Diterbitkan pada 20 April 2026, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur, 20 April – Pameran Imprint 2026 yang sedang berlangsung bermula 1 April hingga 10 Mei depan bukan sahaja memperkaya ekosistem seni negara, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi kreatif dan pelancongan budaya.

Ketua Pengarah Jabatan Keudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Encik Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, pameran itu memainkan peranan penting  usaha memperkukuh silang budaya, serta menggalakkan pertukaran idea, nilai dan ekspresi seni.

“Melalui platform seni dan budaya, kita dapat memperkenalkan keunikan Malaysia kepada dunia, sekali gus menarik lebih banyak pelancong untuk mengenali warisan, kreativiti dan identiti negara kita.

Ketua Pengarah Jabatan Keudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berucap merasmikan IMPRINT 2026.

Seiring dengan itu, IMPRINT 2026 turut menjadi sebahagian daripada usaha mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya ketika berucap merasmikan pameran seni cetak, IMPRINT 2026 di LRX Creative Hub, GMBB, di sini pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Duta Romania di Kuala Lumpur, Tuan Yang Terutama (TYT) Puan Nineta Barbulescu dan suami beliau, Tuan Dan Barbulescu; Pengarah JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Hidayatul Ein Azmi; Pengarah Urusan LRX Creative Hub, Encik Rosnan Nordin; Pengurus Besar GMBB, Puan Lim Ying Hui; Penolong Kurator Balai Seni Negara, Puan Ismaliza Mohd. Badarudin dan Encik Rusydi Hanis Mohd. Ramli dari Fakulti Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Mohd. Amran berkata, program yang menghimpunkan penyertaan sebanyak 179 karya oleh 145 orang karyawan dari 27 buah negara itu turut mencerminkan kepelbagaian latar budaya, disiplin seni dan kreativiti global.

“Acara ini juga menjadi bukti bahawa seni merupakan bahasa sejagat yang mampu merapatkan hubungan antara negara dengan masyarakat. Lebih membanggakan, IMPRINT 2026 ini merupakan acara yang julung kali diadakan di Malaysia.

“Penganjuran ini meletakkan negara kita sebagai salah satu pusat penting dalam landskap seni antarabangsa, sekali gus membuka ruang kepada pengkarya tempatan untuk berinteraksi, berkolaborasi dan menimba pengalaman pada peringkat global,” ujarnya.

Pameran yang bertemakan “budaya” itu menampilkan penyertaan 39 orang karyawan dari Thailand, 16 orang dari Turkiye, Mexico (14), Poland (12), Jerman (7), Jepun (6), dan Perancis (5).

Negara lain yang menyertai pameran ini ialah Argentina, Austria, Australia, Belgium, Kanada, Republik Czech, Finland, Hungary, Itali, Montenegro, Nepal, New Zealand, Macedonia Utara, Peru, Romania, Rusia, Sepanyol, Serbia dan Slovakia.

Malaysia, selaku tuan rumah diwakili oleh tujuh orang peserta terdiri daripada Luqman Yusry, Teh Chun Eng, Akif Nabihan, Mohd. Fadli Mokhtar, Nik Anis Iwana, Alicia Lee dan Rosyida Mohd. Rozlan.

Penganjuran IMPRINT 2026 turut menerima sokongan daripada Balai Seni Negara serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi