Oleh Nazrul Aziz
24 Disember 2024, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Pementasan Lara Wirang telah menampilkan bakat penjawat awam seluruh Malaysia yang diadakan di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), baru-baru ini.

Antara kumpulan penjawat awam yang terlibat termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia serta beberapa lagi jabatan dan agensi.

Naskhah yang digarap oleh Dr. Ahmad Zairy Mohd Soieb memaparkan sisi dendam yang membara kerana diaibkan.

Menurut pengarahnya, pementasan ini telah dihasilkan melalui kajian empirikal daripada pelbagai sumber, disesuaikan dengan kemelut yang dihadapi oleh Kerajaan Melaka demi meluaskan jajahan dan kuasa.

Selain itu, penonton turut dihidangkan dengan keunikan dan warisan peribahasa yang tinggi martabatnya.

“Apabila dialog dan bait kata setiap pelakon dilafazkan, menunjukkan betapa indahnya Bahasa Melayu, lalu memperlihatkan keindahan dan kehalusan bahasa apabila diungkapkan,” jelas pengarah teater ini.

Penggunaan laras bahasa istana, peribahasa, dialek negeri dan beberapa lagi unsur bahasa telah membawa penonton menyelami naskhah dengan lebih mendalam.

Keindahan bahasa istana sangat jelas dizahirkan dalam setiap bait madah bicara sultan, permaisuri dan seluruh ahli istana.

Tertib bahasa istana yang akan bermula dengan ungkap kata “ampun Tuanku” menunjukkan betapa setiap bicara yang ingin diucap tidak boleh sesuka hati dan sewenang-wenangnya sebaliknya perlu disusun dengan tertib dan mempunyai laras bahasa yang baik.

Sesuatu perkara itu kadangkala tidak boleh dibicarakan secara terus terang atau menggunakan perkataan sebenar, maka peribahasa hadir untuk melambangkan kiasan dan ungkap kata yang berlapik.

Antaranya contoh peribahasa yang digunakan dalam teater Lara Wirang adalah seperti “rindu laksana jentayu menantikan hujan”, “ibarat hendakkan halus, genting-genting putus sudahnya”, “ibarat lengkuas di tepi kendang, tekak puas badan menyandang”, “ibarat lengkuas di tepi kendang, tekak puas badan menyandang” dan banyak lagi.

Penggunaan dialek seperti dialek Kelantan turut ditonjolkan dalam teater ini. Penggunaan dielek yang jelas ketara apabila babak melibatkan istana Kelantan melalui beberapa watak seperti watak Mek Jebeh dan Bendahara Long Seri yang menggunakan dialek Kelantan dalam percakapan mereka.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Unit Pementasan Teater Perkhidmatan Awam dan Kebudayaan  telah menampilkan Teater Perkhidmawatan Awam 2024 berjudul Lara Wirang dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan dalam jiwa penjawat awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.