6 Januari 2025, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Seri Tiong King Sing menyeru setiap rakyat Malaysia untuk memainkan peranan sebagai duta pelancongan. “Setiap senyuman, ucapan selamat datang dan interaksi adalah peluang untuk mencipta kenangan manis buat pelawat,” ujar beliau di dalam ucaptama bersempena dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia (VM2026) yang diadakan di Hangar Enam, Kompleks MAG, pagi tadi. 

“Setiap rakyat Malaysia adalah ‘Duta Pelancongan’ yang mempamerkan daya tarikan unik negara kita kepada dunia,” tambah beliau.

Majlis tersebut menyaksikan pelancaran logo, maskot dan lagu rasmi yang menjadi simbol aspirasi Malaysia dalam memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Dalam ucaptamanya, YB Dato’ Seri Tiong King turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik serta semua pihak berkepentingan yang menjadi tonggak kejayaan industri pelancongan Malaysia.

“Kempen ‘Surreal Experiences’ [atau ‘Pengalaman Menakjubkan’] ini mengajak dunia untuk menerokai keindahan dan kepelbagaian Malaysia. Dari hutan hujan purba ke kota raya yang meriah, dari budaya yang kaya ke masakan yang memikat, Malaysia menawarkan pengalaman luar biasa buat pengunjung dari luar negara,” ujar beliau.

Logo VM2026 yang dilancarkan mencerminkan keindahan Malaysia melalui senyuman mesra, sambutan hangat dan warna-warni rakyatnya yang berbilang etnik. Logo ini akan turut dipamerkan di badan-badan kapal terbang Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air. 

YB Dato’ Seri Tiong King Sing menjelaskan bahawa VM2026 memberi tumpuan kepada dua teras utama, iaitu pelancongan berkualiti tinggi dan mampan. 

“Strategi ini bertujuan untuk meningkatkan ketibaan pelancong dengan menukar lawatan singkat kepada tempoh penginapan yang lebih lama. Selain itu, strategi ini juga menyasarkan untuk memperluas tempoh penginapan pelancong melalui pengalaman yang diperkaya, termasuk pelancongan budaya dan ekopelancongan, memberdayakan komuniti setempat serta memperkukuhkan infrastruktur,” ujar beliau

“Di samping itu, strategi ini turut memfokuskan kepada menggalakkan perbelanjaan pelancong melalui promosi pelancongan khusus, seperti pelancongan kesihatan dan pengalaman premium,” tambah beliau.

Majlis ini turut menyaksikan pemeteraian memorandum kolaborasi (MoC) dengan pelbagai rakan kongsi utama seperti Malaysia Aviation Group, AirAsia, Batik Air, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Persatuan Hotel Malaysia, 

Malaysia Airports Holdings Berhad, Huawei, Mastercard, Marriott International dan Shangri-La Group. Kerjasama ini, menurut beliau, mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan daya saing dan kelestarian pelancongan Malaysia.

Menuju VM2026, beliau turut mengumumkan acara Malaysia Sarong Music Run (MSMR) 2025 – Road to Visit Malaysia 2026 yang akan diadakan pada 8 Februari tahun ini di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. Acara ini mempromosikan budaya, muzik, masakan tradisional dan gaya hidup sihat sambil menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Majlis pelancaran ini menandakan permulaan perjalanan ke arah merealisasikan VM2026 sebagai sebuah kejayaan negara yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memperkukuhkan perpaduan serta menonjolkan keunikan warisan budaya negara.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Seri Haji Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari; Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.