Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAmpang – Pelukis terkemuka tanah air, Bayu Utomo Radjikin kembali memukau khalayak seni dengan pameran solo terbaharunya yang bertajuk Resonance of Souls, berlangsung dari 6 hingga 29 Jun 2025 di HARTA Space, Ampang.
Dikenali dengan gaya figuratif yang mendalam dan pendekatan abstrak yang ekspresif, Bayu meneroka makna tubuh manusia sebagai wadah jiwa dalam siri karya terbaharunya. Pameran ini menampilkan karya-karya yang menjiwai pergolakan emosi dalaman melalui postur dramatik, warna-warna yang mendalam, serta sapuan berus yang bertekstur dan berlapis.
Sepanjang lebih tiga dekad berkarya, Bayu telah mengadakan pelbagai pameran solo di peringkat nasional dan antarabangsa, termasuk di Balai Seni Negara, Galeri Wei-Ling, dan Sutra Dance Theatre, serta pernah mempamerkan karya di institusi terkemuka seperti Tate Britain dan National Gallery Singapore.
Bayu juga dikenali sebagai pengasas kolektif seni MATAHATI, serta penggerak inisiatif seni lain termasuk HOM Art Trans, MARS (Malaysian Art Archive & Research Support) dan ruang cetakan seni Chetak 17. Beliau turut aktif dalam bidang seni persembahan sebagai pereka set dan pengarah seni.
Resonance of Souls menandakan kesinambungan evolusi kreatif beliau yang menggabungkan intensiti figuratif dengan lukisan abstrak emosi.
Karya Bayu menyerlah dalam konteks yang amat bermakna. Karya beliau kebanyakannya menggambarkan sosok lelaki tanpa identiti khusus, sebagai perlambangan perjuangan jiwa yang bersifat sejagat. Dengan latar yang abstrak dan kabur, sosok-sosok ini berdiri sebagai simbol ketegangan, disiplin dan pergelutan dalaman manusia.
Menurut Bayu, pameran ini tidak bertujuan untuk mendefinisikan emosi secara langsung, sebaliknya menawarkan ruang interpretasi kepada penonton.
“Saya mahu penonton menyelami sendiri apa yang tersirat di sebalik permukaan tubuh dan warna,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Reka letak karya yang konsisten dan palet warna yang terkawal namun ekspresif menjadikan Resonance of Souls sebuah pengalaman visual yang meresap ke jiwa. Pameran ini turut menyerlahkan pertembungan antara bahasa visual kontemporari dengan persoalan kemanusiaan yang abadi.

Dilahirkan pada 1969 di Tawau, Sabah, Bayu bukanlah nama baharu dalam seni rupa Malaysia. Lulusan Universiti Teknologi MARA (1991) ini mula menyerlah sejak awal kerjaya apabila memenangi Anugerah Utama dalam Bakat Muda Sezaman 1991, sebuah pertandingan berprestij yang menjadi pentas awal bagi ramai seniman besar negara.
Namun bagi Bayu, kejayaan bukan sekadar pengiktirafan. Beliau menjadikan seni sebagai jalan perenungan dan pengabdian. Sejak pameran solo pertamanya di Creative Centre, Balai Seni Negara pada 1996, Bayu konsisten menelusuri tema tubuh, identiti dan pergelutan dalaman manusia.
Katalog rasmi pameran solo Bayu Utomo ini turut memuatkan esei daripada Ivan Gabriel (kurator, penulis dan seniman) ; Faisal Tehrani (penulis); Bilqis Hijjas (kritikus tari dan penerbit kreatif); Aiman Aliff (pembikin filem); dan Che Kem, pelakon, pengarah dan kurator budaya.)