Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Projek Warisan Kuala Lumpur (KL) tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian fizikal dan perkembangan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu bertunjangkan tradisi dan budaya.
Menurut Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, penerapan falsafah MADANI dalam pembangunan warisan negara, khususnya bandar raya Kuala Lumpur merupakan langkah penting untuk memastikan identiti ibu kota berkenaan kekal unik dan berakar kepada budaya serta sejarah tempatan.
Saya selalu tekankan (bahawa) memang kita tidak akan maju sekiranya kita tidak menggapai langit (melalui) teknologi baharu, digital, kecerdasan buatan dan peralihan tenaga, tetapi menggapai langit harus mengakar ke bumi; ertinya faham sejarah, budaya, nilai dan akhlak. (Hal) ini mengizinkan dan membenarkan kita (untuk) mempertahankan nilai manusiawi.
Dalam inti pati ucapannya, beliau mengingatkan semua pihak yang terlibat agar menyegerakan pelaksanaan projek Warisan KL yang bakal memberikan kemudahan kepada rakyat terbanyak.
“Sebab itu, perancangan kita ini mesti perancangan secara langsung dan tuntas, memusatkan kepada keperluan negara moden tetapi tidak boleh meminggirkan rakyat,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pagi tadi.
Pada masa yang sama, beliau menyifatkan projek Warisan KL sebagai sebuah detik yang bersejarah dalam usaha mengangkat martabat bandar raya Kuala Lumpur dan berharap ia menjadi mercu tanda serta contoh model terbaik pembangunan bandar di seluruh negara.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan bandar raya Kuala Lumpur tidak boleh melibatkan projek berskala besar, pemusatan penyertaan pelancong atau golongan elit semata-mata, tetapi perlu memberikan perhatian kepada kemudahan prasarana berskala kecil seperti gerai dan warung bersih yang digunakan oleh 80 peratus rakyat kebanyakan.
Keselesaan sebenar ialah keselesaan majoriti rakyat. Bangunan atau warisan ini mesti menjamin keselesaan majoriti rakyat, kawasan hijau, keselamatan, keindahan dan pemandanganya.
“Perkara ini bagi kita satu kota yang moden, baru dan bukan untuk memenuhi mana-mana kelas tetapi memenuhi keperluan semua rakyat,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut menyeru khalayak agar melakukan perubahan minda untuk memastikan perancangan bandar yang lebih seimbang dan berteraskan nilai budaya serta kemanusiaan.
Satu perancangan yang indah, kita harus sentiasa melihat (dan) perbaiki, tetapi jangan lupa nilai kita. Soal nilai ini penting, kita ada kelainan kita, bukan kerana gedung. Kelainan kita ialah kefahaman tentang erti teknologi baharu, budaya dan nilai dalam kehidupan.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa meskipun terdapat usaha terdahulu yang perlu diiktiraf, sejak dua tahun kebelakangan ini kerajaan telah mengarahkan Khazanah Nasional untuk menerajui projek pembangunan warisan sebagai langkah memperkukuh identiti Kuala Lumpur.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Khazanah Nasional yang telah melabur hampir RM700 juta dalam inisiatif pembangunan kawasan warisan, termasuk Carcosa Seri Negara dan Stesen Keretapi Kuala Lumpur, dengan penekanan terhadap keseimbangan antara pembangunan fizikal dan kelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Warisan KL ialah sebuah inisiatif strategik untuk mengaktifkan semula teras sejarah Kuala Lumpur sebagai daerah kreatif dan kebudayaan.
Berdasarkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, Warisan KL meliputi kawasan seluas 20 km persegi yang terdiri daripada Zon Teras dan Zon Penampan, melibatkan zon utama yang merangkumi elemen sivik, warisan dan komersial.
Antara 10 projek perintis andalan yang terlibat dalam Warisan KL termasuklah Kawasan Warisan Dataran Merdeka, Carcosa Seri Negara, Merdeka 118, Enklaf Masjid Jamek, Kuadran Perniagaan, Memorial Tun Abdul Razak, Rangkaian Penghubung Hikau, Stesen Kretapi Kuala Lumpur, Kandungan dan Program serta Fesyen dan Tekstil.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr Dr. Maimunah Mohd Sharif; Pengarah Urusan Think City, YBhg. Dato’ Hamdan Abdul Majeed dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.