Oleh Izzat Isa
20 Disember 2021, 13:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Langkawi – Pada 11 Disember hingga 19 Disember 2021 yang lalu, telah berlangsung Langkawi Craft Musical Fest di Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Langkawi. Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia dan Kraftangan Malaysia.

Pelbagai program telah disediakan, iaitu jualan produk kraf, demontrasi pembuatan alat muzik tradisional Malaysia iaitu gambus Johor, kompang, rebana Perak, angklung, serunai Kedah, gendang Kedah dan sompoton Sabah, permainan tradisional seperti congkak, gasing dan caplom, memanah berbusana Melayu, tarian mangunatip, demonstrasi pembuatan kraf batik teknik ikat dan celup, aktiviti tarikan pengunjung, pertandingan kompang berformasi, pertandingan mendendangkan lagu “Cintai Kraf Malaysia” menggunakan alat muzik tradisional, pertandingan fotografi bertemakan kraf muzikal, pertandingan mencipta alat muzik dari alam semulajadi atau bahan terbuang, demontrasi masakan kuih tradisional, jualan masakan citarasa Negaraku, persembahan tarian tradisional, busking tradisional dan kontemporari, pembuatan kraf angklung dan serunai daripada daun kelapa dan sesi bicara.

Festival ini bermula setiap hari pada jam 10.00 pagi dan tamat pada jam 6.00 petang, kecuali pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang ditamatkan pada jam 10.00 malam. Pada malam 11 dan 12 Disember 2021, telah diadakan konsert dan persembahan oleh kumpulan Sada Borneo dan caklempong Lantera Kesuma.

Sementara itu, pada 17 hingga 19 Disember 2021 pula telah diadakan persembahan oleh Razali Kulintangan dan Amir Percussion. Bagi menambahkan kemeriahan, festival ini juga mengadakan pementasan tradisional.

Sebahagian pengunjung tidak melepaskan peluang menikmati sesi pameran dan jualan produk di Langkawi Craft Musical Fest 2021.
Sumber: Kompleks Kraf Langkawi.

Pada 11 Disember 2021, telah diadakan persembahan wayang kulit oleh Kumpulan Sri Asun; 18 Disember 2021 telah dipentaskan pula persembahan Mek Mulong; dan pada malam penutup 19 Disember 2021, telah dipentaskan persembahan Jikey.

Program seumpama ini merupakan kesinambungan daripada usaha perlaksanaan bagi projek rintis gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi dengan amalan pematuhan kepada prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Objektif utama festival muzikal kraf ini adalah untuk mengetengahkan alat-alat muzik tradisional yang juga merupakan produk kraf tempatan dalam kategori bidang kraf hasil rimba, kraf logam dan aneka kraf.

Menurut penganjur, penganjuran program ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap produk kraf tempatan sekali gus mempromosikan Kompleks Kraf Langkawi sebagai pusat lawatan setempat. Penganjuran festival ini merupakan manifestasi aspirasi Keluarga Malaysia di Pulau Legenda dengan berkonsepkan “Alunan Semula Jadi”.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Kraftangan Malaysia, Yang Berusaha Puan Aididah binti Ibrahim. Kemasukan ke festival ini adalah percuma.

Peluang seumpama ini direbut oleh para penduduk Langkawi, rombongan dari pelbagai institusi dan pelancong yang berkunjung ke Pulau Langkawi bersempena dengan  musim cuti persekolahan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.