Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTepat dan benar sekali jika boleh disimpulkan makna peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai yang menggambarkan kerjasama erat dan tekal berlandaskan rumpun budaya dan bahasa Melayu.
Sambutan Melayu Day@Yala kembali mewarnai bumi Yala, Thailand apabila penganjurannya memasuki edisi ke-11 pada tahun 2026. Acara tahunan yang menjadi wadah pengukuhan jati diri dan warisan budaya masyarakat Melayu ini berlangsung selama tiga hari, bermula pada 11 Februari hingga 13 Februari 2026.
Mengangkat tema Budaya Lestari (Budaya Kekal), penganjuran pada kali ini dilihat memperkukuh hubungan negara serantau yang melibatkan negara yang meraikan lapis bahasa dan budaya. Program ini berlangsung dengan penuh rona warna budaya Melayu dan kemeriahan daripada semua negara yang mengambil bahagian pada edisi kali ini, iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand selaku tuan rumah.
Sambutan dimulakan bermula pada petang 13 Februari 2026, menyaksikan Perarakan Budaya yang disertai oleh kontinjen dari Thailand, Malaysia dan Indonesia. Perarakan ini bermula dari Soi Sri Putra menuju ke Padang Chang Phuek Park, Perbandaran Yala yang yang mempamerkan busana tradisi, seni mempertahankan diri (silat), dan warisan Melayu dari tiga buah negara serantau.
Program ini dirasmikan oleh Encik Piyasiri Wattanavarangkul, Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC). Turut hadir ialah Tuan Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla dan Tuan Winardi Hanafi Lucky, Konsul Jeneral Indonesia di Songkhla.
Menyusur sejarah penganjurannya sejak tahun 2014, Melayu Day bertujuan untuk mempromosikan pelancongan dan menyerlahkan daya tarikan budaya Yala. Iltizam ini juga untuk memberikan cerapan makna bahawa masyarakat tempatan dan luar negara mampu mencapai titik temu untuk saling mengenali akar budaya dan rumpun Melayu yang mempunyai banyak persamaan antara negara tetangga.
Kerajaan Malaysia yang menyertai program ini pada edisi kedua pada tahun 2015 telah memberikan sokongan dari segi penyertaan pelbagai pihak dari Malaysia. Antaranya termasuklah badan kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Universiti Teknologi MARA, Tourism Malaysia Bangkok, Majlis Agama Islam Kelantan dan Majlis Belia Felda Wilayah Terengganu. Tidak ketinggalan, pihak swasta seperti Adabi, Chefiza, Ceritera Travel Sdn.Bhd. dan Athanliz Innovations Sdn. Bhd. turut memperlihatkan sokongan padu dalam penganjuran acara ini.
Reruai Malaysia menampilkan pelbagai pengisian, misalnya permainan tradisional seperti congkak, masakan tempatan, jualan produk tempatan, jualan buku dan pameran batik.
Meraikan kebersamaan dalam budaya serumpun membuktikan kita hanya terpisah kerana garis sempadan negara, tetapi tetap bersatu dalam penghayatan budaya. Budaya ialah nyala rasa yang membentuk dan memperkukuh jati diri sesuatu bangsa, serta mencerminkan nilai, warisan dan ketinggian tamadunnya.