Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDi negara ini, terdapat pelbagai bandar dan pekan yang merupakan penggerak, serta saksi pertumbuhan ekonomi dan sosial negara. Sejarah kewujudan bandar dan pekan tersebut turut dibumbui dan dilengkapi kisah jatuh bangun pelbagai jalan dan lorong yang menjalar secara berselirat sebagai arteri hidupnya.
Di Bandaraya Kuching, Sarawak, pernah ada beberapa batang jalan utama yang pernah menjadi hab denyutan jantung sosioekonomi bandar tersebut pada zaman dahulu. Kini, jalan utama itu sudah memasuki zaman senja sejarah, dan zaman gemilangnya sudah mula dilupakan orang dan dihanyutkan oleh arus aliran masa yang tidak pernah berhenti.
Ada baiknya jika kita dapat memahat dan mengabadikan kenangan tersebut dalam catatan sejarah bangsa dan negara.
Satu daripada jalan utama di Kuching pada zaman dahulu ialah Jalan Gambier. Jalan tersebut merupakan jalan yang paling sibuk dengan manusia dan kenderaan pada setiap hari. Sejak awal pagi lagi, para peniaga dan penjual sibuk menghantar dan menyusun barang jualan untuk menarik minat para pembeli.
Hal ini disebabkan oleh di jalan tersebut terdapat pasar basah yang tunggal di Kuching. Pasar itu meliputi pasar sayur, pasar ikan, pasar daging dan pasar rempah-ratus sekali gus. Jadi, dapat kita bayangkan hiruk-pikuk manusia dan kesibukan lalu-lintas di sekitar pasar tersebut.
Selain, itu, di jalan Gambier itu ada juga deretan kedai lama Cina dengan seni bina adunan Cina dan penjajah British. Pengusaha kedai itu merupakan pemborong dan peruncit barang keperluan dapur seperti bawang, cili kering, ikan bilis, udang kering, ikan masin, beras, gula, garam, asam jawa dan sebagainya.
Ada juga kedai yang menjual pakaian, kasut, cermin mata, barangan plastik dan sebagainya. Pada zaman dahulu, sesiapa yang berkunjung ke Kuching harus berkunjung ke Jalan Gambier untuk melihat kemewahan dan kehebatannya.
Jalan Gambier terletak di tepi Sungai Sarawak. Oleh sebab itu, di tepi sungai itu ada pelbagai pangkalan untuk penumpang turun naik atau untuk memunggah barangan. Antara pangkalan yang terkenal termasuklah Pangkalan Panjang dan Pangkalan Batu.
Di Pangkalan Panjang, kapal pengangkut penumpang dan muatan kargo dari pesisir pantai dan sungai berkumpul. Ada kapal pengangkut yang berulang alik dari Kuching ke kampung di kawasan hilir Sungai Sarawak seperti Bako, Santubong dan Buntal. Ada kapal yang berulang alik dari Kuching ke pekan dan kampung di pesisir pantai seperti Sampadi, Asajaya, Tambirat, Semera, Jimukan, Sepangan dan Simunjan.
Malahan, ada kapal pengangkut yang berulang alik antara Bahagian Kuching dengan Bahagian Sri Aman, Sarikei dan Sibu. Oleh sebab itu, di situ juga banyak terdapat gudang untuk menyimpan pelbagai barang yang bakal dipunggah atau diangkut.
Selain itu, ada juga kapal nelayan yang menghantar hasil tangkapan laut ke pangkalan di belakang pasar ikan. Jalan Gambier merupakan kawasan penduduk dari pelbagai tempat berkumpul dan berinteraksi. Keadaan di Jalan Gambier bagaikan pesta pada setiap hari.
Berdekatan dengan Jalan Gambier ada juga stesen bas STC (Sarawak Transport Company), Syarikat Chin Lian Long dan BTC (Bau Transport Company). Bas STC mengangkut penumpang di antara bandar Kuching dengan pekan Serian dan lebih jauh lagi, manakala bas BTC mengangkut penumpang di antara bandar Kuching dengan pekan Bau. Bas Chin Lian Long pula mengangkut penumpang di sekitar bandar Kuching.
Dengan adanya tiga stesen bas utama berdekatan dengan Jalan Gambier, kita dapat membayangkan bilangan manusia yang lalu-lalang dan sibuk berurusan di Jalan Gambier pada setiap hari.
Disebabkan oleh ramainya manusia, berdekatan dengan Jalan Gambier telah dibuka medan selera untuk orang ramai menjamu selera. Antara makanan kegemaran penduduk Kuching ialah laksa Sarawak, mi kolok, rojak, rojak sotong kangkung, nasi ayam, kuih-muih tempatan dan sebagainya.
Berdekatan dengan Jalan Gambier, terdapat sebatang jalan yang utama juga, iaitu Lebuh India atau Little India. Jalan ini dinamakan sedemikian kerana di jalan itu ada sekumpulan peniaga India yang membuka restoran makanan India dan kedai yang menjual kain baju.
Selain orang India, ada orang Cina yang membuka kedai kain baju, beg, kasut, jam, ubat-ubatan dan sebagainya. Malahan, ada juga kedai gunting rambut, studio foto dan kedai yang menjual peralatan logam. Dapat dikatakan bahawa Lebuh India ialah jalan pelengkap kepada Jalan Gambier, dan kedua-dua jalan itu saling bergantungan untuk menarik minat para pelanggan.
Oleh sebab itu, ada satu lorong kecil dan sempit yang bertutup menghubungkan kedua-dua jalan itu di tengah-tengahnya, dan di lorong itu ada masjid masyarakat India yang menganut agama Islam. Tuntasnya, apa-apa barang keperluan pun boleh didapati di sepanjang Jalan Gambier dan Lebuh India, dan kedua-dua jalan itu merupakan pusat bandar Kuching pada zaman dahulu.
Selain Jalan Gambier dan Lebuh India, jalan lama yang cukup terkenal di bandar Kuching ialah Jalan Main Bazaar, Jalan Padungan dan Jalan Carpenter. Sama seperti Jalan Gambier, Jalan Main Bazaar dan Jalan Padungan ialah jalan yang dibina di tebing Sungai Sarawak, dan merupakan sambungan dari Jalan Gambier.
Di Jalan Main Bazaar, terdapat deretan kedai zaman sebelum perang yang menampilkan campuran seni bina penjajah Inggeris dan Cina. Di jalan itu, terdapat kedai yang menjual peralatan logam, barangan antik dan kraf tangan Sarawak, kek lapis Sarawak, buku, emas dan sebagainya.
Terdapat juga rumah tumpangan, kedai bajet, dan kedai butik untuk memenuhi keperluan para pengunjung dan pelancong ke Kuching. Di hujung jalan itu, terdapat Tokong Tuapekong yang bersejarah panjang.
Jalan Padungan juga digelar sebagai Kuching Chinatown kerana terdapat pintu gerbang yang bercirikan kebudayaan Cina. Pada tiang pintu gerbang itu terpahat pasangan puisi Cina yang mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran bagi Sarawak dan Malaysia.
Di sebelahnya ada arca kucing yang pertama dan utama di Kuching. Pada setiap musim perayaan, arca kucing dihias indah mengikut suasana dan tema perayaan. Oleh sebab itu, arca kucing itu merupakan mercu tanda yang menjadi tempat tumpuan pelancong yang berkunjung ke Bandaraya Kuching.
Di sepanjang Jalan Padungan itu, terdapat kedai yang menjual peralatan logam, cat, kuih bulan dan daging barbeku. Ada juga kedai pembuat mi dan roti, kedai kopi, kedai runcit, hotel butik dan sebagainya. Malahan, ada juga klinik kesihatan swasta dan klinik pengamal perubatan Cina. Di sekitar Jalan Padungan, terdapat juga beberapa buah hotel antarabangsa yang bertaraf lima bintang.
Jalan Carpenter ialah jalan yang berdekatan dengan Jalan Main Bazaar. Di jalan itu terdapat dua buah tokong yang besar bagi suku kaum Hokkien dan Teochew yang menganut agama Tao. Seni bina tradisional kedua-dua tokong itu menjadi tarikan hangat para pelancong asing.
Di Jalan Carpenter, banyak terdapat kedai yang membuat atau menjual perabot daripada kayu dan rotan, dan ada kedai yang membuat barangan daripada timah. Selain itu, terdapat kedai buku, kedai yang menjual peralatan logam, kedai kopi, rumah tumpangan, hotel bajet, kedai emas, kedai tukang jahit dan sebagainya. Jalan Carpenter dikatakan bersinonim dengan tukang pelbagai kemahiran pada zaman dahulu.
Pada zaman dahulu, Jalan Gambier, Lebuh India, Jalan Main Bazaar, Jalan Padungan dan Jalan Carpenter menjadi tumpuan ramai kerana kebanyakan orang pada zaman dahulu berjalan kaki, berbasikal atau menaiki bas untuk keluar membeli-belah.
Namun demikian, perubahan yang dibawa oleh kemajuan teknologi, kemerdekaan negara dan perubahan cita rasa penduduk setempat menyebabkan kepentingan jalan-jalan tersebut menjadi semakin pudar. Sebagai contohnya, pembinaan jalan raya yang menjalar ke kota dan desa di Sarawak telah melenyapkan kebergantungan orang ramai pada pengangkutan air.
Kebanyakan pangkalan di tepi Sungai Sarawak kini hanya menjadi jeti pendaratan bagi penumpang yang menyeberangi sungai dengan menaiki sampan. Stesen bas sudah dialihkan ke Pekan Sentosa sejauh tujuh batu dari Bandaraya Kuching. Pusat beli-belah yang besar, serba baharu dan serba lengkap menjadi tempat tumpuan baharu bagi generasi muda yang mendambakan keselesaan dan kelainan.
Walau bagaimanapun, kisah lama tentang beberapa jalan utama di bandar Kuching pada suatu masa dahulu tidak harus dilupakan begitu sahaja. Bukan sahaja golongan tua, malahan generasi muda harus memastikan sejarah gemilang jalan-jalan tersebut tidak dibiarkan pudar dan hilang, tetapi diabadikan melalui foto dan catatan kisah tentangnya selama-lamanya.