Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bazar Seni dan Kraftangan ASEAN 2025 atau ASEAN Arts & Crafts Bazaar (AACB) 2025 kembali lagi dengan penganjuran buat kali ketiga.
Program anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berlangsung selama 11 hari, bermula dari 10 hingga 20 Oktober 2025 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.
Program ini diadakan bersempena dengan Mesyuarat Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-34, AACB dan bertujuan menghimpunkan produk kraf tempatan dari seluruh Malaysia serta rantau ASEAN.
Tarikan utama dalam AACB tahun ini ialah penganjuran demonstrasi kraf antarabangsa yang membawa warisan seni dari pelbagai negara ASEAN dan rakan dagang antarabangsa.

Program ini bukan sahaja untuk mempamerkan keindahan kraftangan, tetapi juga sebagai platform terbaik bagi perkongsian pengetahuan dan pengukuhan hubungan antarabangsa melalui seni warisan budaya.
Kehadiran jurudemo kraf khas dari Negara Brunei Darussalam yang mempersembahkan kehalusan tenunan songket menjadi tumpuan. Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi teknik tradisional dari negara-negara jiran seperti Kemboja (sutera ikat tenun), Lao PDR (tenunan), Thailand (barang kemas), Vietnam (hasil rimba), dan Timor Leste (sulaman tais).
Tidak ketinggalan, negara-negara rakan dagang seperti China (anyaman buluh), Uzbekistan (ukiran seramik), dan Turkiye (sulaman tradisional) turut mempamerkan kehebatan kraf mereka sekali gus membolehkan masyarakat tempatan melihat secara langsung teknik dan proses pembuatan kraf antarabangsa dengan lebih terperinci.
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli, dilaporkan turut hadir memeriahkan acara. Menurut beliau, AACB 2025 tidak hanya memfokuskan kepada kraf se-ASEAN, malah medan dagangan bagi usahawan kraf tempatan, dengan sasaran jualan sebanyak RM8 juta dan jangkaan dapat menarik seramai 100,000 pengunjung.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pengisian yang menarik seperti jualan kraf, pameran produk kraf baharu, dan pameran oleh institut di bawah Kementerian Pelancongan Negara dibuka untuk orang ramai.

Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif dan riadah seperti Eksplorasi Kraf (Fun Craft), Taklimat Keusahawanan, Demontrasi Makanan Warisan, serta pertandingan seperti Pencarian Aku Model Kraf dan Pertandingan Cerita Lensa Ku turut diadakan bagi memeriahkan suasana.