Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangNama S. Atan memang sinonim dengan masyarakat Malaysia sebagai pencipta, penggubah, komposer, penerbit serta pemuzik tersohor yang berperanan besar menggerak usaha mengembangkan seni dan industri muzik tanah air. Bakatnya dalam berkarya telah mengupayakan diri beliau menghasilkan lebih seribu buah lagu Melayu. Lantas perkara ini turut melahirkan ramai penyanyi tersohor negara untuk mendendangkan lagu-lagu ciptaannya.
Usaha ini turut menjadikan dirinya antara komposer dan penyumbang terbanyak kepada khazanah muzik tanah air bermula era 70 dan 80-an termasuk lagu-lagu raya dengan melodi yang menarik serta memikat halwa telinga sehingga sekarang. Antara penyanyi terkenal yang pernah mengalunkan muzik ciptaannya ialah Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tan Sri S. M. Salim, Datuk Sudirman Haji Arshad, Datuk DJ Dave, Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Datuk M. Nasir, Dato’ Francissca Peter, Herman Tino, Norkumalasari, Zaleha Hamid serta kumpulan penyanyi Carefree dan Black Dog Bone.
S. Atan atau nama sebenarnya Hashim Said dilahirkan di Singapura pada 1 Ogos 1949. Mula terlibat dalam industri muzik pada tahun 1972 ketika berusia 23 tahun dengan syarikat rakaman EMI sebagai penerbit. Selepas 13 tahun dengan syarikat itu, beliau berpindah ke syarikat rakaman Irama Malaysia pada tahun 1985 selama dua tahun. Setelah itu, beliau berhenti untuk menjadi komposer dan penerbit album bebas hingga ke akhir hayatnya.
Pemergian Datuk S. Atan itu disifatkan oleh para karyawan, penyanyi dan peminat sebagai kehilangan tokoh besar kepada industri muzik tempatan. Rata-rata mereka menyifatkan Allahyarham seorang yang hebat sebagai pencipta, pengubah dan komposer yang turut menerbitkan album bagi beberapa orang penyanyi. Adiknya Fatah Hasan Said atau Belle, 66 tahun yang menulis lirik dalam kebanyakan lagu ciptaan Datuk S Atan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat cintakan karier muzik dan seni yang diperjuangkan sejak lima dekad lalu.
Penyanyi terkenal, Datuk M. Nasir turut menyifatkan Allahyarham sebagai komposer yang terlibat menerbitkan album bertindak secara profesional, amat teliti dan tegas bagi memastikan lagu-lagu yang dihasilkan bermutu dengan rakaman berkualiti. Beliau menyifatkan pemergian komposer seangkatan dengannya itu sebagai seorang karyawan seni yang prolifik dan gigih berusaha untuk sentiasa menyajikan yang terbaik untuk didendangkan oleh penyanyi.
Baginya, Allahyarham S Atan juga antara individu yang turut menyokong dan membantunya ketika mula-mula terbabit dalam industri muzik tanah air pada era 70-an. Allahyarham sendiri pernah menjadi pemuzik pengiring ketika beliau diundang menjayakan persembahan di Manchester, England pada tahun 1997.
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga turut terkesan mendengar berita kematian Datuk S. Atan yang mencipta lagu-lagu untuknya. Lagu-lagu ciptaan Allahyarham juga sering menjadi pilihannya untuk dinyanyikan semasa menjayakan konsert dan persembahan di pentas menemui peminat. Antaranya lagu Joget Kasih Tak Sudah, Joget Berhibur, Berpantun Kasih, Pandang-pandang, Jeling-jeling dan Bila Hari Raya Menjelma.
Allahyarham juga banyak mencipta lagu bersuasana kemeriahan hari raya yang menjadi malar segar dan terus popular setiap kali menjelang sambutan Syawal; Menjelang Hari Raya yang dinyanyikan oleh Datuk DJ Dave; Dari Jauh Kupohon Maaf (Datuk Sudirman Hj. Arshad); Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdullah); Hari Mulia (Dato’ Sheila Majid), Indah Beraya di Desa (Azlina Aziz) dan Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone).
Mantan Pengurus Radio Malaysia Klasik Nasional, Datuk Hj. Chuari Selamat yang turut menulis lirik untuk Datuk S. Atan termasuk lagu berirama keroncong Sepetang di Pasar Minggu dendangan Datuk Sudirman Hj. Arshad juga mempunyai banyak pengalaman bersamanya. Terutama ketika Datuk S. Atan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat sebagai pemuzik kanan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM). Baginya, Allahyarham S Atan adalah seorang pejuang seni yang mampu menjiwai citarasa anak bangsanya dengan lagu lagu irama Melayu yang terus hidup subur menjadi malar segar kepada pendengar.
Ini sesuai dengan prinsip hidup Allahyarham yang dalam mencipta lagu-lagunya mesti benar-benar berjiwa Melayu dan bukan berunsurkan rap termasuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rojak yang disifatkannya sebagai biadab dan tidak menghormati unsur seni dan budaya Melayu itu sendiri. Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat semasa Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 pada 11 Oktober 2024 adalah manifetasi kekentalan jiwa Melayu dalam diri dan karya lagu hasil ciptaannya.
Anugerah istimewa itu juga diberikan atas bakat, kebolehan, curahan bakti dan sumbangannya dalam penciptaan lagu Melayu yang amat besar dalam mengayakan khazanah muzik negara. Datuk S. Atan sendiri menyifatkan anugerah berprestij yang diterimanya itu sebagai suatu pengiktirafan kepada anak seni yang akan membakar semangat kepada dirinya untuk terus berkarya. Sebelum ini, S. Atan pernah dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) membawa gelaran `Datuk’ pada sambutan Hari Jadi Ke-74 di-Pertuan Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada Ogos 2023 yang beliau turut anggap sebagai suatu penghormatan menghargai bakat dan sumbangan karya seninya.
Lagu ciptaan komposer hebat itu akan terus kekal disiarkan khususnya melalui radio dan media sosial. Lagu malar segar ciptaannya itu pasti akan meninggalkan kenangan kepada dunia seni tanah air walaupun beliau telah dijemput menghadap Ilahi pada 16 November 2024 di kediamannya di Bukit Kajang Baharu, Selangor. Allahyarham yang berusia 75 tahun meninggalkan enam orang anak hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Datin Norizan Yeob.
Datin Norizan sendiri mengesahkan kematian suaminya itu dalam suasana yang tenang setelah sesak nafas; dipercayai berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-paru. Allahyarham yang uzur sejak sebulan lalu juga pernah mendapat rawatan di sebuah pusat perubatan di Kajang. Jenazah allahyarham S. Atan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang yang turut dihadiri ramai rakan seni, artis dan masyarakat untuk memberikan penghormatan terakhir.