Diterbitkan pada 2 Jun 2025, 12:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) bakal melancarkan projek terjemahan Siri ASEAN, sebuah projek penerbitan berskala besar yang menghimpunkan karya-karya penting dari negara-negara serantau Asia Tenggara, bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Projek ini merupakan ilham dan dorongan daripada Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Amirudin Shari, sebagai satu usaha memperkukuh jaringan ilmu dan kerjasama budaya serantau melalui medium penterjemahan dan penerbitan.

Menurut Pengarah Urusan IBDE, Farhan Affandi, siri ini mencerminkan komitmen IBDE untuk memperkenalkan pemikiran dan naratif dari negara jiran ke dalam bahasa Melayu, sekali gus memartabatkan bahasa ini sebagai bahasa ilmu dan wacana serantau.

“Melalui siri ini, kami membawakan lima buah karya penting dari Thailand, Singapura, Malaysia, Filipina dan Vietnam — setiap satu mewakili pemikiran, sejarah dan naratif bangsa di rantau kita,” katanya dalam ucapan sempena pelancaran buku terjemahan Dunia Kini Milik China?, karya diplomat terkenal Kishore Mahbubani, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.

Antara lima judul utama yang akan diterbitkan dalam Siri ASEAN termasuklah Journey to Angkor oleh Prince Damrong Rajanubhab (Thailand) – catatan putera raja mengenai sejarah dan penemuan peribadinya mengenai kota purba Angkor, Can Asians Think? oleh Kishore Mahbubani (Singapura) – analisis provokatif mengenai dominasi pemikiran Barat dan potensi Asia.

Selain itu, The Story of Southeast Asia oleh Eric C. Thompson (Malaysia) – sebuah sejarah ringkas tetapi padat mengenai pembentukan rantau Asia Tenggara tanpa mengikut naratif penjajah, Cabinet of Curiosities oleh Ambeth Ocampo (Filipina) – kisah sejarah negara menerusi artifak dan terakhir  Hanoi’s War oleh Lien-Hang T. Nguyen (Vietnam) – kajian mendalam tentang Perang Vietnam dari sudut pandang dalaman negara tersebut dan mengetengahkan dalang di sebalik kemenangan peperangan Vietnam.

Pengerusi Lembaga Penasihat Editorial Media Selangor yang juga rakan baik kepada Kishore Mahbubani, Tan Sri Johan Jaaffar dalam ucapannya memuji inisiatif IBDE dan menyifatkannya sebagai usaha yang berani dan signifikan dalam meletakkan Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu serantau.

Dalam pada itu, Farhan turut berkata kelima-lima buku Siri ASEAN ini dijangka dapat disiapkan bertepatan dengan majlis Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 hingga 29 Oktober 2025 nanti.

Dengan pelancaran Siri ASEAN ini, IBDE sekali lagi membuktikan peranannya sebagai peneraju penerbitan intelektual berbahasa Melayu di Malaysia dan rantau ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi