Oleh Mubarak Ismail
21 Januari 2023, 14:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi titah perutusannya hari ini menyampaikan ucapan selamat bergembira kepada seluruh rakyat negeri Perlis berketurunan Tionghua yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina pada hari esok.

Tahun Baharu Cina 2023 akan disambut dan diraikan pada 22 Januari 2023 bersamaan dengan hari Ahad. Tahun ini merupakan tahun arnab atau arnab air berdasarkan kalendar Cina. Menurut kepercayaan masyarakat Cina, tahun arnab melambangkan umur yang panjang, keamanan dan kemewahan. Tahun 2023 juga diramalkan sebagai tahun yang membawa tuah dan harapan.

Ucapan Selamat Tahun Baharu Cina tersebut turut disampaikan oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Putera dan puteri baginda, iaitu Yang Amat Mulia (YAM) Sharifah Khatreena Nuraniah, YAM Sharifah Farah Adriana dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail menyatakan harapan agar semangat kasih sayang, sikap saling menghormati, bertolak ansur dan semangat perpaduan akan terus mekar segar dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa di negeri Perlis.

Di samping itu, baginda turut menzahirkan rasa bangga serta mengucapkan terima kasih kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perlis yang telah menganjurkan Karnival Tahun Baharu Cina di Pekan Lama Arau dengan jayanya pada 18 Januari hingga 20 Januari 2023 yang lalu.

Karnival tersebut yang dikunjungi oleh masyarakat setempat daripada pelbagai bangsa menepati aspirasi Projek Diraja Transformasi Komuniti Pekan Lama Kota Raja Arau. Projek tersebut merupakan inisiatif oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bertujuan untuk membangunkan semula pekan Arau sebagai sebuah produk pelancongan di negeri Perlis.

Dalam perkembangan lain, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan mencemar duli berangkat menghadiri satu majlis santapan tengah hari di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Anthony Loke Siew Fook.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) bersama-sama YB Anthony Loke Siew Fook (kanan) meneliti buku berjudul Membangun Negara Madani – Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam majlis tersebut, YB Anthony Loke mempersembahkan senaskhah buku berjudul Membangun Negara Madani – Visi dan Kerangka Dasar Reformasi yang ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai cenderamata kenang-kenangan. Buku tersebut diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan dan baru sahaja dilancarkan baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.