Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyemarakkan bulan suci tahun ini menerusi penganjuran Program Iftar Ramadan 2026.
Program ikonik yang memasuki tahun ke-14 penganjurannya berlangsung pada 28 Februari dan 1 Mac, serta 14 dan 15 Mac 2026, di sepanjang Jalan Raja, Dataran Merdeka.
Majlis pelancaran Program Iftar Ramadan 2026 telah disempurnakan oleh YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri MOTAC pada 28 Februari yang lepas.
Hadir sama YBhg. Datuk Seri TPr. Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur; YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC; YBhg. Dato’ Mohd. Yusri Mohd. Yusoff, Timbalan Kelua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC; dan YBrs. Encik Mohd. Amran Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN.

Menurut Dato’ Shaharuddin, Program Iftar Ramadan 2026 bukan sekadar acara berbuka puasa beramai-ramai, malah manifestasi keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
“Di Dataran Merdeka yang bersejarah ini kita bukan sahaja meraikan nilai kerohanian, tetapi turut mengangkat wansan budaya Islam sebagai produk pelancongan yang mampu menarik pelancong domestik, dan antarabangsa,” ujarnya.
Dengan pelibatan aktif golongan belia dan sukarelawan dalam program ini, Shaharuddin berharap dapat menyemai semangat keprihatinan sosial yang lebih mendalam, sekali gus memperkukuh identiti Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya yang inklusif dan progresif.
Penganjuran Program Iftar Ramadan 2026 yang dahulunya dikenali sebagai Festival Ramadan (2012), dan Iftar @ KL (2015) terus mengekalkan konsep kerohanian yang santai, tetapi penuh bermakna.

Di samping menjadi platform ibadah, program tersebut turut berperanan sebagai ejen penyatuan komuniti yang memperteguh ukhuwah, serta memupuk toleransi antara kaum menerusi pelbagai pengisian aktiviti kebudayaan.
Program Iftar Ramadan 2026 juga menekankan elemen kesukarelawanan budaya menerusi aktiviti gotong-royong yang melibatkan mahasiswa institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan, dan individu bagi menyemai nilai murni dalam kalangan masyarakat.
Pengunjung juga bukan sahaja berpeluang berbuka puasa secara berjemaah, malah turut disajikan dengan pelbagai pengisian seperti penyediaan dan edaran bubur lambuk, persembahan kerohanian oleh Dato’ M. Nasir, Caliph Buskers, kumpulan Hijjaz dan kumpulan Qasidah Masjid Jamek KL, solat berjemaah, tadarus al-Quran, aktiviti sukarelawan budaya, Bicara Ramadan, Malam Tujuh Likur, kaunter zakat fitrah, serta moreh.

Antara rakan strategik Program Iftar Ramadan 2026 termasuklah Tourism Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Khazanah Nasional, Pusat Pungutan Zakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Kuala Lumpur Foodtruck Entrepreneur’s Association (KLFTEA), selain sokongan penaja seperti Islamic Tourism Centre, Watsons, F&N, Yayasan Muhibbah, Fipper Retail Sdn. Bhd., CLC Fishery (M) Sdn. Bhd., Ganda Kota Sdn. Bhd., Binery Sdn. Bhd., Media Prima, Suria FM, RASA, Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Nestle, Agro Bank, YAPEIM, Spritzer, Odah Kerepek House, Biolyn, Yee Lee Corporation, dan Kawan Food Manufacturing Sdn. Bhd.
Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari media sosial JKKN, iaitu mysenibudaya dengan pautan www.facebook com/mysenibudaya.