Diterbitkan pada 20 Januari 2026, 14:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Menerusi landskap global yang dibentuk oleh konflik berpanjangan di Gaza, dunia seni dan budaya menyaksikan kelahiran pelbagai karya yang cuba merakam penderitaan, trauma dan kemanusiaan yang sering tenggelam dalam laporan statistik dan retorik politik.

Filem, seni visual, dokumentari dan karya sastera muncul sebagai medium alternatif untuk kembalikan wajah manusia kepada tragedi kemanusiaan yang berlaku secara berterusan. Namun begitu, dalam lambakan representasi visual yang sarat dengan imej kemusnahan dan keganasan, hanya segelintir karya memilih jalan yang lebih senyap tetapi menghantui, yakni memberi ruang kepada suara sebagai saksi.

Dalam konteks inilah muncul The Voice of Hind Rajab (2025), sebuah filem dokudrama arahan Kaouther Ben Hania, pengarah dari Tunisia yang dikenali melalui karya dokumentari dan fiksyen yang mengaburkan sempadan antara realiti dengan pementasan sinematik.

Filem ini diterbitkan dengan sokongan rangkaian penerbit antarabangsa, termasuklah pelibatan tokoh Hollywood sebagai penerbit eksekutif, antaranya pelakon dan pengarah filem seperti Brad Pitt, Joaquin Phoenix, Rooney Mara, Spike Lee dan Alfonso Cuaron yang memberikan filem ini kedudukan penting dalam wacana sinema global dan hak asasi manusia.

Selain kekuatan naratif dan pendekatan estetik, The Voice of Hind Rajab turut mendapat pengiktirafan penting di pentas sinema antarabangsa. Filem ini telah mengadakan tayangan perdana dunia dalam pertandingan utama Festival Filem Antarabangsa Venice ke-82, dan seterusnya memenangi Grand Jury Prize selain enam anugerah selari yang lain.

Pencapaian ini diperkukuh lagi apabila filem tersebut dipilih sebagai wakil rasmi Tunisia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik dalam Anugerah Akademik ke-98, sekali gus tersenarai dalam senarai pendek Disember, serta menerima pencalonan Filem Bahasa Bukan Inggeris Terbaik, Anugerah Golden Globe ke-83. Pengiktirafan ini mengesahkan kedudukan The Voice of Hind Rajab bukan sahaja sebagai karya kesaksian kemanusiaan, tetapi juga sebagai teks sinema yang diiktiraf secara kritikal di peringkat global.

Berbeza daripada filem konflik yang bergantung pada visual keganasan, The Voice of Hind Rajab memilih pendekatan yang radikal dalam kesederhanaannya, iaitu meletakkan suara seorang kanak-kanak Palestin sebagai pusat naratif. Tanpa eksploitasi imej ngeri atau adegan perang berskala besar, filem ini membina pengalaman menonton yang berasaskan pendengaran, empati dan kehadiran emosi. Suara Hind menjadi jambatan yang meruntuhkan jarak geografi dan politik antara Gaza dan penonton global.

Kisah Benar di Sebalik Naratif

Kekuatan utama The Voice of Hind Rajab terletak pada hakikat bahawa naratifnya berpasak pada peristiwa sebenar yang berlaku di Gaza pada Januari tahun 2024. Tragedi Hind Rajab bukanlah kisah simbolik yang direka untuk menggerakkan emosi penonton, sebaliknya sebuah kejadian nyata yang direkodkan melalui jejak audio panggilan kecemasan.

Hind, seorang kanak-kanak perempuan Palestin, terperangkap di dalam sebuah kenderaan bersama ahli keluarganya selepas serangan ketenteraan, dan menjadi satu-satunya yang masih hidup untuk membuat panggilan meminta bantuan. Peristiwa ini kemudiannya berakhir dengan kematian Hind sebelum pasukan penyelamat sempat tiba. Filem ini mengangkat kisah tersebut tanpa sensasi visual atau dramatik yang berlebihan, sebaliknya mengekalkan nada berlapik dan berhemah dalam menyampaikan tragedi kemanusiaan.

Dari segi bentuk, filem ini menempatkan dirinya secara jelas sebagai sebuah dokudrama, iaitu gabungan dokumentari dan lakonan dramatik. Unsur dokumentari hadir melalui penggunaan rakaman suara sebenar panggilan kecemasan Hind, yang menjadi tulang belakang penceritaan. Rakaman ini bukan sekadar rujukan atau latar bunyi, tetapi berfungsi sebagai teks utama yang menggerakkan keseluruhan naratif filem. Elemen lakonan pula digunakan secara terkawal untuk memvisualkan ruang pusat panggilan kecemasan dan proses komunikasi antara pihak yang terlibat, tanpa menganggun keaslian suara yang menjadi saksi utama peristiwa.

Pendekatan ini menegaskan bahawa filem tersebut tidak berusaha mencipta emosi secara artifisial. Sebaliknya, emosi yang hadir terhasil secara organik daripada realiti itu sendiri, yakni daripada getaran suara, jeda pernafasan dan nada ketakutan seorang kanak-kanak yang berhadapan dengan situasi di luar daya kawalannya.

Dengan berpaut pada bukti audio yang sahih, The Voice of Hind Rajab menolak manipulasi dramatik dan menempatkan penonton sebagai sakti, bukan pengguna emosi.

Oleh itu, filem ini harus difahami sebagai satu bentuk penceritaan yang berasaskan kebenaran pengalaman, bukan imaginasi sinematik. Malah, filem ini mengangkat realiti yang telah berlaku, lalu memindahkannya ruang budaya dan ingatan kolektif melalui medium filem, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kesaksian kemanusiaan yang penuh rasa autentik dan bertanggungjawab.

Suara sebagai Teras Penceritaan

Pilihan estetik paling signifikan dalam The Voice of Hind Rajab ialah keputusan untuk menjadikan suara kanak-kanak sebagai pusat mutlak naratif. Dalam tradisi sinema konflik, penderitaan lazimnya dizahirkan melalui imej visual seperti runtuhan bangunan, tubuh yang cedera atau landskap perang musnah.

Sebaliknya, dalam filem ini meminggirkan dominasi visual dan memilih suara Hind sebagai wahana utama penceritaan. Suara tersebut bukan sekadar alat komunikasi, tetapi menjadi subjek estetik yang membawa makna, emosi dan kesaksian. Maka, keputusan ini mengubah pengalaman menonton daripada aktiviti melihat kepada proses mendengar dan merasai.

Dialog telefon kecemasan yang menjadi nadi filem berfungsi sebagai mekanisme pembinaan ketegangan yang beransur-ansur tetapi berpanjangan. Setiap pertanyaan, jawapan dan sela diam dalam perbualan antara Hind dan petugas kecemasan mencipta rasa cemas yang tidak memerlukan sokongan muzik dramatik atau suntingan pantas.

Ketegangan lahir daripada kesedaran penonton bahawa masa bergerak, keadaan semakin genting dan suara yang didengar itu berada di ambang keheningan. Pada masa yang sama, dialog tersebut membina empati yang mendalam kerana memperlihatkan ketakutan dalam bentuk yang paling asas dan jujur, iaitu seorang kanak-kanak yang memohon pertolongan dengan bahasa yang polos dan terhad.

Lebih penting, filem ini membuktikan bahawa suara mampu menggantikan imej sebagai bahasa penderitaan yang lebih berkesan dan beretika. Tanpa memperlihatkan tubuh yang terluka atau adegan kematian, suara Hind sahaja sudah mencukupi untuk menzahirkan skala tragedi yang berlaku.

Nada suara, kelajuan pertuturan dan perubahan intonasi menjadi petunjuk emosi yang lebih halus tetapi menikam perasaan. Dalam konteks ini, suara tidak sekadar mewakili penderitaan individu, tetapi berfungsi sebagai simbol kepada suara kanak-kanak lain yang terperangkap dalam konflik bersenjata.

Pendekatan ini mencabar kecenderungan sinema kontemporari yang sering bergantung kepada imej mengagumkan untuk membangkitkan emosi. The Voice of Hind Rajab menunjukkan bahawa penderitaan tidak perlu dipamerkan untuk difahami, sebaliknya cukup didengar untuk dirasai. Dengan meletakkan suara sebagai teras penceritaan, filem ini mengangkat kesunyian, kerentanan dan kemanusiaan sebagai bahasa sinematik yang paling jujur dan juga berkesan.

Minimalisme Visual dan Kesannya

Sejajar dengan penekanan terhadap suara, filem ini mengamalkan minimalisme visual yang ketara melalui penggunaan ruang yang terhad dan terkawal. Sebahagian besar naratif adalah berlangsung dalam lingkungan pusat panggilan kecemasan, ruang tertutup yang bersifat fungsional dan hampir tanpa hiasan.

Rakaman statik, pergerakan kamera yang minimum dan komposisi visual yang sederhana menjadikan ruang tersebut sebagai medan psikologi, bukan medan aksi. Penonton tidak digerakkan oleh perubahan lokasi atau dinamika visual, sebaliknya dipaksa untuk kekal bersama suara yang sedang berjuang untuk didengari.

Ketiadaan visual keganasan yang eksplisit merupakan satu keputusan etika yang disengajakan. Filem ini menolak pameran tubuh yang cedera, darah atau kemusnahan fizikal yang sering menjadi konvensi filem perang. Keputusan ini bukan tanda penghindaran realiti, tetapi satu usaha mengekalkan maruah mangsa dan mengelakkan penderitaan dijadikan tontonan. Dengan tidak memperlihatkan keganasan secara langsung, filem ini mengalihkan tumpuan daripada sensasi kepada kesaksian, daripada kejutan visual kepada renungan emosi yang berpanjangan.

Pendekatan ini menjadi lebih bermakna apabila dibandingkan secara ringkas dengan filem perang yang bersifat kekaguman (spectacle). Dalam banyak karya sinema konflik arus perdana, visual besar seperti letupan, pertempuran dan kesan, sering berfungsi bagi mengagumkan penonton, walaupun membawa mesej antiperang.

The Voice of Hind Rajab memilih jalan yang bertentangan, mengecilkan skala visual untuk membesarkan kesan moral. Dengan menolak estetika kekaguman, filem ini menegaskan bahawa tragedi kemanusiaan tidak memerlukan hiasan visual untuk dirasai tetapi kesenyapan ruang dan keterbatasan imej sudah cukup untuk menimbulkan kesedaran yang mendalam.

Kesannya, minimalisme visual dalam filem ini bukan sekadar gaya, tetapi satu strategi naratif dan etika yang memperkukuh makna menjadikan penonton lebih peka terhadap apa yang tidak kelihatan, dan lebih bertanggungjawab terhadap apa yang didengar, iaitu satu bentuk pengalaman sinematik yang sunyi, tetapi berbekas lama dalam ingatan.

 Antara Kesaksian dan Eksploitasi

Apabila sesebuah filem berasaskan penderitaan kanak-kanak dihasilkan, persoalan etika menjadi isu yang tidak dapat dielakkan. Risiko paling besar ialah eksploitasi emosi, khususnya apabila suara dan pengalaman kanak-kanak digunakan untuk membangkitkan simpati penonton.

The Voice of Hind Rajab sedar akan bahaya ini, lalu mengambil pendekatan yang berhati-hati dan berdisiplin dalam merakam serta mempersembahkan suara Hind. Suara tersebut tidak dipotong atau disusun semula untuk tujuan dramatik, sebaliknya dipersembahkan dengan kesederhanaan yang menghormati konteks asalnya sebagai panggilkan kecemasan, bukan monolog sinematik.

Dalam kerangka tersebut, filem ini boleh dibaca sebagai etika kesaksian (ethics of witnessing), iaitu satu pendekatan penceritaan yang menempatkan mangsa sebagai subjek yang didengari, bukan objek yang dipamerkan.

Filem ini tidak bercakap tentang Hind secara berlebihan, tetapi membiarkan Hind “bercakap” melalui suaranya sendiri. Ketiadaan narator autoritatif dan penjelasan yang memandu emosi penonton membuktikan bahawa filem ini lebih berminat untuk membuka ruang mendengar daripada memaksakan tafsiran.

Pendekatan mengubah kedudukan penonton secara mendasar. Penonton tidak ditempatkan sebagai pengguna tragedi yang menikmati kesan emosi, tetapi sebagai saksi kemanusiaan yang dipanggil untuk mendengar, menahan diri dan merenung. Kesedihan yang dialami tidak hadir sebagai katarsis dramatik, sebaliknya sebagai beban moral yang tidak mudah dilepaskan. Penonton tidak diberikan pelepasan emosi melalui resolusi visual ataupun naratif, tetapi dibiarkan bersama kesunyian yang menandakan kehilangan.

Bertepatan dengan itu, The Voice of Hind Rajab memperlihatkan bahawa penceritaan tentang tragedi kemanusiaan boleh dilakukan tanpa mengorbankan maruah bangsa. Perkara ini menunjukkan bahawa etika dalam sinema bukan sekadar soal apa yang dipaparkan, tetapi bagaimana sesuatu itu diperdengarkan, kepada siapa, dan untuk tujuan apa. Dalam kes ini, suara Hind menjadi kesaksian yang tidak dieksploitasi, sebaliknya diamanahkan kepada penonton sebagai tanggungjawab moral bersama.

 Filem Sebagai Wacana Budaya dan Kemanusiaan

Sebagai sebuah karya sinema, The Voice of Hind Rajab melangkaui kedudukannya sebagai filem konflik yang terikat pada geografi Gaza atau konteks politik Timur Tengah. Filem ini berfungsi sebagai teks budaya yang merentas sempadan bangsa, agama dan ideologi, kerana teras penceritaannya bukan tentang pihak yang berkonflik, tetapi tentang pengalaman manusia yang paling asas, iaitu ketakutan, harapan dan keinginan untuk diselamatkan.

Dengan meletakkan suara seorang kanak-kanak sebagai pusat naratif, filem membebaskan dirinya daripada bacaan sempit yang berasaskan identiti politik, dan sebaliknya mengundang pembacaan kemanusiaan yang lebih universal.

Hal ini memperlihatkan suara Hind tidak hanya mewakili seorang individu atau satu tragedi terpencil. Akan tetapi berfungsi sebagai simbol kolektif kepada jutaan kanak-kanak yang terperangkap dalam konflik bersenjata di pelbagai belahan dunia, sama ada di Gaza, Syria, Ukraine, Afrika atau wilayah lain yang dilanda peperangan.

Suara tersebut mengingatkan bahawa di sebalik setiap konflik geopolitik, terdapat pengalaman kanak-kanak yang kehilangan keselamatan, perlindungan dan masa depan. Dengan cara ini, filem membina jambatan empati yang membolehkan penonton dari latar budaya yang berbeza mengenali penderitaan yang sama, walaupun konteksnya berbeza.

Kerelevanan The Voice of Hind Rajab menjadi semakin jelas apabila dibaca dalam kerangka nilai kemanusiaan sejagat. Filem ini menegaskan prinsip bahawa nyawa kanak-kanak tidak seharusnya menjadi korban sampingan dalam sebarang konflik, dan bahawa suara yang paling lemah sering kali membawa kebenaran moral yang paling kuat. Tanpa khutbah atau slogan, filem ini mengajak penonton merenung makna tanggungjawab bersama, keadilan dan belas ihsan sebagai nilai yang melangkaui sempadan negara dan ideologi.

Oleh yang demikian, filem ini bukan sekadar dokumentasi tragedi, tetapi satu bentuk wacana budaya yang mengingatkan dunia tentang asas kemanusiaan yang sering dilupakan, menempatkan seni sebagai ruang peringatan dan kesedaran, serta mengukuhkan peranan filem sebagai medium yang mampu menyatukan pengalaman manusia sejagat satu suara yang kecil, tetapi tidak pernah sepatutnya diabaikan.

Sebagai penutup, kekuatan The Voice of Hind Rajab tidak terletak pada skala produksi, kehebatan visual atau kerumitan teknikalnya, tetapi pada kesederhanaan yang berprinsip. Menolak estetika kekaguman dan memilih jalan sunyi yang berteras suara, filem ini membuktikan bahawa sinema tidak memerlukan ledakan imej untuk meninggalkan kesan yang mendalam. Kesederhanaan ini bukan kelemahan, sebaliknya menjadi asas kepada kejujuran penceritaan yang menghormati pengalaman mangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi