Oleh Aminnudin Saimon
27 Mac 2024, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Budaya merupakan elemen yang penting bagi sesuatu bangsa. Pengamalan budaya sentiasa dititikberatkan bagi memeliharanya daripada sirna. Hal ini sejajar dengan budaya punjungan yang menjadi tradisi masyarakat Jawa khususnya di Johor dan dilihat sebagai satu inisiatif yang murni untuk mengukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

Punjungan ialah satu tradisi bagi memohon sesuatu hajat seperti pernikahan, khitanan dan kelahiran daripada tuan rumah dengan menyiapkan makanan yang diletakkan dalam rantang (mangkuk tingkat) untuk memunjung jiran tetangga yang telah ditetapkan (Ria Astuti, 2022). Hari ini, budaya punjungan masih subur diamalkan oleh masyarakat Jawa terutamanya di Johor, iaitu di sekitar Daerah Pontian, Batu Pahat dan Muar.

Budaya punjungan atau munjung dapat menghidupkan budaya bersedekah terutamanya pada bulan Ramadan. Pelbagai jenis juadah dan makanan disediakan dan diberikan kepada jiran tetangga, sahabat handai dan sanak-saudara. Uniknya, budaya ini hanya diadakan pada bulan Ramadan dan tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Haslinah Supa’at, 67 tahun, menyatakan bahawa budaya punjungan ini biasanya dilaksanakan setiap kali bulan Ramadan tiba.

Menurutnya Haslinah lagi, budaya punjungan kini sudah berbeza jika dibandingkan dengan waktu dahulu, iaitu daripada segi penyediaan makanan, kuantiti dan sebagainya. Manfaat dan keseronokan dalam budaya punjungan ini dapat dilihat melalui keakraban ahli keluarga ketika proses penyediaan makanan melalui kaedah rewang yang juga sinonim dalam kalangan masyarakat Jawa.

Lodeh adalah antara makanan yang biasa diberikan dalam punjungan.

Berdasarkan pemerhatian, waktu punjungan ini sebenarnya adalah tidak terhad. Masyarakat Jawa juga akan mengagihkan punjungan kepada jiran tetangga, sanak saudara dan sahabat handai ketika kenduri kesyukuran. Namun, punjungan ini menjadi lebih meriah setiap kali bulan Ramadan tiba. Seperti yang diketahui, bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia dan umat Islam digalakkan untuk melipatgandakan ibadat dan amalan kebajikan terutamanya seperti membaca al-Quran dan bersedekah. Justeru, masyarakat Jawa mengambil kesempatan bersempena dengan keberkatan bulan Ramadan untuk bersedekah dengan cara punjungan.

Tiada kadar yang ditetapkan untuk jumlah pengagihan makanan dalam budaya punjungan. Setiap keluarga selalunya akan mengagihkan makanan sekali sahaja dalam bulan Ramadan. Jika sesebuah keluarga berkemampuan, maka amat digalakkan untuk mengagihkan makanan lebih daripada sekali.

Pada kebiasaannya, antara makanan yang disediakan dalam punjungan adalah seperti mi, nasi, sayur, telur dan daging atau ayam. Pada waktu ini, jenis makanan tersebut masih lagi disediakan, namun ada juga masyarakat yang menggantikan makanan tersebut dengan makanan yang lebih ringkas, mudah dan ekonomi seperti nasi ayam, nasi berlauk, mi goreng dan sebagainya.

Jenis makanan yang terdapat dalam punjungan adalah sebagai pilihan sahaja dan bukannya suatu kemestian. Sebahagian daripada masyarakat masih mengekalkan keaslian jenis makanan tersebut untuk dinikmati oleh orang lain. Makanan punjungan dalam bulan Ramadan dan kenduri kesyukuran adalah berbeza. Hal ini dapat dilihat melalui penyediaan makanan dan tujuan punjungan disediakan. Jika pada bulan Ramadan, kebanyakan lauk yang disediakan adalah seperti ayam kari, ayam kicap, ayam ungkep, ayam masak merah, dan ayam masak lemak.

Selain lauk utama, terdapat juga lauk-pauk sampingan seperti mi goreng, sambal goreng Jawa, sambal telur, sayur goreng dan sebagainya. Turut disediakan ialah juadah pencuci mulut, iaitu kuih-muih tradisional seperti karipap, kasuwi, kuih koci, dan lain-lain.

Punjungan untuk kenduri kesyukuran melibatkan makanan yang sesuai dengan acara yang biasanya berlangsung pada waktu malam. Makanan tersebut termasuklah nasi ambeng yang mengandungi nasi, lauk dan mi goreng. Makanan yang dinyatakan ini bukanlah suatu kewajipan, tetapi hanyalah sebagai wadah untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.

Punjungan yang sudah siap untuk diedarkan.

Setiap kebudayaan pastinya mempunyai matlamat dan falsafah yang melatarinya. Begitu juga dengan makanan punjungan yang mempunyai simbol dan falsafah yang hendak disampaikan. Jika diperhatikan, setiap makanan yang dinyatakan mempunyai makna dan simbol yang tersendiri bagi mengungkapkan falsafah budaya tersebut.

Perhatikan jadual di bawah bagi mengetahui simbol makanan punjungan dalam kalangan masyarakat Jawa. Simbol dan falsafah yang dinyatakan ini adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis ketika turut serta mewakili minoriti masyarakat Jawa di Pontian dan bukannya mewakili keseluruhan masyarakat Jawa. Terdapat kemungkinan bahawa simbol dan falsafah tersebut bagi masyarakat Jawa di daerah, negeri atau negara yang lain adalah berbeza.

Jadual 1: Simbol Makanan Punjungan

Makanan Simbol Rujukan
Nasi Kesucian Nasi berwarna putih.
Sayur Undangan Undangan harus diterima.
Mi Rezeki yang banyak Sifat mi yang panjang.
Telur Keutuhan Sifat telur yang anjal setelah dimasak.
Ayam Hormat Rasa hormat kepada orang yang dipunjung.
Wajik dan dodol Silaturahim Warna wajik dan dodol, iaitu hitam dan putih yang bermakna manusia adalah sama.

Jadual 1 menunjukkan bahawa setiap makanan dalam punjungan mempunyai makna dan simbolnya yang tersendiri. Selain mementingkan keseimbangan piramid makanan, punjungan yang disediakan dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Generasi muda di kawasan yang dinyatakan kebanyakannya mempunyai pendedahan awal dan memberikan respons yang baik terhadap tradisi punjungan, namun kini pengamalan budaya punjungan dalam kalangan mereka didapati semakin berkurangan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan golongan ini semakin sirna dalam pengamalan budaya tersebut, antaranya ialah kemahiran memasak, ekonomi, ketidaksediaan dan kekangan masa. Mereka memahami fungsi dan budaya punjungan, namun dilihat kurang bersedia untuk pengamalan tradisi ini. Justeru, budaya ini perlu dilestarikan terutamanya oleh generasi muda dan remaja agar budaya murni ini tidak luput ditelan zaman.

Tradisi punjungan yang diamalkan oleh masyarakat Jawa di Pontian merupakan satu tradisi turun-temurun yang memupuk sifat kerendahan hati dan jiwa di samping mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat. Tradisi ini amat penting untuk dilestarikan kerana punjungan merupakan tradisi murni peninggalan generasi terdahulu. Generasi muda perlu sentiasa didedahkan tentang manfaat budaya punjungan atau budaya-budaya murni yang lain agar mereka menghargai selain mempelajari pemikiran, falsafah dan makna pembudayaan sesuatu budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.