Oleh Nor Aini Hassan
27 Disember 2021, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Muzium Matang yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks Sejarah Negeri Perak terletak di Matang, Perak. Matang merupakan mukim di daerah Larut, Matang dan Selama, Perak yang berhampiran dengan Selat Melaka.

Berdasarkan sejarah, Che Long Jaafar Dato’ Paduka Setia Long Abdul Latif merupakan pengasas perkembangan bandar Taiping dan seorang jutawan bijih timah Melayu. Che Long Jaafar berjaya mengukuh kedudukannya sebagai pemerintah Larut dan seterusnya meletakkan asas pentadbiran yang mantap kepada anaknya, Menteri Ngah Ibrahim.

Justeru, Muzium Matang pada asalnya dibina oleh Ngah Ibrahim yang bergelar Orang Kaya Menteri Paduka Tuan dan merupakan orang Melayu pertama pada tahun 1840 yang membuka perusahaan lombong bijih timah di kawasan Larut, Matang dan Selama.

Kota Ngah Ibrahim dibina pada tahun 1858 di Matang, Perak yang  dahulunya dikenali sebagai permatang. Menteri Ngah Ibrahim telah menjadikan kotanya sebagai rumah kediaman, pusat pentadbiran Larut, kubu pertahanan, gudang menyimpan bijih timah dan pusat dagangan dan ditempatkan di kawasan seluas 0.8094 hektar. Bangunan ini dibina menggunakan bahan yang terdiri daripada batu bata pada tingkat bawah dan kayu pada bahagian atas.

Kedudukan Kota Ngah Ibrahim adalah strategik kerana terletak di persimpangan jalan darat dari selatan, timur dan utara. Kota ini dihubungkan dengan laluan laut melalui Sungai Malawati ke Sungai Larut dan seterusnya ke Selat Melaka.

Menurut sejarah, Menteri Ngah Ibrahim dicatatkan sebagai seorang yang sangat kaya dan hasil pendapatan terbesar Menteri Ngah Ibrahim adalah melalui perusahaan bijih timah, ladang kopi di Asam Kumbang, Taiping dan ladang tebu di Kerian. Menteri Ngah Ibrahim mempunyai pasukan keselamatannya sendiri yang terdiri daripada sepoi-sepoi India dan diketuai oleh Kapten T.C.S. Speedy. Menteri Ngah Ibrahim telah melengkapkan kawasan kotanya dengan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan masjid.

Walau bagaimanapun, Menteri Ngah Ibrahim dijatuhi hukuman dan dibuang ke Pulau Seychelles tanpa sebarang perbicaraan. Pembuangan Menteri Ngah Ibrahim ke Pulau Seychelles menyebabkan seluruh harta kekayaannya dirampas dengan kejam sehinggakan segala maklumat berkaitan dengan beliau telah dihapuskan oleh pihak British. Pihak British seolah-olah mahu memadamkan sama sekali mengenai sejarah Menteri Ngah Ibrahim daripada diketahui oleh generasi seterusnya.

Yang berikut merupakan kronologi sejarah rumah Ngah Ibrahim:

BIL TARIKH PERKARA
1 1874 Rumah kediaman Kapten Tristam Charles Sawyer Speedy (Penolong   Residen). Pada masa yang sama dijadikan sebagai Penjara dan Mahkamah.
2 1913 − 1922 Maktab Perguruan Melayu Matang.
3 1923 − 1941 Sekolah Melayu.
4 1942 − 1945 Markas Pertahanan Tentera Jepun.
5 1946 − 1983 Sekolah Melayu dan Sekolah Kebangsaan Matang.
6 1983 − 1985 Kelas Tambahan Sekolah Kebangsaan Matang (Darjah 5 dan 6).

Kelas Pengajian Al-Quran dan Fardhu Ain (sebelah petang).

Kelas KEMAS dua kali seminggu dan sekali sekala dijadikan sebagai tempat mesyuarat atau perhimpunan penduduk kampung.

7 1985 Diambil alih oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia.

Pada tahun 2009 Kota Ngah Ibrahim telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Setelah Ngah Ibrahim meninggal dunia, kota ini dijadikan Maktab Perguruan Melayu Matang (1913 − 1922). Kota ini kemudiaannya dijadikan pula sebagai Sekolah Melayu (1923 − 1941). Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942 − 1945), kota ini berperanan sebagai markaz pertahanan tentera Jepun.

Selepas Jepun menyerah kalah dan berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun 1946, kota ini dijadikan semula sebagai Sekolah Melayu dan Sekolah Kebangsaan Matang (1946 − 1983) dan terus dijadikan sebagai pusat pendidikan hingga tahun 1985. Bermula pada tahun 1985, kota ini dijadikan Muzium Matang apabila diambil alih oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia dan kekal sebagai muzium hingga kini.

Pada tahun 2009 Kota Ngah Ibrahim telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005. Pada hakikatnya, banyak lagi sejarah dunia dan khususnya sejarah Perak bermula di Muzium Matang oleh Menteri Ngah Ibrahim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.