Diterbitkan pada 18 Disember 2025, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Seri Negara telah disempurnakan dalam suasana penuh bermakna di hadapan barisan pemimpin kerajaan, wakil institusi warisan dan masyarakat umum.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertempat di Seri Negara, Persiaran Tuanku Ja’afar, Tasik Perdana.

Pemuliharaan bangunan warisan tersebut dilaksanakan dalam tempoh kurang daripada setahun melalui inisiatif Warisan KL oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebagai sebahagian usaha memulih kembali nilai sejarah, seni dan identiti nasional yang dipelihara untuk generasi kini dan akan datang.

Projek ini bukan sekadar membaik pulih struktur fizikal, tetapi mengembalikan penghormatan terhadap nilai sejarah dan jati diri yang terkandung dalam warisan negara.

Beliau menekankan bahawa usaha pemuliharaan warisan negara mestilah menjadi milik seluruh rakyat tanpa mengehadkannya kepada golongan tertentu.

“Walaupun negara telah lama mencapai kemerdekaan, masih wujud sikap elitis yang menjadikan bangunan dan warisan peninggalan penjajah seolah-olah kekal sebagai milik penguasa, bukan rakyat,” katanya dalam ucapan perasmoian pada Isnin lalu.

Beliau turut menegaskan bahawa inti pati warisan ini bukan sahaja struktur bangunan tetapi jiwa dan minda rakyat yang perlu merdeka secara sebenar.

“Masalahnya bukan pada bangunan atau warisan itu sendiri, tetapi pada jiwa, minda dan sikap kita yang belum benar-benar merdeka,” tambahnya.

Dalam majlis tersebut, Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan bahawa nilai warisan negara harus dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dan tidak wajar menjadi ruang eksklusif golongan tertentu sahaja.

“Gedung-gedung ini akhirnya menjadi simbol kuasa, bukannya ruang rakyat. Warisan ini adalah milik negara keseluruhannya dari segi sejarahnya, peristiwa, seni, budaya dan sasteranya mesti bersifat terangkum dan inklusif.”

Beliau menambah bahawa penerapan nilai tersebut penting supaya generasi muda dapat menghayati sejarah negara secara langsung dan memberi inspirasi kepada pemahaman identiti Malaysia yang sebenar.

Majlis ini turut menonjolkan peranan pemuliharaan warisan sebagai media pendidikan sejarah dan ruang penghayatan budaya untuk masyarakat.

Seri Negara, yang dahulunya dikenali sebagai Carcosa Seri Negara, merupakan monumen bersejarah yang pernah menjadi kediaman rasmi penjajah dan saksi sejarah awal pembentukan negara. Pemuliharaan kini dirangka sebagai ruang awam yang lebih inklusif, terbuka untuk semua lapisan masyarakat termasuk pelajar dan komuniti umum.

Selain itu, pemulihan warisan ini dijangka memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi melalui peningkatan daya tarikan warisan budaya, selari dengan objektif menjadikan Kuala Lumpur pusat warisan dan budaya yang meriah dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Pemuliharaan Seri Negara bukan sekadar usaha fizikal memulih bangunan bersejarah, tetapi satu manifestasi nilai identiti, sejarah, budaya dan jati diri Malaysia untuk dinikmati semua rakyat. Ucapan perdana menteri pada majlis tersebut menegaskan bahawa warisan negara adalah hak rakyat keseluruhannya sebuah warisan yang mesti dihayati tanpa sempadan elitisme.

Dalam ucapan belanjawan 2026, Perdana Menteri mengusulkan Khazanah Nasional Berhad melabur sebanyak 600 juta bagi pemuliharaan Carcosa Seri Negara yang sebelum ini, selama 40 tahun lalu, kerajaan telah merunding pemulangan bangunan tersebut daripada British.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi