Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHo Chi Minh – Sekretariat Jaringan Korporat dan Mobiliti (SEJAKA), Kolej Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Program Mobiliti ke Vietnam yang berlangsung selama seminggu bermula pada 21 September hingga 27 September 2024. Bertemakan “Berkongsi Akademik dan Budaya,” program ini bertujuan memupuk pemahaman antara budaya serta menggalakkan perkongsian ilmu antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dengan Vietnam.

Program mobiliti ini disertai oleh 14 peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Program ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Hamidun Bunawan, diiringi oleh felo penasihat, Puan See Too Kay Leng; Ketua Pengarah, Fazri Azmin serta 11 ahli sekretariat yang lain.
Beberapa aktiviti telah dilaksanakan seperti program perkongsian akademik dan budaya yang menarik di dua buah universiti terkenal di Vietnam, iaitu Vietnam National University (VNU) dan Dalat University (DLU).

Pada 23 September 2024, para peserta telah mengadakan aktiviti mencanting batik di Vietnam National University, manakala pada 25 September 2024, aktiviti yang sama turut diadakan di Dalat University. Aktiviti mencanting batik ini dapat memperkenalkan seni warisan Malaysia kepada rakan-rakan mahasiswa di Vietnam serta berkongsi ilmu dan pengalaman budaya yang bermanfaat.
Lebih kurang 60 pelajar dari VNU dan DLU turut serta dalam aktiviti tersebut, menjadikan program ini meriah dengan interaksi antara mahasiswa kedua-dua negara. Suasana yang mesra dan kolaboratif memberikan peluang untuk mengeratkan hubungan antara pelajar Malaysia dengan Vietnam serta saling mengenal budaya dan aspek pendidikan masing-masing.

Kerjasama yang baik antara semua pihak telah menjayakan program ini dan meninggalkan impak yang positif dalam usaha memperkasakan hubungan akademik dan budaya antara Malaysia dengan Vietnam. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membuka lebih banyak ruang kerjasama dan perkongsian ilmu antara kedua-dua negara.