Oleh Salman Sulaiman
26 September 2021, 08:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sesi wacana anjuran Muzium Warisan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan pada 21 September 2021 yang lalu membicarakan berkenaan isu seputar keperluan mempertingkatkan lagi keupayaan masyarakat orang asli agar pencapaian mereka dalam kehidupan adalah sama sahaja dengan semua warganegara yang lain.

Muzium Warisan Akademik dengan kerjasama Perpustakaan Tun Seri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia kali ini melangsungkan Webinar bertajuk Orang Asli: Asal Usul Orang Melayu? & Komunikasi Tradisi Lisan yang menampilkan mantan Pengarah Muzium Warisan Akademik, UKM sendiri iaitu Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hood Mohd Salleh sebagai pembicara.

“Pemikiran orang luar, termasuk orang Melayu juga hampir bankrap terhadap cara terbaik untuk meningkatkan kedudukan orang asli. Sudah lebih 70 tahun akta orang asli itu digunakan, tapi bagaimana kedudukan orang asli pada masa kini? Ada beberapa orang asli yang berjaya tapi tidak cukup, tidak ramai. Yang penting adalah supaya rakyat orang asli diberi kesempatan, diberi satu macam persepsi untuk lebih positif lagi. Yang kelima, rahsia menggerakkan masyarakat orang asli adalah kini melalui (dengan cara) memperkasakannya,” ujar Profesor Emeritus Dr. Hood.

“Orang asli dan orang luar harus merapatkan diri dengan didikan yang lebih hebat lagi seperti yang telah diberikan kepada orang Melayu pada tahun 1971. Masyarakat itu boleh diubahsuai dan distrukturkan kedudukannya supaya mereka dapat capai kemudahan-kemudahan yang sesuai untuk membangun. Memang juga, bagi pendirian saya, kita terhutang kepada orang asli. Bila hendak kita tunaikan hutang itu? Bilakah kita nak bincang secara serius tentang tanah yang dituntut oleh orang asli? Alam sekitar yang juga selalu terceroboh,” tegas Prof. Dr. Hood dalam sesi yang diadakan melalui saluran Google Meet dan siaran langsung Facebook Muzium Warisan Akademik UKM itu.

Katanya lagi, “Sejarah orang asli sebaik-baiknya ditulis oleh orang asli sendiri. Saya percaya bahawa proses itu sudah dimulakan. Kita kena lihat cara mana kita melihat orang asli dalam kerangka sejarah kita. Kita lihat dan perincikan zaman peralihan, zaman kolonial, zaman akta, dan dunia kecil mereka di belantara. Orang asli juga perlu diberi persepsi yang lebih positif lagi.”

Turut dipaparkan kehidupan kaum Semelai di Tasek Bera yang pernah menjadi subjek kajian beliau bersama pelajar UKM satu ketika dulu. Mahatchina mewakili kaum orang asli sendiri, beliau dari kaum Semai yang juga merupakan seorang penulis, menyuarakan tentang keadaan anak-anak muda orang asli yang dibiarkan hanyut dengan kerosakan dan pelbagai gejala negatif yang berlaku. Perlu ada banyak program yang bermanfaat, misalnya peraduan menulis dalam kalangan anak-anak sekolah orang asli. Baginya, tak perlu diberikan hadiah lumayan, cukup sekadar hadiah kecil dan biasa tapi yang lebih penting program itu ada untuk mengisi kekosongan waktu. Cara untuk meningkatkan martabat orang asli juga turut dibincangkan dalam sesi yang berlangsung lebih 3 jam itu. Turut diperkatakan ialah berkenaan istilah orang asli dan peribumi yang dikatakan sudah lapuk.

Pada akhir sesi, ada antara penonton yang bertanyakan perihal berkaitan dengan orang asli yang tidak menjadi agenda utama untuk dibincangkan, sedangkan wujud Majlis Profesor Negara. Bagi Profesor Hood, walaupun tidak menjadi ahli majlis dan cukup sebagai Profesor sahaja, jika dia ingin bertindak dan melakukan sesuatu terhadap kelompok orang asli, dia tetap boleh melakukannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.