Diterbitkan pada 22 September 2025, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan Julai yang lalu, dunia seni lukisan dikejutkan dengan berita sedih pemergian seorang pelukis terkenal tanah air, iaitu Allahyarham Ismail Kadir. Khabar duka itu bukan sahaja meluluhkan jiwa setiap insan seni, tetapi seluruh sahabat, kenalan jauh dan dekat termasuklah masyarakat sekitar kampung Paya Rambai yang terletak tidak jauh dari bandar Kota Bharu.

Ismail Kadir merupakan orang yang bertanggungjawab memimpin Persatuan Seni Lukis Kelantan (Peseni) sejak tahun 2017. Dilahirkan pada 6 September tahun 1952 di Kota Bharu, Kelantan, beliau mendapat pendidikan awal di Islah English School, Sekolah Menengah Rendah (SMR) Kota Bharu dan Sultan Ismail Collage sebelum melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA pada tahun 1970.

Selepas itu, beliau memulakan kerjaya awal sebagai guru sandaran di Sekolah kebangsaan Chicha Menyabong, Kedai Lalat, Kota Bharu dan Sekolah Kebangsaan Bukit Merbau, Selising, Pasir Puteh. Bagaimanapun kerjaya tersebut tidak secocok dengan darah seni yang mengalir dalam jiwanya. Beliau akhirnya mengambil keputusan meninggalkan profesionnya sebagai guru, lalu bergiat aktif dalam bidang lukisan dan turut mencuba nasib menceburi selok belok perniagaan sebagai kontraktor binaan.

Seterusnya, beliau memilih berhijrah ke Kuala Lumpur demi kelangsungan kariernya dalam bidang seni lukisan. Di Kuala Lumpur, beliau yakin akan menimba ilmu dan pengalaman baharu dengan pelukis hebat tanah air.

Tindakannya itu ternyata tidak sia-sia. Di ibu kota beliau ditemukan dengan beberapa orang pelukis tersohor tanah air. Di situ bermula titik literasi seninya secara lebih kondusif, yakni membentuk dan mencetuskan inspirasi asas pemikiran sebagai seorang seniman.

Antara susuk berwibawa yang ditemuinya termasuklah pelukis di Raja Selangor, Dato’ Mohd. Hoessien Enas yang sentiasa mendorongnya supaya melanjutkan pengajian dalam bidang seni secara formal. Menyedari akan kepentingan itu beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang seni kreatif (aliran seni lukisan).

Bertitik tolak dari situ, lonjakan semangat serta minatnya pada dunia seni lukisan semakin kental lalu mengambil keputusan untuk menjadi pelukis sepenuh masa. Sebagai langkah awal beliau menyertai Peseni. Dalam Peseni, beliau memanjat jawatan dari Ahli Jawatankuasa sebelum dilantik sebagai Yang Dipertua.

Allahyarham dikenali oleh rakan-rakannya sebagai seorang pelukis yang memiliki keunikan dan identiti tersendiri. Hal demikian kerana setiap hasil karyanya mudah dikenali, tetapi sukar untuk ditiru-tiru.

Menurut seorang rakannya yang juga seorang pelukis dan penyair, Pak Rossem, Allahyarham mempunyai kehebatan tersendiri dalam mempersembahkan setiap hasil karyanya.

Dia sangat kreatif, punya identiti tersendiri. Lukisan-lukisannya mudah dikenali tetapi sukar untuk ditiru-tirukan oleh orang lain. Ini kehebatannya.

Allahyarham mampu melukis dalam semua medium. Akan tetapi yang paling digemari ialah medium cat air dengan subjek landskap yang menekankan pelbagai elemen terutamanya kehidupan dan budaya.

Beliau juga melukis potret. Antara potret tokoh-tokoh negara yang pernah dilukisnya termasuklah Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Leo Moggie. Malah, potret berkenaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilukisnya pernah mencecah nilai sebanyak RM36,000.

Dalam spektrum lukisan yang pelbagai, dimensi penghayatan Allahyarham sangat tinggi dan teliti. Sebagaimana kata seorang lagi rakan seperjuangan Allahyarham, iaitu Pak Abu Art;

Ismail merupakan pelukis realisme membawa zaman ke zaman. Dalam erti kata lain Ismail mendokumentasikan warisan dan budaya untuk dihayati oleh generasi masa depan. Subjek yang dirakam hari ini mungkin sudah tidak ada pada hari esok tetapi, ia masih boleh dilihat menerusi lukisan-lukisan Ismail.

Ketulenan dan kejujuran dalam proses pengkaryaan Allahyarham menjadikan lukisan beliau sebagai wahana meningkatkan kesedaran nilai estetika selain mencetuskan pemahaman, pemikiran serta kreativiti masyarakat. Hal ini selaras dengan realiti dunia seni lukisan yang berperanan sebagai antara alat komunikasi memenuhi kehidupan manusia kekal relevan hingga kini.

Selain senang diterima umum, karya lukisannya pernah menghiasi pameran dalam pelbagai acara selama lebih 20 tahun. Kebetulan beliau sendiri aktif turut serta dalam pameran antarabangsa termasuklah di China, United Kingdom, India, Taiwan, Singapura, Brunei, Turki, Indonesia, Thailand dan Itali.

Lukisan-lukisannya turut menjadi pilihan untuk dipamerkan di beberapa buah muzium sebagai khazanah seni untuk dihayati oleh generasi zaman ke zaman. Kekuatan, kemampuan, keupayaan dan kreativiti Allahyarham melayakkan beliau menerima beberapa anugerah khususnya dari kerajaan negeri Kelantan seperti Anugerah Penghargaan Budaya 2010, Anugerah Penghargaan Karyawan Kelantan 2013, Anugerah Khas Pelukis Kelantan 2014 dan Anugerah Seni Budaya Kelantan 2018.

Di peringkat antarabangsa beliau antara lima pelukis diiktiraf sebagai pelukis terbaik Asia oleh majalah The Plein Air, iaitu sebuah majalah seni terkenal di Amerika Syarikat. Pengiktirafan tersebut merupakan kemuncak kepada kariernya sepanjang pelibatan dalam bidang seni lukis yang mengharumkan nama negara di persada dunia selama 40 tahun.

Allahyarham juga pernah diberi penghormatan untuk mengendalikan bengkel berkaitan seni lukisan selain dipilih sebagai juri pertandingan seni lukis di peringkat antarabangsa.

Demi memastikan kelestarian seni lukis negeri atau negara, terutama pada lukisan-lukisannya sendiri beliau mewujudkan sebuah galeri seni yang dinamakan Galeri Seni Lukis Ismail Kadir.

Selain tempat untuk penyimpanan atau pameran lukisan beliau sendiri, galeri seluas 3000 kaki persegi yang terletak di kampung Paya Rambai itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang pameran, studio dan dewan terbuka yang dinamakan dengan anjung seni.

Segala kemudahan yang disediakan di galeri tersebut adalah semata-mata untuk dimanfaatkan kepada aktiviti atau kegiatan berkaitan seni. Pada masa sama galeri tersebut juga menjadi rakan strategik dalam merealisasikan misi dan visi pihak Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Sementara itu, Sasterawan Negeri Kelantan, Rosli K. Matari menganggap Allahyarham bukan sahaja veteran, malahan antara garda depan yang tersohor dalam perkembangan dunia seni lukis tanah air.

Beliau adalah insan yang dekat dan faham pada makna seni. Oleh itu, benarlah jika ada yang mengatakan beliau sebagai figura yang membentuk leluhur seni menerusi lukisan-lukisannya.

Meskipun pencapaiannya telah melewati kemuncak kariernya sepanjang pelibatan dalam bidang seni lukis tetapi, dari satu sisi tersembunyi visi dan misinya malah lebih jauh dari itu. Beliau mengimpikan pada sebuah buku mewah sebagai katalog lukisannya yang dikombinasikan dengan puisi.

Sebagai rakan karib, untuk tujuan tersebut (kira-kira tiga tahun lalu), Allahyarham pernah meminta Rosli menginspirasikan puisi berdasarkan lukisannya. Rosli cuba membantu memenuhi impiannya lewat lima buah lukisan yang sempat dikirimkan. Tetapi takdir menentukan segala. Ismail terlebih dahulu dipanggil berpulang ke rahmatullah, mengakhirkan impiannya di situ. Pada lima buah sajak yang sempat diinspirasikan dari lukisan Ismail kini menjadi renungan, langsung mengingatkan Rosli pada dialog terakhir dua insan seni itu.

“Tak pasti, kita sempat atau tidak. Saya pun perlahan melukis,” kata Ismail pada awal meminta Rosli tolong membantunya.

“Tak apa. Saya pun mungkin tidak mudah juga,” jawab Rosli.

Kini Ismail telah tiada. Abadi di alam sana. Namun demikian, pemergiannya bukan bererti telah tertutup layar sulaman seni yang pernah diterokainya. Sebaliknya pada hamparan layar itu tersimpan sejarah, tersirat jiwa seorang seniman yang menghidupkan warisan memelihara khazanah zaman.

Allahyarham Ismail dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung. Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas menerima rawatan sejak Mei lalu.

Semoga Pak Ismail Kadir damai di sana – al-Fatihah.

_________________________

Zuharman Mohammad Nor berasal dari Kelantan. Pernah bertugas dalam bidang kewartawanan arus perdana. Beliau menulis puisi dan puisinya pernah tersiar dalam Dewan Sastera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi