Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu Edisi Ketiga telah diterbitkan semula oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, baru-baru ini.
Buku ini telah mengupas tentang tekstil dan pakaian tradisional Melayu dan perkembangan serta transformasinya dalam konteks zaman moden, malah turut menelusuri berbagai elemen busana Melayu–mulai dari tekstil dan pakaian tradisional hingga aksesori yang digunakan.
Pengarangnya, Azah Aziz telah membahas aspek estetika, fungsi dan makna di sebalik setiap potongan dan rekaan. Kehalusan kain seperti songket dan limar, teknik dan motif batik, kepelbagaian aksesori, warna dan corak serta penggunaan pantun daripada hikayat menjadikannya sebuah karya yang patut dimiliki seluruh anak bangsa.
Adikarya ini juga menceritakan hubungan antara busana dan identiti budaya, serta peranannya dalam menggambarkan status sosial dan budaya suatu masyarakat.
Selain itu, Azah Aziz memberikan pemahaman tentang keindahan dan kerumitan dalam rekaan busana Melayu, sambil mengungkapkan sejarah serta perubahan dalam gaya dan pemakaiannya.
Terdahulu, edisi pertama buku ini telah diiktiraf sebagai ‘Buku Terbaik’ apabila memenangi hadiah Tinta Perdana dalam Anugerah Buku Kebangsaan anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia pada tahun 2008.
Kini karya tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Malay Textiles and Costumes: Form and Style oleh Tita Publications.
Pengarangnya, iaitu Azah Aziz (1928-2021) atau nama penuh Sharifah Azah Syed Mohammad Alsagoff merupakan seorang wartawan, penulis buku kanak-kanak, pejuang hak wanita dan tokoh budaya yang mencurahkan sebahagian besar hidupnya demi pemeliharaan warisan.
Beliau merupakan pengasas dan presiden pertama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia dari tahun 1971 hingga tahun 1978. Azah Aziz juga pernah menjadi editor di Utusan Melayu dan berperanan sebagai perunding Majalah Wanita.
Anak kepada tokoh pendidikan Azizah Jaafar ini juga tegar memperjuangkan hak para wanita, terutamanya dalam isu berkaitan kesetaraan gaji dan cukai berasingan bagi isteri yang bekerja.
Srikandi budaya Malaysia ini telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni dan Pendidikan atas sumbangannya dalam bidang budaya dan pendidikan. Beliau meninggal dunia pada 9 Julai 2012 di usia 83 tahun, meninggalkan legasi yang ampuh dalam memperjuangkan budaya Melayu di peringkat global.

Dalam majlis tersebut, YBhg. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang merupakan anak Allahyarhamah Azah Aziz berkata, cinta dan kasih sayang ibunya terhadap tradisi Melayu telah membakar semangat untuk menterjemahkan buku ini ke dalam bahasa Inggeris.
Selain membantu membuka jalan kepada generasi akan datang menghargai dan mempertahankan akar budaya Melayu, buku ini juga menjadi rujukan kepada sarjana dari negara luar yang secara tidak langsung membuka potensi besar kekayaan pusaka Malaysia ke pentas dunia.
Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani turut memberikan ucapan pada majlis yang istimewa ini.
Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Tan Sri Dr. Zeti Akhtar dan Tita Publications atas kesudian berkolaborasi dengan UKM dalam penerbitan kedua versi buku ini.
Harapan beliau, buku ini dapat dijadikan panduan terutamanya generasi muda, agar akar warisan terus dipelihara.
Majlis diselangi dengan tayangan dua video, pertama tentang Azah Aziz; sejarah awal kehidupan, pekerjaan, keluarga dan perjuangannya. Kedua mengenai buku Rupa dan Gaya: Busana Melayu.
Selain itu, Sasterawan Negara Zurinah Hassan juga diundang dan beliau membaca serangkap pantun bagi menyempurnakan majlis pelancaran buku Rupa & Gaya: Busana Melayu.
Terakhir, YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), dalam ucapannya turut mengujakan semua yang hadir tentang Muzium Tekstil Merdeka yang akan mula beroperasi sekitar 2026.
Sebanyak 240 lembar kain dan busana Melayu, juga 69 aksesori tradisional milik Azah Aziz akan dipamerkan di Muzium Tekstil Merdeka. Hal ini untuk memastikan segala kerja keras dan komitmen beliau dalam memelihara warisan dan budaya Melayu mendapat manfaatnya kepada seluruh masyarakat.