11 April 2024, 08:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketibaan hari raya Aidilfitri sememangnya sentiasa dinantikan-nantikan oleh segenap lapisan masyarakat, terutamanya buat para perantau. Pengalaman dua tahun tidak dapat beraya bersama-sama insan tersayang ketika pandemik COVID-19 melanda negara menjadikan kesempatan beraya di kampung halaman lebih dihargai pada masa ini.

Namun begitu, ada juga sesetengah individu yang berasa kurang senang dan tidak selesa untuk pulang ke desa tercinta disebabkan oleh “mulut” individu tertentu. Sebahagian warga maya di media sosial berkongsi tentang ketidakselesaan terhadap persoalan sensitif, perbandingan dan kata-kata kasar yang dilontarkan ketika mengunjungi sanak saudara.

Hari raya Aidilfitri merupakan sambutan hari kegembiraan yang seharusnya diraikan tanpa menyinggung hati sesiapa. Jagalah lidah, tutur kata dan perlakuan masing-masing agar sambutan hari raya mampu memekarkan silaturahim, dan bukan sebaliknya.

Secara umumnya, kesantunan bahasa merujuk kepada tutur kata, kelakuan, sopan santun dan tatatertib, akal kebijaksanaan dan perbuatan kebajikan yang tercantum dalam kata-kata mulia, setiap gerak laku, tutur kata, tata hidup, pemikiran dan perasaan baik terhadap orang lain. Menurut YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dalam bukunya yang bertajuk Santun Berbahasa, orang Melayu amat terkenal dengan sistem nilai yang bertunjangkan kesopanan dan kesantunan baik dalam aspek lisan, tulisan mahupun perbuatan.

Tambahan pula, orang Melayu mengamalkan ajaran Islam yang sememangnya mementingkan kesantunan berbahasa dalam kehidupan. Kesantunan bahasa juga merujuk kepada akhlak individu yang amat dititikberatkan dalam Islam.

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah SWT benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi). Hadis ini membuktikan bahawa Islam amat mementingkan kesantunan berbahasa sebagai faktor yang menyempurnakan iman seseorang, selain aspek akidah, ibadat dan syariatnya.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang memperlihatkan budaya Melayu sebagai terasnya selain tuntutan agama. Budaya Melayu umumnya menitikberatkan nilai yang baik dalam berkomunikasi dan berbahasa apatah lagi ketika kita meraikan hari kemenangan. Namun begitu, segelintir masyarakat acap kali alpa dan mudah melontarkan kata-kata sehingga tanpa sedar mengguris perasaan individu lain.

Sebagai contohnya, ketika kesesakan jalan raya dalam perjalanan pulang ke kampung, ada pemandu yang melontarkan kata-kata kesat dan memaki hamun gara-gara tidak berpuas hati dengan cara pemanduan pemandu lain sehingga berlaku pertelingkahan.

Tanpa disedari ada anak-anak kecil yang memerhatikan tingkah laku tersebut dan beranggapan bahawa perbuatan itu tidak salah. Maka itu, lahirlah generasi muda yang tidak santun bahasanya pada masa depan.

Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan sikap peramah. Kesempatan pulang beraya di kampung membuatkan banyak persoalan yang kadang kala tidak patut dilontarkan dalam perbualan. Sememangnya kita teruja setelah lama tidak berkumpul dalam suasana kemeriahan hari raya, tetapi jagalah lidah daripada bertanyakan soalan sensitif yang tidak wajar.

Hal ini barang kali dapat menimbulkan masalah dan pergaduhan antara pasangan. Bukankah hal tersebut dapat dielakkan sekiranya masing-masing lebih berhati-hati ketika berbicara? Terdapat pelbagai cara untuk kita beramah mesra tanpa melontarkan soalan sensitif yang melibatkan rezeki, masa hadapan dan jalan hidup seseorang. Takdir yang diatur oleh Allah SWT berbeza antara individu dengan individu yang lain.

Setelah lama tidak bertemu, mungkin berlaku perubahan dalam penampilan diri dan fizikal masing-masing, seperti bentuk badan, warna rambut (beruban), keadaan kulit dan sebagainya. Sindir badan atau body shaming juga merupakan antara ketidaksantunan berbahasa yang selalu terjadi ketika sambutan hari raya.

“Engkau ini sudah gemuklah”, “Mengapakah engkau semakin hitam?” Sesetengah orang menganggap perkara itu sekadar gurauan, memberikan nasihat atau menunjukkan keprihatinan, tetapi hakikatnya bagi sebahagian individu pula, perbuatan tersebut adalah amat tidak wajar. Sindir badan sebenarnya dapat mengguris perasaan, merendahkan maruah dan menyebabkan individu tersebut malu dan hilang keyakinan diri.

Lebih membimbangkan jika individu tersebut akan mengalami kemurungan dan memilih untuk menyendiri tanpa bersosial. Menurut pakar psikologi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd Saad, sindir tubuh menyebabkan mangsa mengalami depresi yang teruk yang menyebabkan mangsa hilang keyakinan. Keadaan yang lebih dikhuatiri ialah menyebabkan mangsa berkeinginan untuk membunuh diri.

Orang Melayu juga mempunyai sistem sapaan atau kata panggilannya yang tersendiri bagi menghormati dan menghargai orang lain terutamanya individu yang lebih tua. Sapaan atau panggilan seperti pak cik, mak cik, abang atau pun kakak berdasarkan perbezaan umur amatlah digalakkan dan seharusnya dijadikan sebagai kelaziman. Apabila pulang ke kampung halaman, jagalah tutur kata dan sapalah orang menggunakaan kata sapaan yang betul agar tidak ada yang terguris hati.

Bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada tahun ini, sebagai orang Melayu yang beragama Islam, marilah kita meraikan sambutan Aidilfitri dengan santun berbahasa dan berbudaya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seorang Muslim adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka.” (Hadis riwayat an-Nasaie). Maka itu, menjadi kewajipan kita untuk menjaga hubungan silaturahim dengan sebaik mungkin dengan sentiasa berhati-hati serta merendah diri apabila berbicara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.