Diterbitkan pada 27 Mac 2025, 21:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Masyarakat Islam di Malaysia menyambut hari Raya Aidilfitri dengan suasana yang penuh meriah saban tahun. Hari raya disambut sebagai tanda kesyukuran dalam meraikan kejayaan melaksanakan ibadah puasa selain menahan godaan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadan. Dalam konteks negara, Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang memperlihatkan budaya Melayu sebagai terasnya selain tuntutan agama.

Masyarakat Melayu sememangnya kaya dengan adat dan budayanya yang bukan sahaja dapat dilihat melalui pakaian dan makanan tetapi juga cara sambutan sesuatu perayaan atau upacara tertentu. Jika zaman dahulu, masyarakat Melayu akan pulang ke kampung untuk menyambut hari raya tetapi kini segelintir daripada mereka terutamanya masyarakat Melayu di bandar memilih untuk pergi bercuti bersama keluarga.

Jika diteliti makna hari raya dari segi bahasa, raya bermaksud besar atau utama. Contohnya seperti bandar raya yang menunjukkan Bandar besar dan utama serta jalan raya yang merujuk kepada jalan yang besar dan utama. Oleh itu, hari raya membawa maksud hari yang besar atau utama. Hari Raya Aidilfitri juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa dalam kalangan orang Melayu. Sejarah hari raya dalam Islam bermula apabila Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati masyarakat di sana menjadikan dua hari tertentu sebagai hari kebesaran mereka. Apabila Rasulullah SAW bertanya kepada mereka apakah dua hari tersebut, mereka menjawab dua hari tersebut ialah perayaan yang diwarisi secara turun temurun oleh nenek moyang mereka.

Menurut Riwayat Abu Daud, lantas, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari tersebut bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik, iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri”.

Pulang ke kampung halaman masing-masing menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan saat indah yang dinantikan oleh setiap perantau. Sejak sekian lamanya, Aidilfitri sudah sinonim dengan menyambutnya di kampung halaman bersama keluarga sambil menikmati pelbagai juadah istimewa seperti ketupat, lemang dan rendang.

Namun begitu, belakangan ini terdapat segelintir orang Melayu memilih untuk pergi bercuti atau ‘makan angin’ ke destinasi-destinasi percutian baik di dalam mahu pun di luar negara ketika meraikan sambutan hari raya. Buktinya, pada tahun 2019 sebelum wabak pandemik Covid-19 melanda negara kita, seramai 50 000 orang pengguna bakal berlepas ke destinasi masing-masing setiap hari bermula 25 Mei 2019 sehingga 10 Jun 2019.

Bercuti semasa musim perayaan bagaikan sudah menjadi satu trend apabila semakin banyak dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di negara ini memilih melakukan perjalanan jauh untuk bercuti pada hari raya. Pengarah Serantau bagi China Raya, Asia Tenggara, India bagi jenama Hotels.com, Jessica Chuang mendedahkan data Hotels.com menunjukkan trend pergi bercuti ketika sambutan hari raya semakin menggalakkan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Jika diperhatikan trend tersebut tidak salah namun mungkin sedikit janggal dalam budaya orang Melayu kita yang akan menyambut hari raya di kampung halaman masing-masing. Pakar sosial, Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpendapat melancong pada hari raya akan menghilangkan fungsi utama sambutan perayaan tersebut. Walau bagaimanapun, masyarakat tidak boleh meletakkan hukuman ke atas mereka kerana perbuatan tersebut bukanlah suatu kesalahan.

Jika diperhatikan, golongan yang pergi bercuti ketika sambutan Aidilfitri kebanyakannya terdiri daripada mereka yang mampu daripada segi kewangan seperti golongan artis dan selebriti tempatan. Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr. Ruhani Mat Min menyatakan terdapat dua sebab golongan tersebut memilih untuk pergi bercuti ketika hari raya, iaitu mereka mempunyai kemampuan daripada segi kewangan dan mereka masih bercuti bersama keluarga walaupun bukannya di kampung halaman seperti kelazimannya.

Menghabiskan masa pergi bercuti bersama keluarga juga mampu merapatkan silaturahim antara satu sama lain walaupun tidak pulang ke kampung halaman. Jika kita bercuti ke luar negara ketika sambutan Aidilfitri, kita juga dapat melihat dan merasai cara dan budaya masyarakat Islam di sana meraikannya. Hal ini sudah pasti menguja kerana budaya setiap masyarakat adalah berbeza antara satu sama lain.

Trend bercuti ketika Hari Raya Aidilfitri kebanyakannya dibuat oleh mereka yang tinggal di kawasan bandar dan tidak mempunyai kampung halaman. Hal ini kerana kesesakan di lebuh raya ketika musim perayaan terutamanya bagi lebuh raya yang menuju ke arah Pantai Timur dan utara Semenanjung masih berlaku. Bukan itu sahaja, jualan tiket pengangkutan awam pada musim-musim perayaan seperti Aidilfitri sangat laris dan kebanyakannya mengambil inisiatif menempah tiket dengan lebih awal terutamanya ke destinasi-destinasi tumpuan seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu. Mereka yang mempunyai kampung halaman masih memilih untuk pulang menyambut hari raya di kampung halaman masing-masing kerana di situlah tempatnya kita mempunyai kenangan indah yang tidak dapat dilupakan bersama keluarga masing-masing.

Kebanyakan individu yang tinggal di bandar memilih untuk pergi bercuti kerana kemeriahan berhari raya kurang dirasai di bandar. Sepanjang musim cuti raya, bandar-bandar besar yang sibuk dan bising berubah menjadi sunyi dan hanya dipenuhi warga-warga asing.

Faktor kesesakan jalan raya juga mungkin menjadi antara faktor bagi segelintir antara masyarakat Malaysia yang memilih untuk pergi bercuti ketika hari raya. Kesesakan jalan raya pada setiap kali musim cuti raya sebenarnya satu mimpi ngeri bagi mereka yang melaluinya. Contohnya, perjalanan ke Alor Setar yang sepatutnya hanya mengambil masa lebih kurang enam jam pada hari-hari biasa boleh melangkau sehingga hampir 15 jam ketika musim perayaan.

Perjalanan pulang ke kampung halaman yang sepatutnya menguja ada kalanya boleh bertukar kepada perasaan tidak puas hati, marah dan sebagainya jika terperangkap dalam kesesakan berjam-jam lamanya. Tambahan pula, jika keluarga tersebut membawa anak kecil. Jadi, cuti musim perayaan tersebut dimanfaatkan dengan suasana yang lebih gembira dengan pergi bercuti bersama keluarga ke destinasi pelancongan pilihan. Bukan itu sahaja, kebanyakan tempat-tempat percutian terutamanya di Malaysia boleh dikatakan lengang dan tidak sesak ketika sambutan perayaan Aidilfitri dan kesempatan ini digunakan oleh masyarakat yang ingin bercuti ke destinasi pelancongan impian tanpa perlu bersesak-sesak.

Walaupun trend bercuti ketika hari raya semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia, kita perlu mengetahui bahawa sambutan hari raya dalam konsep Islam mempunyai adab dan batas-batas tertentu kerana merupakan satu ibadah. Hari Raya Aidilfitri disambut sebagai kemenangan bagi orang-orang yang telah menyempurnakan ibadah puasa. Bahkan, ada sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani daripada Ubadah bin Soib menyatakan bahawa: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari Kiamat.”

Tuntasnya, trend bercuti ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri semakin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan masyarakat bandar dan mereka yang berkemampuan daripada segi kewangan. Sebenarnya, tidak salah meraikannya di mana sekali pun asalkan tidak melanggar syariat Islam dan melebihkan unsur ibadah agar roh satu Syawal dihidupkan dengan lebih sempurna. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang masih ada keluarga di kampung moleklah sekiranya pulang berhari raya di kampung halaman dalam usaha mengeratkan lagi silaturahim sesama sanak saudara. Peliharalah budaya kita menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana sememangnya penuh dengan tradisinya yang unik dan berwarna-warni.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi