Oleh Habsah Abby
3 Disember 2021, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) buat pertama kalinya mengadakan sambutan Hari Batik Malaysia bersempena dengan Program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia (KKKM) 2021 yang berlangsung dari 1 hingga 6 Disember 2021, mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Majlis pada hari ini dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Santhara J.P.; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Puan Hajah Rubiah Haji Wang; dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Puan Aididah Ibrahim.

Hari Batik Malaysia telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 1 Disember 2021 lalu dan akan disambut pada 3 Disember setiap tahun oleh seluruh Keluarga Malaysia. Pemilihan tarikh ini adalah sebagai penghargaan atas segala sokongan dan usaha yang disumbangkan oleh Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood, iaitu isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang kelima. Pada 3 Disember 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah Gerakan Malaysian Batik – Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke arena antarabangsa.

Pengisytiharan ini pastinya memberikan manfaat khususnya kepada usahawan dan komuniti kraf batik. Usaha ini juga bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia apabila pada hari ini dapat dilihat semua rakyat Malaysia berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan produk kraf tekstil batik.

Komuniti kraf tekstil batik yang kini ada di seluruh negeri merupakan antara usaha MOTAC menerusi Kraftangan Malaysia di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Menerusi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, hal yang demikian berjaya membantu komuniti kraf batik dalam meningkatkan kemahiran dalam penghasilan dan pengeluaran serta pemasaran produk kraf.

Sebanyak 534 komuniti kraf batik telah dibangunkan melalui Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK), manakala di bawah Program Pembangunan Perantisan Kemahiran (PPPK), sebanyak 15 orang usahawan kraf batik telah mendapat manfaat dengan penempatan tenaga kerja baharu melalui program latihan sambil bekerja yang melibatkan 40 orang peserta. Terdapat sebanyak 8015 produk yang telah dihasilkan oleh komuniti kraf melalui PPKK dan akan dipasarkan oleh anak syarikat Karyaneka sepanjang Eksposisi Komuniti Kraf.

Pelbagai usaha dan inisiatif telah diambil oleh Kraftangan Malaysia dalam membantu meningkatkan kualiti hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana semula ekonomi usahawan dan komuniti kraf batik. Hal ini dapat disaksikan melalui peranan MOTAC dan Kraftangan Malaysia yang tidak jemu-jemu membantu usahawan dan komuniti kraf batik dalam menghasilkan serta mengeluarkan produk batik yang setanding dengan produk keluaran antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.