Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September di Malaysia setiap tahun, penulis mengambil kesempatan untuk mengunjungi Muzium Budaya Borneo di Kuching, Sarawak. Pertama kali melihat bangunannya, terbit rasa kagum akan keunikan seni reka bangunan yang menampilkan gabungan kraf tradisional dan warisan budaya masyarakat Sarawak.
Muzium ini sangat luas dan memiliki lima aras yang menawarkan tema yang berbeza bagi memberikan pemahaman dan maklumat lebih lanjut tentang negeri ini. Aras pertama menempatkan kaunter tiket, kedai cenderamata dan restoran, manakala aras kedua dikhususkan kepada golongan kanak-kanak yang bertemakan “Sayangi Sungai Kita”.
Aras tiga memaparkan tema “Keharmonian Alam dan Manusia”, aras empat menampilkan tema “Peredaran Masa”, dan aras lima mempamerkan galeri “Objek Idaman”.
Tema setiap aras ini sangat bertepatan dengan negeri ini. Tema pertama umpamanya, di bawah Ordinan Sungai-Sungai Sarawak 1993, Sarawak mewartakan 35 sungai yang panjangnya kira-kira 5000 kilometer, dengan kira-kira 3300 kilometer yang dapat dilalui. Malah sungai terpanjang di Malaysia juga terletak di Sarawak, iaitu Sungai Rajang.
Aras ketiga yang bertemakan “Keharmonian Alam Sekitar” mempunyai tiga zon, iaitu kawasan pantai, hutan hujan dan tanah tinggi. Tiga zon ini menggambarkan keadaan kepelbagaian persekitaran dan geografi Sarawak.
Zon pertama memberikan pengalaman dan pemahaman kepada pengunjung tentang masyarakat yang membina kediaman mereka di kawasan pesisiran pantai. Selain itu, cara hidup, kepercayaan dan banyak lagi bahan pameran diserlahkan dalam pengembaraan di zon ini.
Zon kedua pula memberi fokus terhadap hutan hujan tropika. Sebagaimana yang diketahui, hutan hujan tropika Sarawak merupakan kawasan liputan hutan terbesar di Malaysia dengan keluasan 7.65 juta hektar, atau 62 peratus daripada keluasan Sarawak. Zon ketiga pula memaparkan kawasan tanah tinggi yang merupakan kediaman komuniti yang hidup secara berdikari.
Sempena Hari Malaysia, penulis meluangkan lebih masa di aras empat bagi memahami sejarah negeri ini. Bertemakan “Peredaran Masa”, aras ini terbahagi kepada beberapa galeri, iaitu galeri pertama menerangkan tentang penemuan arkeologi, galeri kedua membincangkan hubungan antara Borneo dengan empayar kerajaan lain, galeri ketiga tentang sejarah pembentukan Sarawak, dan galeri terakhir memaparkan tempoh masa yang mencabar dalam sejarah Sarawak.
Penulis cuba memberikan naratif seringkas mungkin bagi memberikan pemahaman kepada pembaca tentang pengenalan sambutan Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun.
Brunei merupakan kuasa utama di pantai barat laut Borneo termasuklah Sarawak selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ke atas tangan Portugis. Pemerintahan Sarawak telah menimbulkan pertikaian antara Brunei dengan Kesultanan Sambas. Walau bagaimanapun, sempadan geografi Sarawak sebagaimana yang wujud pada hari ini menunjukkan bahawa kejatuhan kesultanan Brunei disebabkan oleh penguasaan Rajah (Raja) Sarawak.
Sultan Omar Ali Saifuddin II berjaya menguasai pantai barat Borneo termasuklah Sarawak pada tahun 1839. Pada tahun 1830-an, terjadinya perebutan kuasa antara golongan elit Melayu Sarawak, Brunei dan Sambas. Ketika berlakunya kemuncak ketegangan tersebut, James Brooke tiba di Sarawak bagi menangani konflik yang berlaku. Bapa saudara Sultan, seperti yang didakwa oleh James Brooke telah berjanji untuk menawarkan Sarawak sebagai balasan terhadap bantuan yang diberikan.
Sarawak telah mengalami perubahan yang sangat signifikan ketika era pemerintahan Brooke yang membentuk Sarawak yang moden seperti dilihat sekarang. Dasar pemerintahan Brooke memberikan pengaruh besar terhadap pola penempatan, persekitaran dan aktiviti ekonomi. Isu hubungan antara masyarakat yang berbeza juga berjaya ditangani oleh Brooke. Satu daripada usaha bagi tujuan berkenaan ialah Perjanjian Damai Baram 1899.
Ketika era pemerintahan Brooke, imigran Cina dan India tiba di Borneo bagi mengembangkan ekonomi. Sijil identiti serta pasport perjalanan turut diberikan. Namun begitu, kerajaan Brooke tidak campur tangan dalam kepercayaan masyarakat tempatan khususnya orang Melayu. Penduduk Sarawak bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
Sarawak mengalami banyak peristiwa penting dari tahun 1941 hingga penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Sebahagian catatan peristiwa penting tersebut termasuklah Sarawak menjadi sebahagian daripada Empayar Jepun dari bulan Disember 1941 hingga bulan Ogos 1945 yang menjadi zaman mencabar dan getir kepada rakyat Sarawak. Selepas Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945, instrumen penyerahan yang menandakan pembebasan Sarawak ditandatangani pada 19 September 1945.
Perang Dunia Kedua yang berlaku pada tahun 1941 memberikan tamparan hebat kepada Sarawak. Pada waktu itu, Rajah Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada Great Britain pada tahun 1946. Peristiwa ini sangat signifikan dalam mengubah landskap politik Sarawak. Sarawak diperintah oleh British Borneo Civil Affairs Unit (BBCAU) selepas tamat Perang Dunia Kedua yang kemudiannya ditukar kepada Pentadbiran Tentera British (BMA) pada awal tahun 1946.
Sarawak kembali di bawah pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke yang mengemudi Sarawak dalam tempoh yang singkat dan akhirnya kembali menyerahkannya semula kepada Great Britain. Rang Undang-undang Penyerahan Sarawak dibahaskan oleh Majlis Negeri yang diluluskan dengan margin persetujuan yang tipis membawa kepada penempatan Gabenor British yang pertama, iaitu Sir Charles Noble Arden Clarke.
Kelulusan Rang Undang-undang ini membawa implikasi negatif terhadap perpaduan rakyat Sarawak, dan kemuncaknya, Sir Duncan Stewart dibunuh oleh Rosli Dhobi di Sibu pada Disember 1949.
Selama 17 tahun di bawah jajahan British, British akhirnya berundur dari Sarawak pada tahun 1960-an dengan Gabenor terakhirnya ialah Sir Alexander Waddell. Tunku Abdul Rahman yang merupakan Perdana Menteri Tanah Melayu pada ketika itu mencadangkan penubuhan sebuah persekutuan baharu pada tahun 1961 yang bertujuan untuk mengekalkan kestabilan politik dan keselamatan di rantau ini.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC) dibentuk pada tahun 1961 bagi penubuhan persekutuan. Hal ini diikuti oleh bancian yang dibuat oleh Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 bagi mendapatkan pendapat masyarakat Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang persekutuan ini.
Pada bulan Ogos 1962, Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dibentuk dan diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Malaysia (MA63) pada 9 Julai 1963 bagi melindungi autonomi dan hak Sarawak dalam persekutuan. Walaupun menerima pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya Parti Ra’ayat Brunei, Presiden Sukarno dan kumpulan etnik, Persekutuan Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963 yang memperlihatkan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan menjadi Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Hal ini membuktikan Sarawak memainkan peranan penting ketika pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Tuntasnya, Hari Malaysia, yang disambut pada 16 September setiap tahun merupakan hari yang penting dalam sejarah Malaysia. Hari Malaysia memberikan peluang kepada masyarakat untuk mengingati dan memahami sejarah pembentukan negara. Hal ini dapat membantu memperkukuhkan rasa identiti dan kebanggaan terhadap negara.
Sambutan Hari Malaysia menggalakkan semangat perpaduan dan integrasi antara pelbagai kumpulan etnik dan budaya di Malaysia. Hal ini sudah pastinya mengingatkan rakyat tentang kepentingan kerjasama dan harmoni dalam masyarakat majmuk yang berbilangsa bangsa, agama dan budaya.
***
Penulis makalah ini, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, merupakan pensyarah di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.