17 Disember 2024, 16:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Jalil – Penganjuran Festival Natukoothu 2024 berjaya mempromosikan tarian masyarakat India di Malaysia. Program yang berlangsung di Piazza Pavilion Bukit Jalil pada Ahad lalu mempersembahkan beberapa tarian tradisional masyarakat India yang hampir dilupakan seperti Kummi, Kolattam, Garba, Pinnal Kolattam dan Karakattam.

Program tersebut merupakan projek tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni dan Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Nattukoothu” yang bermaksud “tarian rakyat” dalam bahasa Tamil dipilih untuk mengangkat nilai keaslian budaya masyarakat India. Tarikan utama dalam program ini ialah persembahan Mega Garba selama 10 minit yang bertujuan memupuk semangat kesatuan masyarakat.

Dekan Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan, Julaila Nadia Paiman berkata, sebagai sebuah fakulti yang komited untuk memartabatkan seni, budaya dan warisan, terutamanya dalam skop pengurusan acara sentiasa menggalakkan pelajar untuk menerokai, memahami dan menghidupkan semula nilai-nilai seni tradisional melalui platform kreatif seperti ini.

“Festival ini bukan sahaja mempamerkan kekayaan warisan tarian rakyat masyarakat India, malah turut menunjukkan bagaimana seni dapat menyatukan komuniti, sejajar dengan konsep Malaysia MADANI pada hari ini.”

“Saya amat berbangga dengan usaha pelajar dan tenaga pengajar yang telah bekerja keras untuk merealisasikan festival ini. Festival Nattukoothu bukan sahaja mengangkat warisan seni budaya negara, malah turut memberikan peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran pengurusan, kreativiti dan kolaborasi yang penting untuk masa hadapan mereka dalam industri seni kreatif,” katanya dalam ucapan alu-aluan.

Program tersebut dirasmikan oleh Rektor ASWARA, Profesor. Dr. Tan Awang Besar dan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.

Profesor Dr. Tan dalam ucapan perasmiannya berkata, ASWARA sebagai institusi yang berpegang kepada slogan “Melangkah ke Hadapan Bersama Tradisi” terus komited untuk memastikan seni dan budaya seperti yang diraikan dalam festival tersebut dipertahankan dan dimartabatkan.

“Projek ini merupakan bukti dedikasi pelajar ASWARA untuk memartabatkan warisan, seni dan budaya, di samping menyumbang kepada perkembangan industri seni di Malaysia.”

“Saya percaya Festival Nattukoothu bukan sahaja menjadi platform untuk memberikan pendedahan yang menyeluruh tentang warisan seni masyarakat India kepada masyarakat, malah turut menjadi ruang untuk kita menghargai kepelbagaian seni budaya yang wujud di Malaysia,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.