Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Balai Seni Negara (BSN) mempamerkan siri terbaharu Pameran Kenyalang Circus Hanya Satu “Single” oleh artis grafik dan tekstil muda tanah air, Marcos Kueh.
Pameran yang berlangsung pada 1 Disember 2024 hingga 31 Mac 2025 ini mengetengahkan siri karya tekstil berwarna-warni dan fluorescent yang dihasilkan dengan mesin tenun industri.
Kenyalang Circus membawa pengunjung melihat bagaimana artis terbabit, Marcos, 29, bergelut dengan persoalan mengenai identitinya yang berbangsa Cina dan berasal dari Borneo yang tinggal dalam kalangan orang Eropah di Belanda.

Kebanyakan karya dalam siri ke-9 Pameran Hanya Satu “Single” ini diinspirasikan daripada imej Malaysia dan Borneo yang digabungkan dengan imej-imej kasar iklan jalanan, logo jenama multinasional, plastik polister, dan benang fluorescent, sebagai sindiran halus terhadap sebahagian masyarakat Barat dan Semenanjung Malaysia yang sering menyalah tafsir kepelbagaian budaya Borneo.
“Membesar, melihat plastik dan membaca berita di mana kesudahannya di Malaysia, telah mendorong saya memikirkan bagaimana menjadikan ia cantik. Di Eropah, plastik dikumpulkan dan dikitar semula. Jadi, di Malaysia, saya juga mahu mengitar semula plastik sepenuhnya,” jelas beliau yang telah memulakannya pada tahun 2016.
Marcos yang belajar reka bentuk grafik, turut memberitahu di Eropah, projek ini berkembang lebih besar. Ketika di Belanda, beliau belajar cara-cara menyulam, yang kemudian menjadi hasil tekstil, dan projek tekstil.
Kenyalang Circus menampilkan tujuh buah karya, iaitu Woven Poster #06: Money Minded, Woven Poster #07: Exotic Hospitality, Woven Poster #08: Primitive Performance, Woven Poster #9a: Homo Savagius Obedius, Woven Poster #9b: Homo Maiden Exotica, Woven Poster #10: Homo Servantis Erotis, dan Woven Billboard: Ibu Pertiwiku.
“Dalam karya seperti Woven Poster #06: Money Minded, Woven Poster #07: Exotic Hospitality, dan Woven Poster #08: Primitive Performance, saya mengetengahkan isu niat manusia di Borneo ketika mengenakan kostum tradisional dan bekerja dalam industri hospitaliti,” jelas Marcos.

Beliau menunjukkan bagaimana ritual seperti penuaian yang dahulunya dilakukan untuk tujuan keagamaan, kini semakin berubah menjadi persembahan untuk memenuhi kehendak pelancong.
Bagi karya Woven Poster #9a: Homo Savagius Obedius dan Woven Poster #9b: Homo Maiden Exotica, ujar Marcos, gambaran makhluk-makhluk yang berpakaian seragam melambangkan peranan mereka sebagai pekerja kilang, dan pembersih untuk syarikat asing.
“Saya menyampaikan mesej halus apabila masyarakat Borneo dilihat sebagai penduduk kelahiran “tanah eksotik” yang unik dan luar biasa, perhatian lebih diberikan kepada keindahan luaran seperti budaya berwarna-warni, dan tradisi mereka,” jelasnya.
Hal ini, tambah Marcos, menyebabkan isu-isu sosial yang dihadapi, seperti ketidaksamarataan dan kesan penjajahan, sering diabaikan atau dianggap kurang penting.
Dalam garis pemikiran yang sama, makhluk yang digambarkan dalam karya Woven Poster #10: Homo Servantis Erotis berada di antara Tuhan, dan raksasa. Berdasarkan status sosioekonomi, ramai penduduk Asia Tenggara berhijrah ke negara maju untuk bekerja sambilan. Mereka sering dilihat sebagai perosak yang menimbulkan masalah, dan merampas pekerjaan.
“Namun begitu, walaupun mereka dianggap sedemikian, tetapi setiap individu tetap mempunyai akar budaya dan berhak mendapat belas kasihan, serta dilihat sebagai manusia yang mempunyai martabat dan nilai yang sama,” jelas Marcos.
Koleksi karya terakhir ialah Woven Billboard: Ibu Pertiwiku, yang dipamerkan seolah-olah sebuah air terjun. Karya ini, menurutnya lagi, mengambil inspirasi daripada kepercayaan suku Dayak, yang menceritakan bahawa nenek moyang mereka tinggal di syurga dan hanya turun ke dunia melalui air terjun.
“Nenek moyang ini dilihat sebagai pemerhati dari atas, memerhatikan kehidupan manusia yang penuh dengan urusan, kekacauan, dan kelucuan,” jelas Marcos.
Kenyalang Circus telah menjelajah ke pelbagai negara, dipamerkan dalam pelbagai versi dan susunan, dari Paris, Perancis hingga ke New York, Amerika Syarikat. Pada penghujung tahun 2024, ia kembali ke tanah air dan dipamerkan di BSN, menyambut kemeriahan tahun baharu 2025 dengan penuh warna dan kegembiraan.
