Oleh Salbiah Kindoyop
13 November 2021, 12:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Suku kaum yang mendiami negeri Sabah dapat dikenali melalui identiti budaya yang mereka amalkan. Amalan budaya tradisi yang paling ketara adalah dari segi hasil seni kraf dalam pakaian tradisional, jenis tarian, kraf tangan dan logat bahasa yang dapat membezakan mereka daripada suku kaum yang lain. Kepelbagaian budaya tradisi suku kaum ini menjadikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan seni budaya dalam masyarakat. Etnik Dusun Tindal turut mempamerkan produk kraf tempatan yang sangat unik dan menarik untuk diselidik.

Etnik Dusun Tindal dipercayai berasal dari Daerah Kota Belud dan tingal bersama dengan etnik Bajau, Iranun dan Dusun Tobilung. Kota Belud merentasi kawasan seluas 1385.6 kilometer persegi dan terletak di kawasan kaki Gunung Kinabalu. Jarak Kota Belud ke Kota Kinabalu adalah sejauh 77 kilometer. Daerah ini juga bersempadan dengan tiga buah daerah iaitu, daerah Kota Marudu di sebelah Utara, daerah Ranau di bahagian Timur dan daerah Tuaran di bahagian Barat.

Jumlah  penduduk Daerah Kota Belud pada ketika ini ialah 91 272 orang dan etnik Dusun Tindal mendominasikan dengan jumlah 38 097 orang diikuti dengan etnik Bajau yang berjumlah 31 506. Etnik Dusun Tindal mempunyai pemikiran dan kearifan seni yang dimanipulasikan untuk mencipta barang keperluan harian seperti kraf tangan. Sebagai contohnya alat perkakasan rumah, senjata, jerat dan perkakasan pertanian. Oleh hal yang demikian, meraka mempunyai kepelbagaian seni warisan terutama hasil produk kraf tempatan.

Etnik Dusun Tindal terkenal dengan hasil kraf sulaman dalam penghasilan pakaian tradisional. Pakaian tradisi telah menjadi identiti budaya etnik Dusun Tindal kerana keunikan reka bentuk dan aksesorinya. Terdapat tiga jenis pakaian tradisi etnik Dusun Tindal yang dikenali sebagai sinipak, rinagang dan sinuranga.

Wakid

Secara tradisinya, produk kraf anyaman yang dihasilkan oleh etnik Dusun Tindal kebanyakan berasaskan bahan alam semula jadi seperti kulit kayu, rotan, bambu dan kayu. Hasil kraf anyaman yang terbahagi kepada lapan jenis iaitu bakul nurod, sisiri, kinulung, sirung, barait, karansang, wakid, dan basung. Terdapat beberapa kraf lain yang dihasilkan dengan berasaskan bahan alam semua jadi iaitu, kraf sompoton, kraf kobog dan tembikar kuron. Kraf tangan tersebut mempunyai fungsi dan kegunaan dalam kehidupan seharian etnik Dusun Tindal.

Kraf wakid dan basung adalah salah satu hasil kraf tradisi yang berasaskan buluh, bambu, rotan dan kulit kayu.  Penghasilan wakid dan basung mempunyai fungsi yang sinonim dengan aktiviti harian masyarakat Tindal iaitu, mengangkut dan menyimpan barangan harian. Kraf ini dipercayai terhasil daripada tuntutan keperluan hidup serta budaya pemikiran dan kearifan masyarakat Tindal sejak turun-temurun.

Sompoton

Produk kraf etnik Dusun Tindal dihasilkan dengan proses yang sangat rumit dan memerlukan kemahiran yang tinggi. Para tukang kraf mestilah mempunyai kesabaran dan kreativiti untuk menghasilkan produk yang berkualiti. Hal ini dikatakan demikian kerana produk kraf yang dihasilkan akan dijual sebagai pendapatan sampingan mereka. Pada kebiasaannya, hasil produk kraf akan dihantar ke tamu minggu Kota Belud untuk dijual. Hasil jualan yang lumayan dapat mendorong si pembuat kraf untuk terus cenderung dalam penghasilan produk-produk kraf tangan. Terdapat dua peringkat harga bagi setiap jenis kraf iaitu, harga kepada pembeli dan harga kepada pemborong. Sebagai contoh, untuk harga pembeli, satu buah bakul kinulung dijual dalam RM10 hingga RM15, tetapi untuk harga pemborong yang membeli dengan jumlah yang banyak ialah RM5 hingga RM8. Harga kinulung biasanya boleh ditambah dan dikurangkan mengikut kehendak si penjual.           

Kota Belud terkenal dengan tamu minggu yang dijalankan pada setiap hari Rabu dan hari Ahad. Kawasan tamu terletak di tebing sungai Tempasuk yang menjadi pusat pertukaran dan jualan barang-barang harian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Kewujudan Tamu telah dikesan pada tahun 1840 oleh pengembara Inggeris yang bernama Spencer St. John dalam catatannya yang menceritakan tentang pertukaran barang antara masyarakat Bajau dan KadazanDusun. Masyarakat Dusun Tindal memanggil tamu sebagai badih manakala masyarakat Bajau memanggil sebagai Semio. Pada masa dahulu tamu diadakan di bawah rimbunan pokok kayu jati namun, kini telah berkembang dan diberi pengiktirafan kerana menjadi satu daya tarikan pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Suasana Tamu Minggu Kota Belud

Pelbagai barang jualan yang dijual seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan hasil produk kraf tangan. Pada kebiasaanya, barang jualan tersebut adalah daripada hasil tanaman sendiri oleh penduduk Kampung yang tinggal di sekitar daerah Kota Belud. Selain itu, penduduk yang tinggal berdekatan seperti penduduk daerah Ranau dan Kota Marudu juga turut datang berjual.

Para penjual dikenakan bayaran tapak untuk berjual sebanyak RM3. Walaupun banyak kemudahan yang disediakan di tapak tamu Kota Belud seperti tapak berbumbung dan bersimen, tetapi keluasan tidak mencukupi kerana ramai penjual yang melibatkan diri. Oleh sebab itu, mereka kadang kala mengambil kawasan tapak meletakkan kenderaan sebagai kawasan untuk berjual. Hal ini mengakibatkan kesesakan lalu lintas di kawasan tapak tamu. Walau bagaimanapun, orang ramai tidak putus-putus mengunjungi yang datang dari semua tempat.

Aktiviti tamu minggu dan penjualan produk kraf tangan etnik Dusun Tindal walau bagaimanapun turut terbantut dan terhenti akibat daripada penularan pendemik COVID -19 pada hari ini. Keadaan ini telah menyebabkan para tukang kraf dan pengusaha produk kraf tangan tidak dapat menjual hasil produk mereka. Semoga masalah pendemik ini cepat berlalu agar aktiviti penghasilan dan penjualan produk kraf dapat dijalankan seperti biasa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.