29 Oktober 2024, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ungkapan seperti “kamu peduli apa?”, “aku buat, aku tanggunglah” dan “tidak perlu sibuk tentang hal orang, kubur masing-masing” sering didengari dalam kehidupan harian. Ungkapan ini mungkin timbul daripada individu yang enggan menerima nasihat atau teguran, meskipun teguran itu penting dan perlu. Mereka cenderung bersikap keras kepala dan mempertahankan pendirian mereka dengan tinggi hati.

Narsistik dalam konteks organisasi merujuk kepada individu yang terlalu fokus terhadap diri sendiri, ego yang besar, serta keinginan untuk mendapat pengiktirafan dan kuasa tanpa mengambil kira keperluan atau sumbangan individu lain. Mereka cenderung mengambil keputusan yang hanya menguntungkan diri sendiri, kurang empati terhadap orang lain dan sering mencari perhatian atau puji-pujian.

Dalam persekitaran kerja, individu yang bersifat narsistik ini dapat mencipta ketegangan, mengganggu kerjasama dan menjejaskan prestasi keseluruhan organisasi. Oleh sebab itu, penting untuk memiliki pemimpin dan budaya organisasi yang menggalakkan kerjasama, empati dan keberkesanan bersama untuk mencegah dampak negatif daripada tingkah laku narsistik.

Narsistik merupakan istilah psikologi yang menggambarkan peribadi seseorang yang berlebihan mengagumi dan mencintai diri sendiri. Antara ciri-ciri orang narsisistik termasuklah suka membangga diri, berasa megah dengan diri sendiri dan tidak berasa senang melihat orang lain melebihi dirinya.

Individu narsistik juga amat menggilakan perhatian, suka memandang rendah orang lain, kurang belas kasihan dan tiada empati terhadap orang lain, serta tidak boleh menerima pandangan atau kritikan orang lain terhadap diri sendiri.

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang menjadi narsistik, antaranya termasuklah faktor neurobiologi, mengalami trauma atau peristiwa silam semasa zaman kanak-kanak, hubungan pada peringkat awal dengan ahli keluarga, rakan dan juga saudara-mara, serta kritikan secara melampau yang dilalui semasa zaman kanak-kanak

Individu yang mengalami trauma emosi ketika zaman kanak-kanak mungkin menggunakan narsistik sebagai alat pertahanan diri. Mereka menggunakan teknik ini untuk melindungi diri daripada kesakitan emosi yang dialami dalam kehidupan mereka.

Kurangnya keupayaan untuk merasai, memahami, atau menyedari perasaan orang lain juga boleh menyebabkan perkembangan sifat narsistik. Hal ini dikatakan demikian kerana individu yang kurang empati cenderung untuk menumpukan kepada kepentingan dan kehendak sendiri tanpa mengambil kira perasaan orang lain.

Selain itu, menerima pujian secara berlebihan atau dianggap sebagai “istimewa” sepanjang hidup boleh menyebabkan seseorang berasa angkuh secara berlebihan, sehingga membangunkan ciri narsistik dalam diri. Bahkan, individu yang tidak pernah menerima pengiktirafan yang mencukupi dalam kehidupan mereka juga akan menjadi dirinya narsistik.

Sebagai mana ciri peribadi, narsisisme adalah sesuatu yang kompleks dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Walau bagaimanapun, menyedari punca ini dapat membantu kita memahami mengapakah seseorang menjadi narsistik dan membantu dalam merancang cara untuk berinteraksi dengan mereka.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psychological Bulletin menemui bukti menarik bahawa orang lelaki cenderung menunjukkan tingkah laku yang lebih narsisistik berbanding dengan kaum wanita. Kajian yang melibatkan ribuan responden sepanjang tiga dekad ini mendapati bahawa lelaki menunjukkan keyakinan diri yang lebih tinggi dan keinginan untuk memegang kuasa berbanding dengan perempuan.

Narsisme merupakan satu sifat yang dapat menimbulkan cabaran dalam lingkungan kerja. Individu dengan ciri narsistik cenderung memiliki keinginan untuk mendominasi, kurang empati terhadap orang lain dan sering kali memperlihatkan perilaku yang membesarkan diri sendiri. Bagi rakan kerja yang harus berinteraksi dengan individu narsistik, ada beberapa strategi yang perlu dilakukan untuk mengatasi cabaran ini.

Untuk menangani orang yang bersikap narsistik di tempat kerja, beberapa saranan yang dpat digunakan untuk berhadapan dengan orang nasistik, seperti yang berikut:

  • Tetap tenang dan berinteraksi dengan mereka secara profesional. Usah terpancing emosi oleh perilaku narsistik.
  • Tetapkan batasan yang jelas dalam hubungan kerja dengan mereka. Usah biarkan mereka mengambil keuntungan daripada diri anda atau rakan kerja yang lain.
  • Fokus terhadap tugas dan tujuan kerja bersama. Jika mereka mencuba untuk mendominasi atau mengalihkan perhatian, tahanlah dengan tetap fokus pada kerja.
  • Hindari memberikan “makanan” kepada ego mereka dengan memberikan terlalu banyak perhatian atau pujian. Berikan penghargaan mengikut kesesuaian, namun tidak berlebihan.
  • Jika perilaku narsistik tersebut mengganggu produktiviti atau lingkungan kerja, pertimbangkan untuk berbicara dengan pihak atasan agar dapat menemukan jalan penyelesaian yang tepat.
  • Berusaha untuk membangunkan komunikasi yang jelas dan efektif dengan individu tersebut, sehingga batasan dan harapan dapat difahami dengan baik.

Dengan pemahaman yang baik tentang cabaran narsistik dan upaya untuk menghadapinya secara positif, lingkungan kerja kekal harmoni dan efisien meskipun terdapat individu bersifat narsistik di dalamnya.

Pada hakikatnya, individu yang mempunyai sifat narsistik boleh dibantu. Tanpa membiarkan sifat ini merosakkan emosi dan tingkah laku orang sekeliling, sifat narsistik ini dapat diatasi dengan meningkatkan kesedaran individu terhadap tingkah laku mereka sendiri. Mereka perlu diberitahu bahawa sikap narsistik tidak membawa manfaat jangka panjang dalam hubungan di tempat kerja.

Selain itu, amat penting untuk mempraktikkan empati dan memahami pandangan serta perasaan rakan sekerja. Menggalakkan kerjasama dan kerjasama antara kumpulan yang baik juga dapat membantu mengatasi sifat narsistik.

Dengan kesabaran, komunikasi terbuka dan kesediaan untuk bekerjasama, individu yang bersikap narsistik dapat belajar untuk menjadi lebih berwawasan dan peka terhadap orang lain di sekitar mereka.

Dalam Islam, sikap narsisistik merupakan sifat mazmumah yang tergolong dalam akhlak yang buruk iaitu ujub, riak, takbur dan hasad. Sikap ujub ini tidak disukai oleh Allah SWT kerana individu sebegini dikatakan buta hati dalam menilai orang lain.

Hal ini juga bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 18 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memalingkan wajah daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Kesedaran terhadap ciri-ciri narsistik amat penting dalam pengurusan sumber manusia dan pembangunan organisasi untuk mengelakkan kesan negatif ke atas produktiviti dan keharmonian di tempat kerja. Oleh hal yang demikian, langkah bijak dan sensitif perlu diambil bagi menguruskan individu narsistik bagi mengekalkan suasana kerja yang sihat dan produktif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.