya dalam melaporkan berita terutamanya berkaitan hal-hal alam sekitar sambil mengungkapkan peribahasa Melayu, bidalan atau pantun dua kerat yang tajam dan halus sindirannya merupakan “cap dagang” beliau.
Beliau yang penulis maksudkan ialah Datuk Karam Singh Walia. Penonton umumnya sudah mengenali perwatakan beliau ketika membuat laporan dalam Buletin Utama TV3. Walau bagaimanapun, Datuk Karam Singh Walia telah tiada setelah menghembuskan nafas akhirnya pada pagi 6 April 2026 ketika berusia 67 tahun di kediamannya.
Mendiang menghidapi penyakit kanser hati dan sebelum ini sering mendapatkan rawatan seperti yang dimaklumkan oleh adikya sendiri, Jasbant Singh, kini berkhidmat sebagai Pengarang Urusan Kumpulan (GME), Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad.
Ketegasan Datuk Karam Singh Walia
Mendiang yang fasih berbahasa Melayu kelihatan bersahaja dalam laporannya tetapi ketegasan beliau terhadap isu yang dibawa hasil tinjauan dan penelitian yang bersungguh-sungguh, disokong kuat oleh paparan visual di lokasi bagi menyatakan kebenaran dan membangkitkan suara rakyat.
Pelibatannya selama dua dekad sebagai wartawan penyiaran di TV3 sejak tahun 1995 hingga bersara pada tahun 2014 menjadikannya sebagai personaliti ikonik dengan stesen penyiaran itu terutama melalui isu-isu persekitaran yang didedahkannya.
Beliau juga dianggap sebagai pelopor dalam kewartawanan alam sekitar yang berani mendedah dan menyuarakan hal-hal berkaitan kepincangan tadbir urus, kelemahan penguatkuasaan serta lantang mengkritik pihak yang mengabaikan peraturan dan undang-undang seperti yang diungkapkan pada akhir laporannya:
“Ini bukan perkara baharu…”
“Rumah terbakar nampak asap, hati terbakar siapa yang tahu…”
“Jangan dengar pembohongan orang yang bukan pakar; mereka hanya pandai bercakap di kedai kopi, ibarat murah di mulut, berat di timbangan”.
Selain ungkapan pedas, beliau juga pasti mengakhiri laporannya dengan memaparkan peribahasa dan bidalan Melayu termasuklah yang diubahsuainya dengan tujuan mengkritik dan menyindir pihak tertentu yang gagal bertindak, lepas tangan atau bersikap sambil lewa menangani masalah berbangkit demi kepentingan peribadi.
Ungkapan tersebut mempunyai mesej yang halus dan tajam menyindir pihak tertentu sehingga dalam kalangan tokoh budaya Melayu menganggapnya sebagai “Bapa Peribahasa dan Bidalan” dalam kewartawanan negara seperti yang pernah diungkapkannya:
“Kuat pohon kerana batangnya,
Kuat batang kerana akarnya.”
“Sebab pulut santan binasa,
sebab mulut habis pulut”.
Mendiang sendiri dikatakan memiliki sebuah buku memuatkan kata-kata bidalan dan peribahasa Melayu yang sering menjadi rujukannya. Bagi menghargai usaha dan kesungguhannya itu, Datuk Karam Singh juga telah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan atas sumbangannya dalam kewartawanan berkaitan alam sekitar.
Antara pencapaian yang diperolehi oleh beliau ialah Wartawan Televisyen Alam Sekitar Terbaik selama empat tahun berturut-turut sejak tahun 2004 oleh Malaysia Press Institute dan dua kali dalam Anugerah Seri Angkasa.
Beliau juga telah dikurniakan dengan anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang pada tahun 2011.
Sebelum terjun dalam bidang kewartawanan, beliau merupakan bekas guru sekolah menengah dan pensyarah. Walau bagaimanapun, rasa tidak puas hati ekoran banyak kes denggi di kawasan perumahannya yang meragut beberapa nyawa dan kurang diberi perhatian pihak berkuasa tempatan mendorong beliau untuk mengenengahkan isu itu melalui media dan mula mendapat perhatian.
Kemampuannya menguasai bahasa Melayu dengan baik menyebabkan laporan yang disampai terkesan kepada pendengar. Penonton tertarik dengan gayanya yang komited dalam membongkar dan mendedahkan kemusnahan alam sekitar.
Ucapan Takziah
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan takziah kepada keluarga Datuk Karam Singh Walia dan turut menghargai dedikasi mendiang dalam tugas kerana mampu membuka minda masyarakat agar sentiasa prihatin dengan isu-isu alam sekitar.
Begitu juga dengan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata; gaya penyampaian tersendiri menjadikan mendiang antara figura yang dekat di hati penonton melalui laporannya yang berani dan berimpak berkaitan alam sekitar.
Beliau menyifatkan pendedahannya tentang kerosakan alam turut membantu membuka minda dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan bersama memelihara alam demi kelestarian persekitaran untuk kesejahteraan kehidupan rakyat dan negara.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr. Syed Hussian Aljunid yang turut menghargai usahanya selama ini menyifatkan mendiang telah mewarnai dunia kewartawanan negara sebagai wartawan alam sekitar yang berani dan lantang dalam mendedahkan isu-isu pencemaran, salah urus alam sekitar dan masalah masyarakat.