Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berusaha untuk melaksanakan penyelidikan serta menyemarakkan program ilmu dan penerbitan dalam usaha memperkasakan dan mengangkat kembali karya klasik dan karya agung Melayu.
Dalam hal ini, DBP melalui satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau terhadap usaha mengangkat kembali manuskrip Melayu yang banyak menyimpan kearifan keintelektualan bangsa untuk diketengahkan kepada masyarakat.
Menurut kenyataan tersebut, DBP melalui Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) sentiasa memelihara dan memulihara manuskrip Melayu sebagai khazanah ilmu untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Malaysia.
“Antara karya agung yang telah diterbitkan oleh DBP termasuklah Hikayat Hang Tuah, Taj Us-Salatin, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Iskandar Zulkarnain, Ruba’i Hamzah Fansuri, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Syair Siti Zubaidah Perang China, Hikayat Tamim al-Dari, Syair Bidasari, Hikayat Patani, Hikayat Misa Melayu, Bustan al-Salatin, Puisi-puisi Raja Ali Haji, Undang-undang Kedah dan Undang-undang Laut.
DBP juga telah menerbitkan satu kajian berkaitan dengan Manuskrip Aqa’id al-Nasafi, melalui buku Bahasa Melayu Abad Ke-16: Satu Analisis Berdasarkan Teks Melayu Aqa’id al-Nasafi (1991) oleh Asmah Haji Omar,” katanya.
Selain bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menerbitkan naskhah Melayu tradisional sebagai bahan bacaan dan disebarluaskan kepada masyarakat, DBP juga sedang giat membangunkan dan mendigitalkan koleksi manuskrip Melayu lama tulisan Jawi demi mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Tambahnya, DBP juga telah menjalinkan kerjasama yang kukuh dengan Arkib Negara Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Yayasan Karyawan, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan pusat pengajian tinggi bagi mengangkat karya agung dan naskhah Melayu tradisional ke peringkat kebangsaan serantau dan antarabangsa.
“Tiga manuskrip koleksi PDM telah mendapat pengiktirafan Memory of The World Register oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu Sulalatus Salatin (2001), Kitab Ilmu Bedil (2016) dan Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (2024),” katanya.
Pada tahun 2025, DBP merancang untuk mengukuhkan kerjasama dengan Muzium Kesenian Islam dan Arkib Negara Malaysia bagi melaksanakan program penyelidikan, pewacanaan, pembinaan kepakaran dan pengembangan berkaitan dengan naskhah Melayu tradisional agar usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan khazanah negara dapat direalisasikan selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri.