Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOleh: Ezad SS
Tumpat – SK Kampong Delima muncul juara bagi kategori Tarian Irama Malaysia Sekolah Rendah, diikuti oleh SK Chenderong Batu sebagai Naib Juara dan tempat ketiga disandang oleh SK Pengkalan Kubor 1.
Sementara itu, bagi kategori Tarian Tradisional Melayu Duo, pasukan SK Kampong Delima A berjaya merangkul gelaran Johan, diikuti SK Kg Delima B sebagai Naib Johan dan SK Pasir Pekan A di tempat ketiga.
Sebanyak 15 pasukan mengambil bahagian melibatkan lima pasukan Tarian Irama Malaysia Sekolah Rendah dan 10 pasukan Tarian Tradisional Melayu Duo Sekolah Rendah dalam Pertandingan Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia (TASEEM) anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat yang menghimpunkan bakat muda terbaik sekolah rendah, semalam.
Pasukan yang berjaya menjuarai pertandingan ini akan mewakili daerah Tumpat ke peringkat negeri Kelantan sebelum berpeluang melangkah ke pentas kebangsaan, sekali gus membawa nama daerah ke tahap lebih tinggi dalam arena seni budaya negara.
Program ini membuktikan bahawa seni tari bukan sekadar hiburan, tetapi medium pendidikan budaya yang mampu membentuk sahsiah, disiplin, keyakinan diri serta kecintaan terhadap warisan bangsa dalam kalangan pelajar.
Penganjuran TASEEM turut dilihat sebagai platform penting dalam memastikan seni budaya bangsa terus subur dalam kalangan generasi muda, seiring usaha memperkukuh identiti nasional melalui bahasa, muzik dan gerak tari yang kaya dengan nilai ketimuran.
Program ini telah dirasmikan oleh Penolong Kanan Kokurikulum SMK Dato’ Biji Wangsa, Puan Azura binti Zakaria. Penganjuran pertandingan ini merupakan usaha PPD Tumpat dalam memperkasakan potensi murid menerusi pembentukan bakat berimpak tinggi melalui seni budaya, khususnya dalam bidang tarian tradisional dan Irama Malaysia.

Selain menjadi platform mencungkil bakat, pertandingan ini turut memartabatkan bahasa dan warisan budaya melalui lirik lagu yang sarat dengan nilai adab, mesej positif serta jati diri masyarakat Malaysia.
Dua orang juri profesional yang berpengalaman dalam bidang seni persembahan dan koreografi telah diberi tanggungjawab menilai setiap persembahan berdasarkan aspek teknik tarian, kreativiti, keserasian, penghayatan budaya dan kekemasan persembahan.
Sepanjang pertandingan berlangsung, setiap pasukan berjaya mempamerkan aksi memukau dengan gerakan tersusun, kostum berwarna-warni serta ekspresi seni yang mencerminkan keindahan budaya Malaysia. Persembahan yang penuh bertenaga dan berkualiti tinggi jelas memperlihatkan kesungguhan guru pembimbing serta komitmen murid dalam memartabatkan seni tari tradisional sejak di bangku sekolah rendah lagi.