Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching — Sarawak akan mencatat sejarah dalam dunia hiburan apabila filem animasi muzikal pertama negeri ini, The White Rajah of Sarawak bakal ditayangkan di pawagam pada 22 Julai 2028.
Pengumuman itu dibuat menerusi majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Motion Foundry Sdn Bhd dengan St Joseph’s Private Education Berhad di Auditorium Muzium Budaya Borneo, Kuching, baru-baru ini.
Majlis itu turut disaksikan Pengerusi Brooke Trust, Jason Brooke, serta ahli lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Gregory Wee.
Filem berdurasi 75 minit itu diadaptasi daripada pementasan teater muzikal yang pernah dipersembahkan oleh kakitangan dan pelajar St Joseph’s pada 2017 dan 2019, mengisahkan perjalanan James Brooke, bermula dari ketibaannya di Borneo pada 1840-an hinggalah pelantikannya sebagai Rajah Sarawak pertama pada 1841.
Ketua Pegawai Eksekutif St Joseph’s Private Education Berhad, Christopher Chua, berkata filem ini bukan sekadar hiburan biasa.
“Bagi kami, pementasan ini sentiasa membawa makna yang lebih besar daripada sekadar sebuah produksi. Hal ini membuktikan keyakinan kami terhadap kuasa transformasi seni persembahan dalam pendidikan,” katanya.
Penerbit Eksekutif Motion Foundry, Amy Khiu pula berkata kisah ini bukan hanya tentang James Brooke semata-mata, tetapi turut merakamkan semangat rakyat Sarawak, persahabatan, kesetiaan, perjuangan serta detik bersejarah yang membentuk identiti negeri itu.
Dari sudut pengembangan, Ketua Pegawai Komersial BorneoTalk, Ashley Pan menyatakan hasrat untuk membawa filem ini ke pentas antarabangsa agar kisah Sarawak dapat dikenali dunia.
Bagi memastikan filem ini benar-benar menjadi karya tempatan, Pengarah Animasi Siew Chung Lee berkata reka bentuk watak akan dimulakan bulan depan dengan pelibatan sekurang-kurangnya 50 kakitangan kreatif. Sesi uji bakat juga dibuka kepada bakat dari seluruh Sarawak.
Dengan gabungan seni animasi, muzik dan sejarah tempatan, The White Rajah of Sarawak dijangka bukan sahaja menghiburkan, malah menjadi kebanggaan rakyat Sarawak pada peringkat global.