28 Januari 2023, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sedang menganjurkan Festival Kraf Tekstil Pantai Timur 2023 (FKTPT 2023) di tiga lokasi berbeza, iaitu di KTCC Mall, Kuala Terengganu, Mesra Mall, Kemaman dan East Coast Mall (ECM), Kuantan, Pahang bermula dari 19 hingga 29 Januari 2023.

Demonstrasi tenun Pahang Diraja bersempena FKTPT 2023.

Penganjuran FKTPT 2023 diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai masyarakat Malaysia untuk membudayakan pemakaian produk kraf tekstil tempatan sebagai satu daripada gaya hidup selain menyemarakkan semangat cintakan seni kraf warisan terutamanya dalam kalangan generasi muda.

FKTPT 2023 yang berlangsung pada kali ini merupakan penganjuran kali keempat sejak tahun 2019 dan merupakan antara strategi Kraftangan Malaysia untuk mempromosikan pelbagai produk kraf tekstil tempatan seperti batik, songket dan tenun Pahang Diraja yang dihasilkan oleh para usahawan serta komuniti kraf khususnya di Pantai Timur.

Menurut Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu, Md Azrul Hussein, FKTPT 2023 melibatkan penyertaan 75 usahawan kraf yang terdiri daripada usahawan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang serta usahawan kraf dari negeri-negeri lain yang menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1.5 juta bagi ketiga-tiga lokasi penganjuran tersebut.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya festival ini. Antaranya termasuklah jualan produk kraf yang merangkumi tekstil, hasil rimba dan aneka kraf, pameran “Ini Batik Malaysia”, pameran “Jom Masuk Institut Kraf Negara” serta pameran Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (IKTPD) yang ditawarkan sepanjang penganjurannya yang bermula dari 10 pagi hingga 10 malam pada setiap hari. Di samping itu, demonstrasi kraf dan interaktif kraf turut diadakan supaya para pengunjung yang hadir boleh melihat sendiri proses menghasilkan seni tersebut.

Orang ramai terutamanya yang berada di sekitar Pantai Timur dijemput untuk berkunjung ke tiga lokasi berkenaan bagi menyemarakkan lagi FKTPT 2023 anjuran Kraftangan Malaysia.

Poster Festival Kraf Tekstil Pantai Timur 2023.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.