Diterbitkan pada 12 April 2026, 14:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jakarta – Kejayaan pelajar Pusat Pengajian Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) dalam program mobiliti antarabangsa, International Mobility Programme for Academic and Cultural Transformation (IMPACT) 2026 di Universitas Terbuka, Pondok Cabe, Tangerang Selatan, Jakarta, Indonesia membuktikan bahawa pelajar pendidikan jarak jauh mampu bersaing dan cemerlang pada peringkat antarabangsa.

Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran akademik dan insaniah, malah mengangkat warisan budaya sebagai medium perpaduan sejagat, serta menyokong agenda pembangunan mampan global program.

Menurut Dr. Norhanishah Mohamad Yunus selaku ketua program, program mobiliti ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran di luar bilik kuliah, malah menjadi platform penting dalam membentuk jati diri pelajar.

“Pelajar didedahkan kepada persekitaran global yang mencabar, sekali gus melatih mereka untuk berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan lebih yakin dan menyesuaikan diri dalam konteks budaya yang berbeza.

Pelajar PPPJ, Elias bin Ishak (kiri), Noor Zamzuraida Noordin (kedua dari kiri) dan Aziah Abdul Majid(keempat dari kiri) tampil sebagai juara dalam mempersembahkan pakaian dan kebudayaan Malaysia.

“Walaupun mereka mengikuti pengajian secara jarak jauh, peluang seperti ini membuktikan bahawa mereka mampu berdiri sama tinggi dengan pelajar lain pada peringkat antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa akses pendidikan yang fleksibel tidak menjadi penghalang kepada kecemerlangan global,” katanya.

Tambah beliau, kemahiran seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan keupayaan menyesuaikan diri merupakan elemen penting yang tidak dapat diperoleh sepenuhnya melalui pembelajaran teori, malah program tersebut melengkapkan pelajar dengan pengalaman dunia sebenar.

Sebanyak 13 orang pelajar dalam pelbagai bidang pengajian, iaitu ekonomi, pengurusan, sejarah, ANSOS dan sains politik telah menyertai program mobiliti tersebut yang berlangsung pada 5 –10 April 2026.

Kepelbagaian latar belakang akademik ini memperkayakan interaksi ilmu, perbincangan dan pertukaran budaya sepanjang program berlangsung.

YBrs. Profesor Rahmat Budiman (kelima dari kiri) dan YBrs. Dr. Meirani Harsasi (ketiga dari kanan) bergambar bersama delegasi Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Terbuka (UT) selepas majlis penutup program mobiliti International Mobility Programme for Academic and Cultural Transformation (IMPACT) 2026 .

Program mobiliti ini diakhiri dengan berlangsungnya Majlis Penutup dan Persembahan Kebudayaan oleh pelajar USM dan Universitas Terbuka (UT) yang diadakan pada 10 April 2026 yang menjadi kemuncak kepada keseluruhan pengisian program.

Acara ini bukan sahaja menghimpunkan bakat dan kreativiti peserta, malah menjadi pentas mempersembahkan keindahan warisan budaya kedua-dua negara.

Pelajar wanita memukau hadirin dengan keanggunan busana tradisional seperti baju kurung Kedah, pakaian etnik Bidayuh serta busana klasik yang dihiasi sulaman halus, manakala pelajar lelaki pula tampil segak berbaju Melayu lengkap bersamping dan bertanjak.

Kejayaan membanggakan tercapai apabila pelajar PPPJJ USM dinobatkan sebagai penerima Anugerah Best Performance, sekali gus mengharumkan nama universiti pada peringkat antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi