Diterbitkan pada 24 April 2026, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Merlimau – Program Tourism and Hospitality Discovery Day 2026: Step into the World of Tourism and Hospitality anjuran Politeknik Merlimau Melaka melalui Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti berjaya menarik penyertaan lebih 900 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan komuniti, termasuk murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, pelajar kolej komuniti di Melaka dan Ledang, Kolej Profesional MARA Bandar Melaka, warga Politeknik Merlimau Melaka serta komuniti setempat.

Kehadiran yang memberangsangkan ini jelas mencerminkan minat dan sokongan padu terhadap bidang pelancongan dan hospitaliti sebagai sektor masa hadapan yang berpotensi besar.

Program yang mengangkat konsep pembelajaran berasaskan pengalaman untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan industri ini merupakan inisiatif pelajar Semester 4, Diploma Pengurusan Pelancongan (DUP4A De Grandioso) yang bertindak sebagai jawatankuasa pelaksana sepenuhnya di bawah seliaan Puan Zuraida binti Yaacob selaku penyelaras kursus dan dibantu oleh Encik Khairul Nizam bin Markaban sebagai pensyarah kursus.

Keunikan program ini terletak pada pelibatan menyeluruh pelajar dalam aspek perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan acara, sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk menterjemahkan teori yang dipelajari di bilik kuliah kepada amalan praktikal dalam situasi sebenar.

Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Merlimau Melaka, Puan Faridatuljana binti Mohd Noor dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa penganjuran program berteraskan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti ini amat signifikan untuk memperkasakan pendidikan TVET.

Pelibatan pelajar sebagai penggerak utama bukan sahaja memperkukuh kemahiran teknikal dan insaniah, malah membuka ruang jaringan kolaborasi strategik bersama-sama industri, serta meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam bidang pelancongan dan hospitaliti. Usaha ini selari dengan aspirasi melahirkan graduan yang kompeten, holistik dan berdaya saing pada peringkat global.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti interaktif dan demonstrasi telah dilaksanakan mengikut lima bidang yang ditawarkan di bawah Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, dengan bimbingan pensyarah sebagai fasilitator yang telah dilantik.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah demonstrasi ikatan dan simpulan tali, pengenalan anatomi kayak, teknik pemasangan khemah, penggunaan kompas, demonstrasi pertolongan cemas, teknik pemanduan pelancongan, reruai kesedaran halal serta reruai pengurusan acara.

Tetamu kehormat bergambar bersama-sama peserta program Tourism and Hospitality Discovery Day 2026.

Elemen hospitaliti turut diserlahkan melalui aktiviti seperti The Art of Culinary Travel, fruit carving, cake decoration, napkin folding dan table setting yang mengetengahkan kemahiran penyediaan makanan dan penyajian bertaraf industri.

Program ini turut dimeriahkan dengan pelibatan pelbagai rakan industri dan agensi seperti Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, RG Food Industries, Aqil Sdn. Bhd., Muzium Seni Bina Malaysia dan Mumtaz Travel Sdn. Bhd.

Penyertaan institusi pendidikan seperti Kolej Komuniti Jasin, Kolej Komuniti Tangga Batu dan Kolej Komuniti Ledang turut memperkukuh jaringan kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan industri.

Tetamu kehormat yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Mumtaz Travel Sdn. Bhd., Tuan Haji Ahmad Fauzi bin Othman; Pengarah Muzium Seni Bina Malaysia, Encik Mokhtar bin Tamby Ahmad; dan Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari, Encik Nur Azan bin Hassan.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini bukan sahaja memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar sebagai penganjur acara, malah berperanan sebagai platform penting untuk membina jaringan industri yang mampan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi