Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTan Sri Ahmad Nawab merupakan figura penting dalam landskap muzik Malaysia. Sebagai komposer, pemuzik dan penerbit, beliau meninggalkan legasi luar biasa yang menjadi inspirasi kepada generasi seni tanah air. Pemergian beliau meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan dan peminat seni yang mengenangnya sebagai seorang maestro muzik yang komited dan rendah hati.
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam akaun media sosial miliknya bahawa negara kehilangan seorang tokoh dan permata seni yang begitu besar jasanya dalam memperkayakan landskap muzik tanah air, bukan sahaja menjadi warisan seni tetapi juga menjadi pengikat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Sentuhannya dalam lagu telah menyentuh hati jutaan rakyat melalui karya-karya yang puitis lagi nan indah. Sebagai contoh, beliaulah yang bertanggungjawab mengubah lagu Malaysia Truly Asia yang dinyanyikan oleh Datuk Khatijah Ibrahim.
Lagu tersebut turut dijadikan lagu tema dalam mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa. Menurut beliau, lagu tersebut merupakan pencapaian tertingginya dalam penghasilan lagu kerana dirakamkan ke dalam 17 bahasa, yakni bahasa Sepanyol, Perancis, Belanda, Jerman, Rusia, Turki, Itali, Jepun, Korea, Thailand dan Bangladesh.
Perkara ini telah membuktikan bahawa lagu-lagu ciptaannya mempunyai kualiti yang tersendiri, mampu bersaing serta dapat bertahan lebih dari empat puluh tahun dalam dunia muzik tanah air walaupun munculnya komposer muda.
Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan merupakan seorang pemuzik yang sinonim dengan saksofonnya. Sepanjang karier, beliau telah mencipta lagu yang sesuai dengan kebolehan dan karakter seseorang penyanyi. Album-album yang dihasilkan beliau didendangkan oleh artis tempatan seperti Sharifah Aini, Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid.
Beliau juga mencipta lagu untuk bintang Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika. Lebih 2000 lagu telah dicipta oleh beliau, antara lagu popular ciptaannya ialah Tiada Maaf Bagimu, Keluhan Perantau, Ku Gembira Di Sampingmu, Bawalah Daku Bersamamu, Wajah Kesayangan Hamba, Semakin Hari Semakin Sayang, Kasih, Bila Rindu Aku Sebut Namamu, manakala lagu malar segar bertemakan sambutan perayaan yang popular ialah Seloka Hari Raya, Doa Di Hari Mulia dan Bisikan Hati Di Pagi Raya.
Selain itu, album Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu) nyanyian Ramlah Ram yang diterbitkan oleh beliau pada tahun 1988 merupakan album yang paling mendapat sambutan dan berjaya dijual melebihi 400,000 unit. Malah, lagu dalam album ini juga berjaya meraih gelaran Anugerah Juara Lagu (AJL3) pada tahun yang sama.
Dua lagu ciptaan beliau yang berjudul Ilham Tiba dan Taman Firdausi juga pernah dinyanyikan oleh seniman Tan Sri P.Ramlee. Sebagai rekod, lagu Bintang Malam merupakan ciptaan pertama beliau semasa berusia 16 tahun. Lagu itu dinyanyikan semula oleh Biduanita Saloma dan dimuatkan ke dalam filem DoReMi.
Sepanjang karier muziknya, Tan Sri Ahmad Nawab pernah membimbing seramai 75 orang penyanyi. Seniwati dan penyanyi legenda era 1970-an, Uji Rashid, antara anak didik terawal, menyifatkan pemergian Tan Sri Ahmad Nawab sebagai suatu kehilangan besar dalam hidupnya. Uji Rashid berkata, “Allahyarham adalah antara individu terawal yang membantu membina namanya dalam industri seni tanah air sebaik melangkah ke dalam industri.”
Beliau merupakan individu yang membuka jalan rezeki untuk saya dan melonjakkan nama saya. Saya amat bersyukur kepada Tuhan atas kehadiran seorang yang bernama Ahmad Nawab.
Sementara itu, seorang lagi anak didik Ahmad Nawab yang menganggapnya seperti ‘bapa’, iaitu Ramlah Ram menyatakan bahawa Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab merupakan individu penting dalam membuka pintu buat dirinya bertapak dalam dunia muzik sejak era 1980-an.
Ramlah Ram menganggap Allahyarham sebagai seorang komposer yang hebat dan mempunyai sentuhan tersendiri. “Sentuhannya tidak sama dengan orang lain. Semua lagu yang dicipta oleh Tan Sri Ahmad Nawab membekas dalam hati saya.”
Bagi saya, semua hasil karyanya ada jiwa dan sudah tentunya hal itumenjadi memori terindah buat diri saya.
Album Kau Kunci Cintaku (Di Dalam Hatimu) telah membolehkan Ramlah Ram meraih Platinum Kembar Lima dan juga merupakan artis Melayu pertama memenanginya.
Seorang lagi penyanyi, Datuk Siti Fairuz mengakui masih terkesan dengan kata-kata semangat yang pernah diberi Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, suatu ketika dahulu.
Saya masih ingat lagi, iaitu pada saat saya sedang berduka selepas bercerai pada tahun 2008, beliau mengajak saya menjayakan persembahan di Istana Budaya. Kebetulan saya sudah lama tidak menyanyi, jadi keyakinan diri agak kurang.
Ahmad Nawablah yang memberi kata-kata semangat untuk saya bangkit daripada kekecewaan. Saya ingat lagi pesanannya, iaitu orang yang di atas pentas itu lebih yang baik daripada penonton di bawah. Maksudnya, saya seorang boleh hiburkan penonton yang ramai. Namun, belum tentu yang ramai itu mampu menghiburkan saya.”
Penyanyi Bila Rindu Ku Sebut Namamu itu menyifatkan Allahyarham Ahmad Nawab seorang yang sangat menjaga personaliti dan penampilan diri. Beliau pasti berpakaian kemas dan sangat eksklusif
Tan Sri Ahmad Nawab yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 6 April 1932 telah dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 pada tahun 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.
Sepanjang berjinak-jinak dengan muzik, Allahyarham Ahmad Nawab berpegang kepada pendirian untuk tidak mengharapkan apa-apa balasan atas karya dihasilkan. Sebaliknya, apa yang dicurahkan dalam karya semata-mata magis dan cintanya terhadap seni muzik. Katanya, sejak kecil lagi, ketika belajar muzik dengan ayah, bukan anugerah yang diimpikan, sebaliknya, mahu berjasa kepada negara.
Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh beliau ketika ditemu ramah media selepas dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 5 Jun tahun lalu.
Pun begitu, beliau bersyukur atas kurniaan darjah kebesaran yang diberikan walaupun daripada dahulu lagi memang tidak pernah mengharapkan pengiktirafan. Pada majlis tersebut, beliau turut berkata, “saya anggap ini anugerah daripada Tuhan, saya juga berterima kasih kepada rakan industri, peminat dan sesiapa sahaja yang terus menyokong hasil kerja saya selama ini.”
Ini bukanlah anugerah yang kecil, tetapi sangat besar, sebaris dengan seniman tersohor lain seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Tan Sri SM Salim.
Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 17 tahun, telah memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) untuk lagu Bintang Malam pada tahun 1980. Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada tahun 2000.
Oleh itu, pemergian beliau di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves, Selangor pada jam 3.15 petang semalam (24 November 2024) pada usia 92 tahun diibaratkan suatu kehilangan permata yang tiada bandingannya dalam industri muzik tanah air.
_________________________