Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Selepas kejayaan filem pertama pada tahun 2025, kisah pengasas silat gayong, mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman diteruskan dalam Gayong 2, terbitan SOL Pictures Sdn. Bhd.
Tidak sekadar kisah kehidupan seorang guru silat, Gayong 2 tampil dengan skala lebih besar, emosi lebih mendalam dan konflik yang bertambah kompleks.
Pada 1 April lalu di TGV One Utama, berlangsung Malam Gala dan Sidang Media Gayong 2 yang turut dihadiri beberapa orang pelakonnya seperti Beto Kusyairi, Nabila Huda, Syafie Naswip, Hana Aqeela, Sandra Lim, Ammar Titan, Fauzie Laily, Rabbit Chen, Bobby Tonelli, Tian Jian dan Duerra Mitilda.
Yayan Ruhiyan yang memegang watak Wak Jusang dalam Gayong juga turut hadir. Walau bagaimanapun, beliau hanya bertindak sebagai pengarah aksi untuk Gayong 2.
Menurut Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, Gayong 2 membawa perjalanan Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman ke fasa hidup yang lebih gelap dan mencabar. Beliau bukan lagi sekadar pendekar, malah pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dalam pasukan polis di bawah pentadbiran British di Singapura.
“Filem ini masih berpaksikan kehidupan sebenar Datuk Meor Abdul Rahman, khususnya nilai, prinsip dan pilihan hidup beliau,” ujarnya.
Namun begitu, tambahnya, filem ini dipersembahkan dalam pendekatan dramatik dan sinematik, bukan dokumentari, tetapi mengangkat konflik kuasa dan tekanan emosi yang wujud dalam dunia sebenar pada ketika itu.

“Kisah Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman tidak seharusnya terhenti sebagai sejarah kelahiran seorang guru silat semata-mata. Dalam sejarah hidupnya, ada satu fasa yang sangat menarik dan relevan, iaitu memilih untuk menentang kejahatan dari dalam sebuah sistem,” jelas Khairul.
Menurutnya lagi, Gayong 2 lahir daripada keinginan untuk menceritakan perjuangan yang lebih kompleks ini, tentang bagaimana seseorang yang berpegang pada prinsip diuji apabila kebenaran itu mengancam jiwa.
Sementara itu, Faisal Ishak sebagai pengarah menyatakan bahawa Gayong 2 bukan sekadar kesinambungan cerita, malah kesinambungan warisan dan tanggungjawab.
“Filem ini memang mengangkat isu seperti rasuah, gengsterisme dan penyalahgunaan kuasa. Akan tetapi, pada terasnya memaparkan kisah seorang lelaki yang terperangkap antara prinsip hidup dengan keselamatan keluarganya,” ujarnya.
Tambahnya, jika Gayong lebih menjurus pada memperkenalkan dunia dan semangat persilatan, Gayong 2 pula menyelami harga yang perlu dibayar untuk mempertahan keperibadian dan harga diri, serta bukan sekadar aksi lasak, malah tentang identiti dan maruah.
“Dengan naratif yang lebih matang, konflik moral lebih tajam dan aksi lasak lebih mantap, Gayong 2 bersedia menjadi karya tempatan yang bukan hanya mengangkat seni persilatan, malah keberanian mempertahan prinsip dalam dunia yang tidak sempurna,” jelasnya.
Penggambaran Gayong 2 dijalankan pada November 2024 hingga Disember 2024, dan 100 peratus lokasinya di Ipoh, Perak.
“Saya harap Gayong 2 lebih dekat dengan penonton kerana filem ini bermain dengan emosi yang lebih sarat. Saya mahu penonton pulang dengan bangga pada warisan kita, dan sekali gus dihiburkan oleh sebuah filem aksi lasak tempatan yang dihasilkan sepenuh hati.
“Kalau ada penonton yang pulang sambil berfikir tentang keluarga, akar budaya atau pilihan hidup yang mereka buat, maka Gayong 2 telah menjalankan tugasnya,” tegasnya.
Bakal ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 9 April 2026, Gayong 2 berlatar masa selepas Perang Dunia Kedua, ketika Tanah Melayu memasuki era yang kelihatan aman, tetapi rosak dari dalam (1950). Kejahatan tidak lagi bersembunyi di lorong gelap, tetapi dilindungi oleh sistem, pangkat dan wang.