Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Istana Balai Besar menjadi tumpuan apabila Festival Tekstil dan Warisan Melayu Kelantan 2025 sedang berlangsung dari 1 hingga 14 September ini, bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Festival anjuran Pejabat Sultan Kelantan dengan kerjasama pelbagai pihak ini memberi peluang orang ramai menyaksikan keindahan seni tekstil tradisional Melayu dan warisan budaya negeri Kelantan.
Menurut Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Encik Mohamed Safaruddin Ismail, penganjuran festival tahun ini menampilkan kelainan berbanding tahun sebelumnya yang menekankan koleksi keris.
“Tahun lalu kita menganjurkan Festival Keris dan Warisan Kelantan. Kali ini kita memperkenalkan pula koleksi tekstil tradisional seperti kain limar, cindai, telepuk, songket, kain punca potong dan destar setangan isih yang diperbuat daripada kain batik. Semua ini adalah khazanah tekstil yang mungkin tidak lagi dikenali generasi baharu,” katanya.
Pameran ini turut mengetengahkan koleksi diraja Kelantan, koleksi peribadi pengumpul tempatan serta pinjaman kain warisan daripada Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Selain tekstil, pengunjung juga berpeluang melihat senjata tradisional Melayu seperti keris, badik, golok, parang jenguk dan kelewang.
Bagi memeriahkan festival, pelbagai demonstrasi turut diadakan, antaranya pembuatan kain telepuk menggunakan teknik emas tulen, tenunan songket, ukiran emas dan perak, serta pembuatan jebak puyuh yang sarat dengan seni hiasan.
“Walaupun jebak puyuh hanyalah perangkap burung, orang dahulu menghasilkannya dengan begitu indah – jalinan kayu seperti anyaman songket, dihias dengan tatahan logam berharga membuktikan betapa seni itu sebati dalam kehidupan masyarakat Melayu silam,” ujar beliau lagi.
Selain itu, bengkel dan seminar tekstil turut dianjurkan dengan menampilkan pakar yang membincangkan motif tradisional seperti pucuk rebung dan bunga pecah lapan.
Menariknya, festival ini berlangsung di Istana Balai Besar yang dibina pada tahun 1845 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II. Istana bersejarah ini jarang dibuka kepada umum, dan kali ini dibuka atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan.
“Ini peluang istimewa kepada rakyat untuk memasuki kawasan larangan istana yang masih mengekalkan keaslian seni bina asalnya,” jelas Safaruddin.
Festival tahun ini turut menampilkan Bunga Mas asli yang disimpan di Istana Kelantan sebagai ikon pameran. Artifak bersejarah itu jarang dipamerkan kepada khalayak, sekali gus menjadikannya antara tarikan utama festival.
Masuk adalah percuma, dan orang ramai dialu-alukan hadir bagi menghayati khazanah tekstil serta warisan budaya Melayu Kelantan.