Diterbitkan pada 22 April 2026, 15:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Ekoran kejayaan penganjuran terdahulu di Templer Park Country Club, Staffield Country Resort, Kelab Golf Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kota Seriemas Golf & Country Club, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) meneruskan komitmennya memperjuangkan kebajikan penggiat seni tempatan menerusi penganjuran Golf Amal Selebriti ke-5 2026 yang akan berlangsung pada 10 Mei 2026 di Kota Seriemas Golf & Country Club, Nilai, Negeri Sembilan.

Program yang bermula pada pukul 12.00 tengah hari itu akan turut diisi dengan majlis Makan Malam Gala dan penyampaian hadiah.

Penganjuran edisi kelima yang mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini membawa misi mengumpulkan dana kebajikan bagi membantu artis serta penggiat filem di bawah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), selain memperkukuh sinergi antara industri seni, sektor korporat dengan masyarakat menerusi sebuah platform berimpak tinggi, berteraskan tanggungjawab sosial.

Presiden KARYAWAN, YBhg. Dato’ Freddie Fernandez menyatakan sedemikian semasa sidang media Golf Amal Selebriti ke-5 2026 di Panggung 1, FINAS, semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan KARYAWAN kepada Pengerusi FINAS, YBhg. Dato’ Hans Isaac atas sokongan dan komitmen, termasuklah penyertaan beliau secara langsung.

“Saya juga berterima kasih kepada YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS. Kesinambungan program amal ini membuktikan inisiatif kebajikannya terus mendapat sokongan pelbagai pihak,” katanya.

Sehubungan dengan itu, tambahnya, KARYAWAN menyeru syarikat korporat, syarikat berkaitan dengan kerajaan, institusi kewangan dan rakan strategik untuk tampil menyokong usaha tersebut.

“Semua penaja akan mendapat liputan promosi menyeluruh menerusi kempen media, bahan publisiti rasmi, pengiktirafan semasa sidang media termasuklah sesi penyerahan cek pendua, serta penjenamaan semasa hari kejohanan berlangsung,” ujarnya lagi.

Selain penajaan korporat, tambah Freddie, penyertaan individu turut dibuka kepada pemain golf dan penyokong yang mahu turut menyumbang kepada usaha kebajikan ini.

Golf Amal Selebriti, katanya, bukan sekadar sebuah kejohanan golf, malah sebuah platform kebajikan yang menyatukan industri, korporat dan masyarakat demi membantu artis dan pekerja filem yang kurang bernasib baik.

“Sokongan korporat yang diberikan bukan sekadar menaja sebuah acara, malah menjadi sumbangan bermakna kepada kebajikan penggiat seni yang telah banyak berjasa kepada landskap seni dan budaya negara,” tegas beliau.

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, boleh hubungi Dato’ Freddie Fernandez menerusi talian 012-2071400, emel [email protected] atau layari karyawan.my.

Sumbangan penajaan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Karyawan Malaysia, Public Bank 3108024130.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi