Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Prof Madya Dr Mohamad Nizam Mohamed Shapie dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), UiTM berjaya merangkul 2 anugerah, iaitu Anugerah Program Silat Antarabangsa Terbaik 2024 (IMACSSS & GSMACC 2024) dan Anugerah Program Silat Nasional Terbaik 2024 (Kejohanan Silat Seni Kebangsaan 2024) dalam Anugerah Silat Kebangsaan (ASK) 2023 & 2024.
Manakala, seramai 2 orang Pensyarah Kanan FSR, UiTM Shah Alam, iaitu Jamiaton Kusrin dan Dr. Syahidah Mohd Nazri turut menerima Anugerah Penggerak Silat Malaysia 2023-2024, sebagai pengiktirafan atas dedikasi dalam memartabatkan seni warisan bangsa.
Bertemakan “Silat sebagai Identiti dan Jambatan Budaya Malaysia”, ASK 2023 & 2024 ini telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Perdana Kuala Lumpur City Centre Hotel (PKLCC).
Sebanyak 31 anugerah diperkenalkan, iaitu Pesilat Harapan, Olahragawan Silat Malaysia, Program Silat Terbaik, dan Tokoh Silat.
Acara ini dianjurkan oleh Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM) dengan kerjasama Persekutuan Silat Olahraga Nasional Malaysia (PESONA) bertujuan memberi pengiktirafan kepada individu, pasukan dan organisasi yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam mempromosikan dan melestarikan seni mempertahankan diri tradisional di peringkat nasional dan antarabangsa.
ASK merupakan anugerah berprestij yang tampil bukan sekadar mempamerkan keindahan seni mempertahankan diri, tetapi juga menonjolkan seni silat sebagai lambang perpaduan dan kebanggaan kebangsaan.
Kehadiran tetamu kehormat dari pelbagai agensi strategik, turut menyerikan majlis antaranya YB Datuk Abdul Rashid Asari, Penaung PSGFM dan PESONA, yang diwakili oleh Prof Dr Mohad Anizu Mohd Nor sebagai perasmi majlis.
Turut hadir ialah wakil dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), UiTM, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Yayasan Digital Malaysia dan badan bukan Kerajaan.
Pelbagai aktiviti menarik mengiringi majlis termasuk persembahan seni silat tradisional, pameran sejarah perkembangan seni bela diri, cabutan bertuah serta persembahan khas daripada pelajar sekolah yang menampilkan elemen seni bela diri tempatan dan antarabangsa.
Memandangkan silat berpotensi besar sebagai tarikan pelancongan, sektor korporat seperti Hotel Perdana KLCC, Yayasan Digital Malaysia dan ANS Diversified Sdn Bhd turut berganding bahu menerusi penajaan dan kerjasama strategik antarabangsa demi mengangkat silat di persada antarabangsa sebagai lambang perpaduan, warisan bangsa dan memupuk jaringan silat global.