Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Persidangan Antarabangsa Persatuan Saintifik Sukan Pertempuran dan Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa ke-13 (IMACSSS) dan Kongres Seni Mempertahankan Diri dan Kebudayaan Saintifik Global (GSMACC 2024) ke-5 telah berlangsung di Mercure Living Putrajaya Hotel, Putrajaya baru-baru ini.
Penganjuran persidangan antarabangsa ini merupakan kali kedua diadakan di Malaysia sejak tahun 2020. Persidangan ini merupakan anjuran bersama IMACSSS, Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM Shah Alam dengan sokongan erat UNESCO ICM, Mercure Living Putrajaya Hotel, Persekutuan Silat Olahraga Nasional (PESONA) dan Santai Travel Channel.

Bertemakan “Perpaduan dalam Kepelbagaian: Masa Depan Sukan Tempur dan Seni Mempertahankan Diri Seluruh Dunia Melalui Kepelbagaian Budaya, Kemajuan Saintifik dan Profesionalisme Tadbir Urus”, persidangan ini berjaya menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pengamal, industri dari Malaysia dan seluruh dunia untuk membentangkan hasil kajian mereka dalam pelbagai disiplin ilmu seperti sains sukan, sains sosial, kemanusiaan, warisan budaya, pelancongan dan teknologi seni mempertahankan diri.
Persidangan ini melibatkan empat sesi ucap tama, lima orang penceramah jemputan, 44 pembentangan kertas penyelidikan, bengkel seni mempertahankan diri serta pertunjukan seni mempertahankan dari pelbagai sekolah baik dari benua Timur mahupun Barat.
Presiden IMACSSS, Profesor Dr. Wojciech J. Cynarski menerusi ucap tamanya, mengalu-alukan kehadiran semua hadirin dan menekankan bahawa acara tersebut merupakan perayaan seni mempertahankan diri dan sukan tempur, bukan hanya sebagai amalan disiplin fizikal malah sebagai platform penyelidikan akademik yang kaya dan berkepentingan budaya.
Bagi pihak UNESCO ICM, Puan Lee Miso menegaskan, “Seni mempertahankan diri dan sukan tempur merupakan alat aktif untuk membawa perubahan sosial yang positif, pembinaan kapasiti dan pemerkasaan golongan belia”.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Mohamad Nizam Mohamed Shapie selaku Pengerusi Persidangan IMACSSS dan Pengasas Seni Mempertahankan Diri dan Rangkaian Penyelidikan Sukan Tempur (AIRBORNE) pula berkata, “Persidangan ini amat bermakna kerana julung-julung kali diadakan secara bersemuka dengan jumlah kehadiran peserta luar negara yang banyak serta termeterai tandatangan surat perjanjian dan surat niat bersama agensi yang terlibat untuk kerjasama pintar pada masa depan”.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Hasbie Muda. Beliau berharap agar segala dapatan penyelidikan daripada persidangan tersebut dapat digunakan serta dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Turut diraikan adalah penyampaian Anugerah Kehormat Silat Dunia kepada Profesor Madya Dr. Nadhratul Wardah Hj. Salman, dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya dan Anugerah Pembentang Terbaik kepada penyelidik muda.

Penyerahan bendera IMACSSS oleh Profesor Madya Dr. Nizam dari Malaysia kepada Profesor Dr. Carlos Gutierrez-Garcia, sebagai simbolik penyerahan penganjuran IMACSSS 2025 di Sepanyol mengakhiri majlis yang gilang-gemilang.