Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia saban tahun di negara ini dimeriahkan dengan pelbagai iklan berkenaan dengan sambutan kedua-dua hari bersejarah tersebut. Selain iklan sambutan Hari Raya Aidilfitri, tayangan iklan sempena kedua-dua sambutan tersebut turut menjadi tumpuan dan dinantikan oleh rakyat Malaysia.
Dapat dikatakan bahawa iklan komersil merupakan satu daripada perkara wajib dalam pengisian sambutan hari bersejarah ini, selain lagu patriotik yang dimainkan dan ditayangkan melalui radio dan televisyen. Tayangan iklan kemerdekaan sejak era 1990-an memberikan impak besar sehinggakan masih segar dalam ingatan dan berbekas di hati masyarakat walau telah bertahun-tahun lama.
Maka itu, tidak hairanlah pelbagai pihak berlumba-lumba untuk menghasilkan iklan sempena sambutan kedua-dua hari yang cukup bersejarah buat Malaysia dalam usaha memupuk dan meningkatkan semangat patriotisme dalam jiwa rakyat.
Perkataan iklan berasal daripada perkataan Arab, iaitu i’lan, yang membawa maksud “khabar yang disiarkan”. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, iklan didefinisikan sebagai pemberitahuan kepada orang ramai melalui surat khabar, radio, televisyen dan lain-lain.
Secara umumnya, iklan merupakan satu cara penyebaran maklumat kepada masyarakat umum tentang sesuatu perkara melalui pelbagai saluran medium massa dan juga media cetak. Jika dahulu medium penyiaran agak terhad tetapi dengan ledakan digital masa ini, medium penyiarannya lebih meluas terutamanya melalui platform pengiklanan secara atas talian. Bahkan, platform ini dilihat lebih berkesan bagi membuka ruang untuk para pengiklan menunjukkan kreativiti.
Jika dahulu, masyarakat acap kali memberikan tumpuan kepada iklan kemerdekaan terbitan Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS, namun kini pelbagai syarikat lain, seperti Takaful, Shopee, RHB Group, Maybank dan Perodua, turut sama memeriahkan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan iklan masing-masing.
Iklan bertajuk Seorang Anak Kecil India merupakan iklan pertama PETRONAS sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia. Iklan pada tahun 1996 tersebut mengisahkan seorang lelaki India yang mengimbas zaman kanak-kanaknya yang berpeluang menyaksikan detik bersejarah 31 Ogos 1957 bersama-sama bapanya.
Dalam iklan itu, seluruh rakyat Malaysia tidak mengira latar belakang dan kaum berkumpul bersama-sama demi melaungkan perkataan keramat “Merdeka”. Iklan tersebut satu daripada iklan terawal sempena sambutan Hari Kebangsaan dan masih berbekas dalam ingatan masyarakat.
Selain itu, iklan PETRONAS yang turut melekat dalam ingatan ramai ialah yang bertajuk Hero Tempatan yang ditayangkan pada tahun 1998. “Apa salahnya kasut saya buatan Gombak?” Kata seorang pemuda yang merasakan kekurangan dirinya kerana memakai kasut buatan Gombak. “Tak salah, kasut buatan Gombakkan bagus,” Jawab seorang wanita sambil menunjukkan kasut yang dipakainya juga adalah buatan Gombak.
Inti pati dialog tersebut masih diingati sehingga masyarakat menamakan iklan tersebut sebagai “Kasut Gombak”. Iklan tersebut membawa mesej agar masyarakat sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dimiliki dan beralih kepada produk tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana iklan tersebut diterbitkan ketika negara masih bergelut dengan krisis kewangan. Membeli dan menyokong produk tempatan juga bukti semangat patriotisme terhadap tanah air tercinta.
Antara iklan PETRONAS yang turut mendapat perhatian ramai ialah termasuklah yang berdurasi 33 saat, iaitu Tan Hong Ming Dilamun Cinta, yang mengisahkan kanak-kanak yang meluahkan perasaan cinta kepada rakannya Ummi dalam temu bual spontan di sekolahnya.
Iklan ini cukup jujur dan menyentuh perasaan para penonton. Iklan pada tahun 2007 ini menggambarkan ketulusan hati kanak-kanak dalam menjalin persahabatan tanpa mengira budaya dan keturunan.
Iklan Perlumbaan Perahu PETRONAS pada tahun 1999 juga mampu membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat. Melalui iklan tersebut, sikap bersatu hati merupakan antara kunci kepada sesuatu kejayaan.
Maybank tampil membawa kelainan dengan mempamerkan suku kaum Iban di Sarawak dalam iklannya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-50 pada tahun 2012. Iklan dalam bahasa Iban ini membawa masyarakat untuk turut mengenali suku kaum lain yang ada di Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan. Iklan ini juga membuktikan masih ada antara masyarakat yang tetap memelihara adat dan budaya warisan walaupun berada di luar negara.
Pada tahun lepas, satu daripada iklan yang mampu menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat ialah iklan daripada RHB Group. Iklan ini memaparkan masalah antara kaum yang berbeza agama dan budaya melalui warna baju berlainan sebagai metafora. Kita dapat melihat mesej yang jelas tentang keperluan mengelakkan sebarang pertelingkahan berunsur perkauman.
Plot yang menarik dalam iklan tersebut ialah apabila semua individu di dalam video tersebut tiba-tiba bertukar pakaian berwarna putih dan bersatu demi agama, bangsa dan negara dalam menyelesaikan masalah yang berlaku.
Selain itu, iklan Merdeka Shopee pada tahun lepas juga agak unik kerana menggunakan elemen wayang kulit yang merupakan warisan tradisi yang semakin terpinggir dalam kalangan generasi pada hari ini.
Walau apa-apa pun konsep dan jalan cerita dalam setiap iklan yang dihasilkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, matlamat dan tujuannya adalah sama, iaitu untuk terus memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
Kemerdekaan, keharmonian dan perpaduan yang diwariskan oleh nenek moyang perlu dijaga dalam usaha untuk memastikan Malaysia terus aman dan makmur. Jiwa merdeka dan patriotisme perlu sentiasa ada dalam diri rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang mahu memecahbelahkan perpaduan.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-67!