Diterbitkan pada 13 Februari 2026, 19:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Hanya Satu (Single) berjudul Balai di Balai (Tatemonologue 2.0) oleh artis kontemporari Xeem Noor (Noorazah Hanim Mohd. Noor), sedang berlangsung di ruang lobi Balai Seni Negara (BSN).

Pameran yang bermula sejak 8 Januari 2026 hingga 8 April 2026 ini menampilkan sebuah instalasi berasaskan pengalaman residensi artis di Koganecho Artist-in-Residence (AIR), Yokohama, Jepun pada tahun 2025.

Balai di Balai (Tatemonologue 2.0) merupakan kesinambungan daripada karya terdahulu, Tatemonologue, yang memberikan tumpuan terhadap usaha menterjemahkan memori serta pengalaman residensi dalam konteks baharu menerusi perkongsian ruang, masa dan interaksi yang bersifat timbal balik.

Pendekatan ini menekankan hubungan antara ruang peribadi dengan ruang awam, serta bagaimana pengalaman individu dapat dikongsi dan diolah menjadi pemahaman kolektif.

Instalasi ini menampilkan replika berskala sebenar ruang kediaman Xeem Noor di Apartmen Yamamoto sepanjang tempoh beliau mengungsi.

Xeem Noor memberikan penjelasan tentang salah sebuah karyanya yang menarik perhatian pengunjung.

Struktur instalasi dibina menggunakan tiang rajutan yang dihasilkan semasa berada di Jepun, sementara dindingnya pula terdiri daripada panel fabrik bercetak yang memaparkan dokumentasi visual pengalaman di Koganecho AIR, di samping surat reflektif yang ditulis olehnya ke apartmen tersebut.

Para pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung oleh Xeem Noor pada setiap Rabu, Sabtu dan Ahad melalui proses penghasilan permaidani crochet berbentuk bebas di ruang instalasi, sepanjang tiga bulan pameran tersebut berlangsung.

Menariknya, para pengunjung turut dijemput untuk duduk, berinteraksi dan berkongsi pengalaman bersama-sama Xeem Noor, selain berpeluang menyumbang secara langsung dalam proses penghasilan karya.

Sebagai sebahagian daripada program sokongan pameran berkenaan, BSN telah menganjurkan sesi “Lawatan Berpandu oleh Artis” pada 11 Februari lalu, yang memberikan peluang kepada pengunjung memahami konsep, proses kreatif serta naratif di sebalik karya secara langsung daripada Xeem Noor.

Salah sebuah karya yang turut dipamerkan.

Sesi “Lawatan Berpandu oleh Artis” tersebut turut disokong oleh Dermally Malaysia, iaitu jenama yang memberikan penekanan terhadap kesedaran kesihatan kulit dan penjagaan diri, dengan menyediakan aktiviti analisis kulit secara percuma kepada para pengunjung.
Balai di Balai (Tatemonologue 2.0) secara keseluruhannya mengangkat nilai kesedaran terhadap adab, etika dan budaya saling menghormati apabila berada di ruang orang lain.

Para pengunjung dipelawa untuk merenung peranan seni sebagai medium yang merapatkan hubungan, membina empati, serta memperkukuh kefahaman terhadap konsep komuniti.

Untuk maklumat lanjut tentang pameran berkenaan, sila layari www.artgallery.gov.my, atau ikuti saluran media sosial rasmi BSN.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi