Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSeniman ini telah pergi dengan meninggalkan sebuah nama besar dan legasi kesenimanan yang sukar ditandingi di persada tanah air. Meskipun telah meninggalkan kita selama 32 tahun, sebagai penghibur legenda namanya masih meniti di bibir peminatnya.
Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad telah merakamkan 15 buah album studio, 52 album kompilasi, selain memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.
Antara lagu popular Sudirman yang masih berputar di corong radio dan kerap menjadi pilihan pendengar ialah Merisik Khabar, Nilai Cintamu, Milik Siapakah Gadis Ini, Terasing, Anak Gembala, Pelangi Petang, Salam Terakhir, Kau Akan Kembali, Hujan, ‘One Thousand Million Smiles’, Hidup Sederhana (Basikal Tua) dan Gerimis di Lautan.
Seniman serba boleh ini ternyata telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila menjadi penyanyi Malaysia yang dinobatkan sebagai “Penghibur Nombor Satu Asia” pada tahun 1989.
Malah, beliau merupakan artis pertama tanah air yang membuat persembahan di Royal Albert Hall, London, menyertai barisan penghibur terkemuka antarabangsa lainnya yang mengadakan konsert di situ.
Beliau mempunyai peminat daripada pelbagai peringkat usia merentasi kaum sehingga dikenali sebagai ikon perpaduan. Beliau juga digelar seniman rakyat apabila mencatat sejarah menghimpun lebih 100 ribu rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan untuk sama-sama menyaksikan konsert ulung beliau di Chow Kit Road pada 14 April 1986.
Yang lebih menarik, 28 tahun kemudiannya, iaitu ketika sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 pada tahun 2014, Konsert Chow Kit Road 2.0 dianjurkan untuk menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat menerusi nyanyian lagu-lagu patriotik.
Sudirman sebagai ikon seni negara telah mengubah pandangan masyarakat dengan membawa tanda aras baharu dalam dunia industri seni tanah air. Pertama, sebagai artis beliau merupakan penghibur yang memiliki pendidikan tinggi dan memperoleh gelaran “the singing lawyer”.
Kedua, sebagai seniman yang hebat, beliau terus diingati kerana lagu-lagunya bersifat malar segar yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Sudirman juga membawa sentuhan magis dalam persembahan di atas pentas dengan aksi lincahnya, di samping membawa fenomena baharu menerusi imej patriotisme dalam berpakaian.
Lagu-lagu nyanyian Sudirman merupakan karya seni yang terus mendapat tempat di hati pendengar hingga kini, malah tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai karya bersifat kalis zaman.
Lagu seniman tersohor ini dalam apa-apa jua tema dan genre, mempunyai lirik begitu puitis, indah untuk dihayati dan sangat dekat di hati pendengar. Lagu-lagu beliau membawa mesej yang menyentuh dasar kehidupan rakyat, memberi inspirasi dan mencuit nurani para pendengar.
Sudirman merupakan seniman patriot berbakat besar yang lagu-lagunya meninggalkan kesan kepada emosi pendengar dan menyentuhi perasaan masyarakat. Kebolehannya dikagumi kerana kemampuan penghayatan dan persembahannya dalam menyampaikan karya yang sarat dengan kecintaan mendalam terhadap tanah air dan terisi dengan luahan patriotik untuk menaikkan semangat masyarakat.
Persembahan nyanyian beliau begitu memukau sebagai artis pertama tanah air yang kerap mengenakan busana bercirikan bendera Malaysia pada pakaian dan songkok ketika membuat persembahan sebagai penzahiran semangat patriotik yang mendalam dalam dirinya.
Lirik dalam tiga lagu Sudirman, iaitu Warisan, Tanggal 31 dan Tegakkan Bendera Kita, sememangnya membawa pengucapan semangat patriotik dan kecintaan kepada negara yang mendalam dan penuh makna.
Salah satu baris lirik lagu Warisan, iaitu “Malaysia…. Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” dipilih menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan Ke-57 pada tahun 2014. Pemilihan tema daripada lagu Warisan oleh Sudirman itu dapat menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara ke dalam jiwa rakyat.
Lagu oleh komposer Allahyarham Syed Haron Syed Ahmad ini yang dianggap sebagai antara karya “karya agung” dalam genre patriotik dicipta untuk meniup gejolak semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Liriknya begitu mengesankan kerana dizahirkan dengan baik sehingga menyentuh perasaan, manakala melodinya yang melankolik disampaikan sepenuh penghayatan oleh Sudirman sehingga menusuk begitu dalam ke dasar kalbu pendengar.
Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan
(Lagu: Warisan)
Lagu ini berkisar tentang luahan perasaan seorang anak bangsa yang sanggup bergadai nyawa berjuang demi tanah air tercinta. Kecintaannya lahir hanya kepada tanah watan dan tertumpah abadi buat bumi yang dipijak.
Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini
(Lagu: Warisan)
Bait keempat begitu menyentuh rasa nurani kerana sebagai rakyat yang cintakan tanah air, kesanggupan bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanah air adalah tuntutan kepada semua.
Meskipun tidak memikul tugas sebagai perajurit, dan menyandang senjata mempertahankan negara daripada ancaman musuh, setiap orang tanpa mengira tugas dan kapasiti, perlu memiliki semangat cintakan tanah air dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk membangunkan negara.
Kuingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Kuingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan
(Lagu: Warisan)
Jelaslah, lagu ini dicipta untuk mencetuskan semangat patriotisme kepada semua anak bangsa dan kepentingan mereka meneguhkan ikrar untuk mempertahankan kemerdekaan tanah air tercinta warisan generasi terdahulu.
Setiap kali ketibaan bulan kemerdekaan, lagu Tanggal 31 sering menjadi lagu pilihan untuk dinyanyikan dalam pelbagai acara sambutan. Lagu ini asalnya ditulis dan dinyanyikan oleh Ahmad C.B.
Kemudian lagu ini digubah semula oleh S. Atan dan dipopularkan oleh Sudirman dengan versinya yang segar dan penuh semangat patriotik.
Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka
(Lagu: Tanggal 31)
Namun begitu, lagu ini tidak hanya menyentuh tentang tarikh penting tersebut, tetapi juga menekankan kepentingan kebebasan dan kedaulatan negara. Tarikh 31 Ogos menjadi tarikh keramat bagi negara mencapai kemerdekaan yang seharusnya disambut setiap rakyat dengan meriah, penuh semangat dan jiwa merdeka.
Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari Merdeka
Merdeka!
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku Merdeka
(Lagu: Tanggal 31)
Bait di atas mengajak semua rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat menyambut kemerdekaan dalam semangat perpaduan. Lagu ini membangkitkan kebanggaan untuk rakyat merasai dan menghargai kemerdekaan.
Membawa aspirasi kenegaraan yang menyatukan rakyat setiap tahun, lirik lagu ini mudah dan senang diingati, boleh dinyanyikan bersama oleh sesiapapun serta menyuntik rasa patriotik yang tinggi apabila mendengar suara kanak-kanak sebagai penyanyi latarnya.
Lagu Tegakkan Bendera Kita ciptaan dan lirik oleh Sudirman sendiri, turut menjadi lagu yang sangat ikonik dan sinonim dengan sambutan kemerdekaan negara. Mengibar Jalur Gemilang merupakan salah satu acara untuk menyerlahkan semangat patriotisme rakyat.
Sebagai rakyat yang cintakan negaranya, Jalur Gemilang harus diberikan penghormatan tinggi kerana bendera melambangkan identiti bangsa dan simbol kedaulatan negara. Memiliki kesedaran dan penghormatan ke atas bendera negara adalah simbol perpaduan seluruh warga untuk hidup sebagai satu keluarga besar.
Hormatlah bendera kita
Ia lambang negara
Bersatu padu kita di bawahnya
Hidup berkeluarga
(Lagu: Tegakkan Bendera Kita)
Selain itu, setiap rakyat harus menzahirkan perasaan gembira dengan nikmat kemerdekaan yang dikecap dengan menjulang bendera negara. Melihat Jalur Gemilang berkibar di angkasa, pastinya rasa megah dan bangga tumbuh mekar di sanubari kerana kita berada di bawah lembayung langit merdeka dan memijak bumi pusaka yang tercinta, aman lagi sejahtera.
Bendera bukan sekadar lembaran kain biasa tetapi merupakan lambang kedaulatan dan identiti negara. Tanggapan mengibarkan bendera hanya sekadar simbolik tanpa makna, perlu segera diubah. Perlakuan yang mungkin dianggap remeh oleh sebahagian orang, menegakkan bendera sebenarnya membawa seribu pengertian dan mampu membakar semangat rakyat.
Sudirman turut melakar satu lagi penanda aras dalam dunia seni tanah air dengan mengenakan busana yang diinspirasikan daripada bendera Malaysia dalam persembahannya.
Lagu Warisan, Tanggal 31 dan Tegakkan Bendera Kita merupakan antara lagu nyanyian Sudirman yang sering diputarkan setiap kali kita menyambut Bulan Kebangsaan. Fakta yang menarik ialah ketiga-tiga lagu ini sebenarnya telah dimuatkan dalam album Abadi yang diterbitkan pada tahun 1982.
Semangat merdeka, jiwa patriotik dan siasah kenegaraan Sudirman cukup menebal dalam dirinya. Dalam persekitaran muzik pada zaman itu, penerbitan album tersebut membuktikan kekuatan semangat cintakan negara oleh Sudirman yang berjaya meyakinkan syarikat rakamannya untuk merakamkan album bertema patriotik.
Setelah 42 tahun penerbitan album Abadi yang mengandungi tiga lagu tersebut, masih belum ada penyanyi lain yang mampu menandingi kehebatan Sudirman dalam penghasilan album dan lagu patriotik.